Masalah Tonsil Perlu Ke Dibedah Atau Boleh Je Dibiarkan. Dr Ni Jelaskan Agar Tak Keliru!

Share

Berdepan dengan masalah tonsil bengkak tentunya menyakitkan dan adakah perlu hingga dibedah?

Menjawab persoalan ini, wajar kita dengar apa kata doktor pakar ini bila berkongsi tentang salah satu kisah seorang pesakitnya. Jom semak.

Ketika itu ada sangat ramai pesakit. Kami yang menyambut kehadiran para pesakit ini pun jadi tak senang duduk. Kalau lambat buat kerja, lebih lama pesakit di luar menunggu.

Seorang ibu muda masuk ke bilik saya. Wajahnya kusut. Risau teramat sangat. Bersama beliau ada seorang anak kecil, usia sekitar tiga tahun. Comel, periang dan aktif.

“Anak saya ini selalu sangat demam doktor, bila jumpa doktor kat luar, mereka minta datang ke ENT. Tonsilnya besar. Saya nak dia buat operation, doktor,”

Saya dengar semua rintihan dan keluhan wanita ini. Ya, ibu mana tidak bimbang jika ada anak yang selalu jatuh sakit.

Pemeriksaan tekak, telinga, hidung dan lain-lain sistem saya lakukan dengan terperinci. Panjang lebar cerita tentang anak ini saya peroleh.

Beliau ini sebenarnya tidak perlu pun dibedah. Mengapa?

Saya senaraikan beberapa sebab yang memerlukan pembedahan membuang tonsil atau juga dipanggil sebagai ‘tonsillectomy’ :

1. Terlalu kerap alami sakit tekak dan disertai dengan demam. Melebihi tujuh kali dalam setahun. Lima kali setahun selama dua tahun berturut-turut. Atau tiga kali setahun selama tiga tahun berturut-turut.

 

2. Masalah tonsil yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas dan terlalu kerap tidak hadir ke sekolah.

3. Masalah tonsil sehingga menyebabkan masalah akut lain seperti serangan sawan.

4. Apabila doktor ‘suspect’ tonsil membesar disebabkan oleh kanser seperti saiz yang membesar sebelah bahagian sahaja. Ini perlu pemeriksaan oleh doktor.

5. Serangan tonsil secara kerap sehingga menyebabkan pengumpulan nanah di sekitar tonsil ‘peritonsillar abscess’.

Semoga tulisan ini berguna untuk kalian. Jika anak anda ada tanda -tanda ini, bawalah berjumpa kami. Kami bantu.

sumber : Dr Ezairy M.Sallih
Penulis kesihatan