Mansuh PT3, keputusan SPM tidak akan terjejas. Pemansuhan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak menjejaskan prestasi pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, mengikut keputusan SPM bagi kohort selepas pemansuhan sistem peperiksaan itu, prestasi kekal baik malah ada mata pelajaran yang menunjukkan berlaku peningkatan memberangsangkan.
“Pertama, menurut keputusan SPM bagi kohort yang dimansuhkan PT3, pencapaian murid kita tak terjejas. Kita juga lihat ada subjek yang menunjukkan peningkatan dari segi kelulusan dan prestasi.
“Keduanya, apabila bercakap mengenai pemansuhan PT3 dan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), KPM sekarang memberi tumpuan kepada pemerkasaan pentaksiran berasaskan sekolah.
“Ini membabitkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), sukan, penaksiran aktiviti jasmani dan kurikulum serta psikometrik,” katanya pada Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-BUkit Bintang) yang ingin tahu prestasi pelajar selepas sistem peperiksaan termasuk UPSR dan PT3 dimansuhkan, ini mengambil kira terdapat rungutan daripada ibu bapa yang mendakwa pencapaian akademik anak-anak mereka semakin merosot dengan semangat untuk belajar juga turut menurun.
Kah Woh turut berkata, pendekatan dan hala tuju KPM yang memberi penekanan kepada PBD ketika ini selaras dengan agenda pendidikan global.
“Kita dah buat perbandingan dengan negara lain seperti Finland, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Hong Kong dan Jerman, kesemua negara ini sudah beralih kepada peperiksaan berpusat kepada PBD.
“Pada masa sama, pelaksanaan (PBD) juga selari dengan’Incheon Declaration And Framework For Action’ yang dibentangkan di World Education forum di Incheon, Korea Selatan.
“Deklarasi ini menggariskan pendidikan berkualiti melalui pendidikan berterusan berasaskan bilik darjah dan pentaksiran lebih komprehensif,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjawab soalan asal Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang ingin tahu status penyediaan bank soalan berpusat yang setara standardnya untuk membantu guru dalam melaksanakan PBD termasuk menyediakan soalan bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Kah Woh berkata, mulai sesi akademik 2024/2025, KPM memberikan autonomi penuh kepada sekolah dan guru dalam pelaksanaan UASA.
Autonomi ini merangkumi aspek penyediaan soalan ujian, pentadbiran dan pengoperasian ujian, pemeriksaan serta pelaporan.
“Dalam memastikan kelancaran pelaksanaan dan kualiti pentaksiran, KPM menyediakan format pentaksiran serta Modul Perealisasian Item bagi membantu guru dalam penyediaan soalan serta panduan penskoran.
“Selain itu, bagi memastikan soalan yang dibangunkan selari dengan kandungan kurikulum yang ditetapkan, KPM turut menyediakan Jadual Spesifikasi Ujian Piawai sebagai rujukan utama guru.
“Dalam usaha memperkasa keupayaan guru, KPM melatih seramai 259,656 orang guru dalam aspek penyediaan soalan dan pelaksanaan ujian. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme dan kemahiran guru dalam aspek pedagogi serta pentaksiran pendidikan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan penjaminan kualiti yang berterusan, KPM melaksanakan kunjung bantu ke sekolah bagi memberi bimbingan dan sokongan kepada guru dalam mengendalikan ujian akhir sesi akademik.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Terkini: UPSR Dimansuhkan Sepenuhnya, PT3 Dibatalkan Tahun Ini.
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my