Biasanya kalau menggoreng ayam, ikan atau sebagainya tentu kita akan menggunakan minyak yang banyak. Setelah siap menggoreng pasti ada lebihan minyak di dalam kuali. Hendak dibuang sayang, hendak digunakan bimbang juga kesan sampingannya pula.
Dan bercerita tentang minyak masak ini, nyata banyak jenis minyak ada dipasaran. Pun begitu, mana satu yang paling bagus digunakan untuk menggoreng? Menjawab beberapa kekeliruan lain berkaitan minyak masak, ayuh kita baca perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad untuk manfaat bersama.
HADKAN PENGGUNAAN MINYAK MASAK UNTUK MENGGORENG
Penggunaan minyak masak dalam menyediakan makanan sama ada untuk tumisan atau menggoreng perlu dihadkan. Ini kerana semasa menggoreng, minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang tertinggal di dalam minyak.
Jika minyak ini digunakan berulang kali, semakin banyak sisa toksik HNE atau 4-hydroxy-trans-2 nonenal yang terkumpul dalam minyak itu. Makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut.
Menggunakan minyak yang telah digunakan beberapa kali akan mengundang risiko mendapat penyakit atherosclerosis (salur darah tersumbat akibat menjadi keras dan tebal), penyakit hati, penyakit jantung, penyakit alzheimer, parkinson dan barah.
Sebaik-baiknya minyak masak digunapakai maksimum sehingga dua atau tiga kali sahaja. Jika minyak berkenaan telah bertukar warna menjadi perang kehitaman, minyak berkenaan perlu dibuang.
Minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dibuang kerana darah haiwan itu akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemaknya yang berbahaya kepada kesihatan.
Hal ini berbeza bagi minyak hasil daripada gorengan sayur, ikan bilis, tempe, tauhu, dan kuih-muih. Minyak masak berkenaan masih boleh dipakai untuk kali kedua dan ketiga asalkan tidak bertukar warna serta segala sisa gorengan didalamnya ditapis dan dibuang.
sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad