Masih Lembut Ubun-Ubunnya, Bayi 12 Hari Pesakit Paling Muda Dijangkiti Covid-19!

Share

Sungguh tidak tergambar betapa ujian menimpa pada bayi sekecil ini, sedangkan ubun-ubunnya masih lembut namun detik ini sedang berjuang melawan virus Covid-19. Ini sebagaimana yang di laporkan di Sinar Harian.

Apa yang pasti,  hati kita cukup sayu dan tersentuh membaca berita seperti ini dan sama-samalah kita berdoa dan mengharapkan semoga anak kecil tersebut terus kuat dan sihat hendaknya. Amin….

Gambar hiasan

Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan bayi berusia 12 hari antara pesakit termuda dijangkiti Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi tersebut merupakan mangsa gelombang kedua Covid-19.

“Bagi gelombang pertama, usia paling muda empat tahun, tetapi sekarang bayi berusia 12 hari disahkan positif Covid-19.

“Pesakit Covid-19 paling tua dirawat di hospital berumur 83 tahun,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai pesakit berkenaan.

“Butirannya kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata, KKM membuat strategi bagi melindungi warga emas kerana imuniti golongan itu adalah rendah.

“Strategi kita untuk melindungi mereka. Pastikan berada di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya.

 

sumber : Sinar Harian