Setiap kali muncul di kaca tv, pasti ada sahaja gelagatnya yang mencuit hati. Lakonannya biasa-biasa sahaja namun lawak yang ditonjolkan membuatkan ramai tak kering gusi.
Tidak hairanlah andai dikatakan dia antara pelawak tanah air yang konsisten sejak dahulu hingga kini.
Bahkan terbaru, lakonannya dalam filem berjudul 18 Puasa Di Kampung Pisang menjadi bualan ramai. Manakan tidak, watak yang dibawa oleh Bell bernama Barkoba tersebut nyata meninggalkan kesan sehingga diingati para penonton.
Filem arahan Mamat Khalid ini berjaya mengutip sebanyak RM1 juta dalam masa tiga hari ditayangkan di Astro First. Setelah 3 minggu ditayangkan, kutipan telah mencecah RM4 juta, satu jumlah yang amat menakjubkan.Sekali gus menaikkan kembali nama Bell dalam industri seni tanah air.
Namun, jarang sekali media memuat naik kisahnya bersama ahli keluarga. Namun, sempena Syawal yang lalu, Bell berkongsi gambar raya bersama isteri dan anak-anaknya. Memang cantik semuanya memakai baju raya warna sedondon rona merah jambu.
“Selamat hari raya kepada semua. Saya nak minta maaf zahir dan juga batin yep. Dah macam kawan-kawan semua.”
Dalam pada itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkata, biarpun Aidifitri berlangsung dalam serba kekangan akibat krisis Covid-19, namun baginya, raya tetap raya.
Jelas Bell lagi, kelazimannya mereka sekeluarga pulang beraya di Johor dan Kedah (keluarga belah isteri).
“Kami biasa akan balik beraya di Kota Tinggi dan Ulu Tiram, Johor. Tetapi apa yang boleh buat, kita semua diuji dengan wabak Covid-19.
“Memang tak rasa raya sebab tak dapat jumpa sedara-mara. Tapi, ada hikmahnya juga. Disebabkan Covid-19, tak perlulah kita peruntukkan banyak sangat duit raya (ketawa).
“Raya ini akan paling seronok andai kita pegang status atau tiket kanak-kanak. Dapat beraya di rumah sesiapa pun dan paling ‘best’, semasa kutip duit raya. Ketuk sahaja pintu rumah sesiapa, mesti bawa balik ‘ongkos’.
“Sekarang dah tak macam dahulu. Nyawa bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Saya rasa anak-anak pun dah reda. Semua orang rindukan suasana beraya dahulu yang bebas ke mana-mana tanpa sekatan. Tetapi ini semua dugaan. Sama-samalah kita hadapinya dengan tabah.” ujar Bell lagi.
Melihat gambar berkenaan, ramai yang menulis dan memberi respon. Antaranya ada menulis bahawa dalam gambar ni semuanya nampak muda. Bagaikan semuanya sebaya umurnya.
Sumber: Kosmo & bellngasriofficial
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club