“Mama, Saya Nak Ikut Kawan Pergi Desaru…”- Jaga Anak Perempuan Bukan Mudah, Mana Dia Pergi Bawa Maruah Keluarga!

Share

Orang dulu-dulu selalu ulang-ulang kata mengatakan bahawa jaga anak perempuan ini lebih sukar, kemana sahaja dia pergi akan membawa maruah keluarga. Apatah lagi melihat cabaran membesarkan anak remaja masa kini, nyata berganda kerisauan ibu ayah jadinya.

Umpamanya kisah yang dikongsikan oleh seorang ibu ini, ustazah Rohamiah Muda di akaun facebooknya meluah rasa kerisauan bila anak perempuannya meminta izin bercuti bersama kawan-kawan.

Biarpun anak perempuannya sudah besar, namun di hati ibu tetap gusar apabila anak tidak di depan mata. Hanya kata-kata nasihat dititipkan buat anak perempuannya agar pandai jaga diri. Selebihnya Allah jualah yang memelihara anak perempuannya itu.

Anak Minta Izan Ke Desaru

“Mama, saya nak ikut kawan pergi Desaru,” kata Kakak Izzati beberapa hari lepas.
“Buat apa?” tanya saya.
“Saja. Kawan ajak.”

Sambil berfikir dan mencari alasan, saya menjawab, “Mama tanya papa dulu ya.”
“Ala …” jawab Kakak seperti ada nada kecewa.

Boleh Bersyarat

Dalam hati sebenarnya saya tidak izinkan dia pergi. Bimbang tanpa pantauan.

“Mak kawan saya pun ikut juga. Dia yang pandu kereta. Ada seorang lagi kawan saya ikut,” Kakak Izzati terus merayu.

Selepas berfikir, saya menjawab, “Boleh dengan syarat. Pakai baju sopan, jangan leka dan jaga adab.”

“Okey!” jawab kakak ceria.

Saya melihat ada sinar di matanya. Seronok!

“Mama …” ucap kakak dengan memandang saya sambil senyum.
“Nak apa lagi?”
“Nanti nak duit sikit, sebab nak kena bayar.”
“Ya lah.”

Terfikir Menarik Semula Keizinan

Beberapa hari kemudian, kakak bersuara, “Mama, nak beli baju.”
“Nak buat apa?”
“Nak pergi Desaru nanti nak mandi. Nak kena pakai baju ‘jesy’,” kata Kakak Izzati.
“Nak mandi? Tempat terbuka ke tak?”
“Tak tahu.”

Ketika ini saya mula terfikir untuk menarik semula keizinan. Tapi, saya sudah beri keizinan, saya tetap membuat syarat.
“Ada ke baju ‘jesy’ yang labuh?” tanya saya.
“Ada.”

Gambar hiasan

Hati seorang ibu, tetap tidak tenang dengan permintaan anak.
Pergi dengan kawan, bimbang tindak tanduknya tidak terkawal.
‘Ya Allah, jika perkara ini tidak baik bagi anakku, Engkau jadikan sebab untuk batalkan program ini,’ doa saya dari hati yang paling dalam.
Selepas sediakan keperluan Kakak Izzati untuk ke Desaru, saya serahkan urusan ini kepada Allah.

Akhirnya Hati Sangat Lapang

Tiba-tiba semalam, Kakak Izzati berkata, “Mama, kawan saya beritahu, dia tak jadi nak ke Desaru sebab mak dia nak pergi ke K.L.”
“Oh, ya?”

Dalam hati, saya ucapkan alhamdulillah.
Saya ceritakan kepada Kakak Izzati tentang doa saya. Dia ketawa. Sebab dia tahu saya agak susah untuk lepaskan dia keluar bermusafir bersama kawannya.
Subhanallah.

Hati saya sangat lapang selepas Kakak Izzati maklumkan berita itu.
Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Sungguh. Menjaga anak perempuan lebih sukar. Ke mana dia pergi, dia membawa maruah diri dan keluarga.

Moga Allah terus pelihara anak remaja kita. Semoga mereka teguh dalam beragama. Amin

Sumber : Rohamiah Muda