“Mama Mai Ambik Adik.” Ibu Mimpikan Anak Rupanya Petanda Dia Sudah Meninggal, Hanya Tinggal Tengkorak & Cebisan Rambut.

Share

Mimpi anaknya datang kira-kira dua minggu lalu, rupa-rupanya petanda yang dia sudah tiada lagi buat selama-lamanya.

“Dalam mimpi saya, Aleya datang dan memberitahu ‘Mama mai ambik adik’ dan tidak lama selepas itu, mimpi hilang menyebabkan saya tidak sedap hati,’ itu luahan Rosmaliah Samo, 32 yang merupakan ibu kepada arwah adik Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3.

Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang dikatakan  hilang ketika dalam jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi, hujung bulan lalu  ditemui di Gunung Raya, Langkawi dengan keadaan tinggal cebisan rambut dan tengkorak.

Menceritakan detik awal kehilangan anaknya, Rosmaliah memberitahu pernah menjalinkan hubungan dengan suspek.

“Kami menjalinkan hubungan sulit selama empat bulan dan lelaki itu membawa saya pulang ke rumahnya di kuarters dan memperkenalkan saya sebagai rakannya kepada isteri yang juga jururawat di hospital berkenaan,” katanya sambil memberitahu sepanjang tinggal di kuarters itu, hubungannya dengan isteri lelaki berusia 40 tahun itu sangat baik.

Bagaimanapun, menurutnya, wanita itu berjaya menghidu hubungan sulit mereka apabila tersilap berbalas WhatsApp dengan isterinya melalui telefon bimbit lelaki berkenaan.

Katanya, dia kemudian keluar dari rumah berkenaan sejak 27 Januari lalu untuk bekerja di kedai makan dan sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah bertemu dengan Nur Aisyah Aleya.

“Disebabkan rindu untuk bertemu dengan anak, saya pergi ke rumah mereka pada 22 dan 23 Februari lalu tetapi kecewa apabila dimaklumkan anak saya tiada dalam jagaan mereka.

“Berikutan itu, saya ke Pulau Pinang dan pulang semula ke sini pada 28 Februari lalu sebelum suami isteri itu datang bertemu saya dan memujuk tinggal bersama mereka, tetapi saya enggan kerana mereka tidak mahu memberitahu di mana anak saya berada. Tetapi anak lelaki suami isteri terbabit yang berusia 4 tahun  memberitahu yang  Aleya dah mati,”cerita Rosmaliah lagi.

 

Dia yang berasa tidak sedap hati kemudian sekali lagi ke rumah pasangan terbabit di Kuarters Hospital Langkawi keesokan harinya namun kanak-kanak terbabit memberitahu bapanya sudah menyerahkan Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, kepada orang lain.

Katanya, ketika itu dia mengesyaki sesuatu tidak kena dan antara percaya atau tidak anaknya sudah meninggal dunia kerana mustahil seorang budak bercakap bohong.

“Lelaki itu ada datang ke hostel berhampiran tempat kerja saya dan berjumpa seperti biasa, namun berdolak dalik memberitahu anak saya dalam keadaan sihat di bawah jagaannya dan dia akan bawa bertemu dengan saya tidak lama lagi.

Rosmaliah mendedahkan anaknya pernah ditampar dan dipukul beberapa kali di depan matanya sehingga mempunyai kesan lebam dan kesan dicucuh rokok di seluruh badan, selain kulitnya melecur seperti disiram air panas, sepanjang tinggal bersama keluarga itu.

Rosmaliah pernah cuba melarikan diri tetapi gagal kerana pintu telah dikunci dengan mangga.

“Isterinya pernah memberitahu yang suaminya pernah membawa perempuan lain pulang dan tinggal bersama di kuarters itu sebelum ini, menyebabkan saya tidak kisah apabila dia bawa saya pulang ke rumah itu.

“Dia seorang yang panas baran dan suka pukul kalau tak ikut cakap dia, malah isterinya pernah menjadi mangsa dan saya kurang yakin isterinya terbabit bersubahat dalam perkara ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro