Babah Hadir Beri Sokongan. Pasangan Adik Beradik Zaki & Yamani Juara Famili Duo Musim 2!

Share

Selepas lapan minggu berjuang, usaha keras pasangan adik-beradik, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara Famili Duo musim kedua, malam tadi.

“Alhamdulillah. Syukur, terima kasih kepada semua yang menyokong. Kepada team Nusa Music, ibu bapa kami! Itu yang sangat bermakna. Terima kasih Mama, terima kasih babah,” kata Yamani selepas mereka diumumkan sebagai juara.

Tambah Zaki Yamani, ” Terima kasih Abang Ajai, Mummy (Mas Idayu). Terima kasih kepada abang-abang pemuzik, terima kasih kepada emak saya yang selalu bagi semangat.”

Dalam pada itu, apa yang menarik perhatian pada malam akhir program tersebut adalah kemunculan Babah kepada pasangan adik beradik ini, iaitu Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah yang turut hadir memberikan sokongan buat anak-anaknya.

Kemunculan Jamal merupakan kemunculan pertama sejak anak-anaknya bertanding dari minggu pertama pada 18 Disember 2022.

Malah, juri tetap Mas Idayu juga sempat bertanyakan soalan kepada pelantun lagu ‘Gadis Melayu’ sama ada dia marah ketika juri itu menegur anaknya sebelum ini. Isyarat ‘thumbs up’ sebagai tanda tidak kisah dengan teguran itu menarik perhatian orang ramai pada malam itu.

“Datuk marah tak saya tegur anak Datuk?” Soal Mas Idayu sebelum diberikan respon isyarat tangan tersebut.

Zaki dan Yamani menyampaikan lagu Potret dan Pelukan Angkasa di segmen Anugerah Juara Lagu (AJL) bersama medley Bunga, Hutang dan Kau Pun Sama di segmen bebas bersama berjaya menumpaskan tiga pasangan duo lain dan berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM100,000. Adik beradik itu secara resfleks bersujud syukur di atas kemenangan.

Berpuas hati di tempat kedua, Ayda Jebat dan Fyna Jebat yang membawakan lagu Pada Syurga di Wajahmu di segmen AJL dan medley lagu Gangnam Style dan Let’s Get Loud di segmen bebas meraih 78.7 peratus mata dan berjaya membawa pulang RM20,000.

Tampil unik dengan lagu Let It Go di segmen bebas dan medley Gila dan Laguku Untukmu di segmen AJL, duo sepupu Wani Kayrie dan Bella Astillah berjaya meraih tempat ketiga dengan kutipan mata sebanyak 76.6 peratus serta membawa pulang wang tunai RM15,000.

Dengan markah sebanyak 63.3 peratus, Naim Daniel dan Sissy Imann meraih tempat keempat. Mereka yang membawakan lagu Kau Yang Punya di segmen bebas dan Sumpah di segmen AJL membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.