Masak Ikan Bakar Dalam Kuali Nak Rasa Macam Bakar Atas Bara, Begini Caranya. Barulah Masak Elok & Tak Hangus!

Share

Sekali sekala menjamu selera dengan hidangan ikan bakar tentunya membangkit selera. Aroma ikan yang dibakar tidak dinafikan memang semerbak baunya, buat seisi keluarga tidak sabar untuk menikmati ketika panas.

Pun begitu, ada yang merasakan membakar ikan begitu rumit kerjanya dan sekali gus membantutkan keinginan untuk sediakan ikan bakar sendiri di rumah. Selain bimbang  jika terlebih masa membakar boleh menyebabkan ikan yang dimasak terasa hangus. Apatah lagi jika tiada alatan memanggang, terus terpadam hasrat untuk merasai keenakan rasa ikan bakar di rumah.

Tapi orang kata hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Apa kata buat anda yang teringin nak makan ikan bakar, buat je cara seperti Dr Kamarul Ariffin kongsikan ini.

Menurutnya, dengan teknik membakar di dalam kuali pun boleh dapatkan rasa dan aroma ikan bakar seperti dibakar di atas bara. Nak tahu bagaimana cara dan resipinya. Ini perkongsiannya.

Ikan Bakar Rica Manado

OK, kali ni saya cuma nak kongsi cara saya bakar ikan besar atas kuali leper, dan dapatkan hasil yang menarik rupanya, dan ada aroma macam ikan bakar atas bara. Semua orang boleh buat.

Ikan Bakar Rica Manado by Kamarul Ariffin Nor Sadan. Ikan Bakar Sambal Rica ni berasal dari Manado, Sulawesi. Biasanya bakar atas bara api. Kemudian sambalnya di sapu atas ikan setelah ikan siap dibakar. Hari ni kita akan bakar atas kuali sahaja.

Bahan-bahan: 3 orang makan
1 ekor ikan siakap
5 biji bawang merah
2 ulas bawamh putih
2 batang serai
2 inci kunyit
1 inci halia
2 sudu besar cili kisar
2 helai daun limau purut
1 keping asam gelugor
1 biji limau nipis
Garam dan gula secukup rasa

Cara masak:
1.Ikan ni kita belah perutnya. Belah isi ikan di kanan dan kiri tulang tengah, kemudian keluarkan tulang tu macam ni. Saya paling suka belah ikan siakap macam ni. Cantik dan cepat masak.


2.  Bawang merah, bawamg putih, halia, kunyit, serai dan cili kisar dikisar halus. Kenapa saya kisar lagi cili kisar ni bersama bahan lain? Sebab, kalau sikit sangat bahan nak dikisar, sukar nak dapat kisaran halus.


3. Tumis bahan kisar. Berbeza dengan ikan bakar sambal yang biasanya warna merah. Ikan bakar ni akan warna kuning atau jingga. Tapi sejujurnya, rasa dia tak berapa beza dari ikan bakar sambal.


4. Masukkan asam gelugor, garam dan gula. Daun limau purut, sekali! Jika nak letak belacan pun boleh. Tumis sampai bahan-bahan ni betul-betul masak. Bila dah masak sejukkan sekejap bumbu(perencah) ni.

5. Lumurkan bumbu pada ikan mentah. Oleh kerana kita bakar atas kuali, susah nak sapu ikan bila ikan dah masak. Ia akan hancur kalau kita balik-balikkan dia banyak kali. Ni saya lumur dalam ikan dulu.


6. Kemudian terbalikkan dan lumurkan bumbu pada bahagian luar pula. Boleh alas ikan ni dengam daun pisang atau daun kunyit agar ikan tak melekat pada kuali. Saya guna kuali non-stick.


7. Kita tidak akan terbalikkan ikan ni nanti. Kita akan masak belah bawah sahaja. Untuk pastikan ikan ni masak sekata tanpa hangus. Kita kena bakar dengan api kecil atau sederhana.

8. Kemudian tutup! Kalau ada tanda-tanda nak hangit, jangan panik. Buka penutup, masukkan 1 senduk air, gerak-gerakkan kuali agar air tu turun ke bawah daun. Tutup semula, dan masak sampai air tadi kering.


Inilah hasilnya jika kalian tenang dan sabar. Tak hangus, tak lekat, dan masak sempurna. Saya hias dengan hirisan limau dan bawang jeruk. Ikan bakar ni memang sedap makan dengan benda masam. Peh!


Close up! Ikan bakar ni tak berapa pedas. Bau daun pisang membangkitkan selera. Daun pisang yang hangus di tepi-tepi tu menyumbang kepada aroma smokiness (bau bakar). Itu penting!


Tengok, isi masak sempurna. Malah, daun pisang dibawah tu tak hangus sangat pun. Oklah!

Sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan 

Jom sertai pertandingan Pilihan Keluarga Bulan Ini. Caraya mudah, klik sahaja link INI ) imbas QR code yang ada di poster. Hadiah menarik menanti anda!

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club