Masih Berstatus Isteri Orang, Sharnaz Minta Netizen Hormat Sensitiviti Nabila

Share

Kebelakangan ini pelbagai isu yang timbul berkaitan rumah tangga selebriti Malaysia ini. Berstatus seorang bapa tunggal, pelakon Sharnaaz Ahmad meminta para warganet untuk menghormati sensitiviti bekas isterinya Noor Nabila yang kini masih berstatus isteri orang.

Memetik laporan Berita Harian, Sharnaaz beritahu perkara itu sangat penting untuk disuarakan kerana tular pelbagai video yang memaparkan kemesraan dirinya dan bekas isterinya itu di laman media sosial peminat.

“Kita semua perlu sedar, Nabila ketika ini sudah berstatus isteri orang. Jadi, janganlah berdoa seperti ingin meruntuhkan masjid orang lain.

“Kena fikir soal sensitiviti suaminya kerana dia juga ada perasaan… Dia bukan robot,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo 3 itu turut meluahkan perasaannya terhadap video-video memaparkan dirinya dan Nabila yang dimuat naik di TikTok itu.

“Saya tidak salahkan sesiapa kerana mereka mendoakan perkara baik kepada saya. Cuma, kita perlu tahu dan jaga batas sensitiviti itu.

“Apabila saya tonton video itu, saya dapati peminat masih belum ‘move on’. Maknanya, mereka masih sayangkan kita. Terima kasih sebab masih ingat kepada kami,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, hubungan baik yang dijalinkan Sharnaaz dengan Nabila juga dikatakan atas dasar membesarkan anaknya, Jebat Jayden.

“Saya tidak marah atau berdendam dengan Nabila. Saya sudah buang semua perasaan itu. Sekarang, kami adalah satu pasukan untuk membesarkan Jebat.

“Saya fikir Jebat pun tidak tahu bahawa kami ini sudah bercerai,” katanya.

Sebelum ini, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nabila pada 31 Mac 2017 namun masing- masing mengambil keputusan untuk berpisah pada 9 Julai 2020.

Sumber: Berita Harian