Pemeriksaan pap smear adalah pemeriksaan saringan untuk menguji kewujudan sel-sel kanser pada pangkal rahim di kalangan wanita. Dalam ujian ini, sel-sel pada pangkal rahem diambil dan dihantar ke makmal untuk dilihat di bawah mikroskop.

Bagi wanita yang berisiko tinggi, mengesan kewujudan sel-sel kanser pangkal rahim pada peringkat awal dengan pemeriksaan Pap smear ini memberi peluang yang lebih besar untuk wanita tersebut merawat kanser itu dengan sempurna. Pap smear juga boleh mengesan perubahan pada sel-sel serviks yang mungkin akan berubah menjadi sel-sel kanser pada masa depan.

Secara mudahnya, saya akan menerangkan dalam cara yang lebih mudah untuk laporan pap smear ini. Jika dalam laporan Pap smear mengatakan bahawa pemeriksaan itu “NORMAL” bermakna tiada sel-sel kanser atau sel-sel yang mencurigakan (yang bakal berubah menjadi kanser pada masa depan) ditemui. Wanita itu tidak memerlukan apa-apa rawatan atau ujian ulangan Pap smear hanya perlu dilakukan antara 3-5 tahun kemudian.

TIDAK NORMAL

Jika dalam laporan Pap smear mengatakan bahawa pemeriksaan itu “TIDAK NORMAL”, tidak bermakna wanita itu mempunyai kanser pangkal rahem (kanser serviks). Ia tidak semestinya bermakna terdapat sel-sel yang berbahaya yang ditemui semasa pemeriksaan Pap smear.
.
Ia bergantung kepada jenis sel yang ditemui.
.
1. Atypical squamous cells of undetermined significance (ASCUS)
.
Sel squamous adalah sel normal yang menyelaputi pangkal rahem. Dalam keadaan ini, sel-sel squamous itu menunjukkan perubahan yang tidak normal tetapi belum lagi menjadi lagi sel-sel prakanser. Pemeriksaan lanjut dilakukan untuk memeriksa kehadiran kuman ‘Human PapillomaVirus’ (HPV) yang boleh menggalakkan sel-sel yang tidak normal ini menjadi sel-sel kanser.
.
Jika terdapat bukti kehadiran HPV, maka ujian selanjutnya harus dijalankan, sementara jika tiada HPV, jangan risau. Tiada apa yang perlu dilakukan.
.
2. Squamous intraepithelial lesion
.
Sel-sel ini adalah sel-sel prakanser. Ini bermakna jika tidak diraeat dengan baik, dalam beberapa tahun kemudian sel-sel ini akan bertukar menjadi kanser dan menyebabkan kanser pangkal rahem. Pemeriksaan lebih lanjut akan dilakukan.
.
3. Atypical glandular cells
.
Selain dari sel squamous, pangkal rahem juga diselaputi oleh sel-sel glandular yang mengeluarkan lendiran dan memastikan pangkal rahem menjadi lembap. Sel-sel ini mungkin menjadi tidak normal, tetapi ia belum lagi menjadi sel-sel kanser. Pemeriksaan lanjut harus dilakukan untuk memastikan belum ada lagi sel-sel ini yang telah bertukar menjadi sel-sel kanser.
.
4. Squamous cell cancer or adenocarcinoma cells
.
Kedua-dua jenis sel ini menunjukkan telah berlaku perubahan dari sel prakanser kepada sel-sel kanser. Walau bagaimanapun ia perlu dipastikan denga pemeriksaan lanjut. Jika keputusan pemeriksaan Pap smear tidak normal, doktor mungkin melakukan pemeriksaan lanjut yang dinamakan “colposcopy” menggunakan alat kanta pembesar yang khas memeriksa tisu pada pangkal rahem (serviks), vagina dan vulva.
.
Semasa pemeriksaan itu, doctor akan mengambil sampel tisu (biopsi) dari mana-mana kawasan yang kelihatan tidak normal. Sampel tisu ini kemudiannya dihantar ke makmal untuk analisis, pengesahan dan diagnosis tepat.
.
Oleh itu, apabila keputusan laporan Pap smear melaporkan sebagai TIDAK NORMAL ketika buat pemeriksaan saringan dan sekiranya tidak mempunyai masalah pendarahan dari faraj (tanda-tanda awal berlakunya kanser pangkal rahem), saya menasihatkan untuk melakukan ujian ulangan Pap smear dalam masa terdekat. Jangan bimbang, kerana ada kalanya ia disebabkan oleh masalah teknikal ketika menyediakan sample tisu semasa prosedur Pap smear sehingga menyebabkan sampel ini agak rosak.
.
Namun jika laporan Pap smear adalah TIDAK NORMAL dan seseorang itu mengalami pendarahan, sebagai contoh pendarahan selepas bersama suami melakukan hubungan seksual, atau pendarahan faraj yang berterusan, pemeriksaan lanjut harus dilakukan. Tidak perlu lagi mengulangi pap smear tetapi terus berjumpa dengan pakar gynaecologist bagi melakukan pemeriksaan lanjut colposcopy.

Kredit: Dr Zubaidi Haji Ahmad