Malaysia #QuranHour Angkat Tiga Surah Pilihan, Jadi Panduan Bina Legasi Pemimpin Abrar

Share

Baru-baru ini Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinergi media Malaysia dari pelbagai platform media di seluruh negara bergabung untuk menyebarluaskan misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah pada Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia sempena Malaysia #QuranHour 2023, di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.

Sesi pertemuan bersama rakan Sinergi Media kali ke 9 bertujuan bersama membawa misi menyampaikan nilai-nilai mulia al-Quran dengan menyeru lebih ramai rakyat Malaysia terutama golongan muda di dalam dan luar negara untuk menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di platform media masing-masing.

Malaysia #QuranHour tahun ke 9 anjuran WUIF dengan kerjasama rakan sinergi, akan diadakan secara serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya, pada pukul 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 30 Ogos 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Malaysia #QuranHour sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 66, buat pertama kali ini memfokuskan agenda anak muda dan peranan orang dewasa dalam membawa misi “Malaysia Berakhlak Mulia : Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar.”

Pemuda menjadi tonggak dan aset penting dalam pembinaan negara pada masa hadapan Gabungan anak muda dan orang dewasa saling melengkapi dalam melahirkan pemimpin abrar dan membawa legasi kebaikan yang membumikan al-Quran.

“Sehingga 12 Ogos 2023, para pemimpin, calon dan rakyat berhempas pulas dengan pelbagai cara untuk menentukan kepimpinan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Kini tiba masanya kita semua bangkit untuk bersyukur dan membina legasi negara Madani yang amanah, ikhlas, teguh, harmoni, sejahtera, dan progresif. Ini selari dengan tema Hari Kebangsaan, “Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

“Kita perlu tinggalkan segala pertelingkahan, perbalahan dan perpecahan di segenap lapisan rakyat mahupun pemimpin. Dalam erti kata lain, rapatkan jurang perbezaan, besarkan persamaan dalam membangunkan negara Malaysia Berakhlak Mulia.

“Malaysia #QuranHour yang digerakkan sempena momentum Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun, mengajak seluruh masyarakat memahami intipati dan erti kemerdekaan dalam membangunkan sebuah negara yang aman, utuh dan progresif, melalui intervensi yang diformulasikan dari prinsip-prinsip al-Quran.

“Pendekatan tadabbur dengan al-Quran iaitu Surah Al-Fatihah (Pembukaan), Surah Al-Insan (Manusia) dan Surah Al-Asr (Masa) menjadi surah pilihan bagi mengangkat tema tersebut dapat melahirkan golongan pemuda berkemahiran dalam membina projek pembangunan negara sekaligus melahirkan para pemimpin abrar pada masa hadapan.”

Tambah beliau, dengan berpandukan kepada al-Quran dan Hadis, ia dapat membentuk kerangka fikir dan karakter diri yang mulia, seterusnya dapat menjiwai kemerdekaan sebenar dalam kalangan rakyat, khususnya golongan pemuda. Impak daripada kempen #QuranHour juga diharapkan mampu melahirkan Muslim yang bersyukur, minda yang cerdas dan berkemahiran.

Al-Quran menjadi sumber bimbingan utama dan rujukan untuk meningkatkan jati diri secara holistik daripada aspek fizikal, emosi, spiritual, intelektual dan sosial. Daripada kekuatan dalaman yang terbina inilah akan wujud individu yang merdeka jiwanya dan berupaya melonjak sebuah tamadun bangsa dan negara.

“Kita harap peranan media sangat penting untuk membawakan semangat bangsa merdeka yang benar-benar melakukan sesuatu, bukan setakat bercakap atau berteori tetapi bertindak untuk melakukan kebaikan dalam masyarakat dan negara.

Puan Marhaini Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF

Melalui Malaysia #QuranHour, al-Quran menjadi tali penghubung dan solusi umat Islam di seluruh dunia. Dengan kerjasama Sinergi Media Malaysia dalam menjayakan kempen #QuranHour dapat dapat diteruskan dalam membawa misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah pada 1500H.

Program tersebut dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MTMZA, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara. Sementara itu, penaja, Wardah dan Kahf, Kueh Café dan Gardenia turut memberi sokongan.

Antara jemputan rakan Sinergi Media yang bergabung dalam misi mengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah adalah RTM, Sinar Harian, Sinar Islam Plus, TV9, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Radio IKIM, Utusan TV, Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Nu Ideaktiv, Zayan FM, New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro, TV3, Media Prima, dan Denaihati Network.

Tahun ini, RTM buat julung kali menjadi penyiar rasmi bagi Malaysia #QuranHour di lapangan untuk bersiaran secara langsung pada hari tersebut. Rakan media lain dialu-alukan untuk bersiaran serentak di platform masing-masing. Pada 2017, RTM menjadi penyiar utama bagi Merdeka #QuranHour di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.