Hati mana tak sedih, jiwa mana tak pilu bila tak dapat peluang meraikan hari bahagia bersama orang yang tersayang. Saban tahun, kepulangan nak di hari raya adalah cukup dinantikan oleh ibu bapa di kampung.
Tahun ini merupakan tahun kedua semua umat Islam menyambut raya tanpa dapat pulang beraya di kampung.
Bagi yang tinggal bersama ibu bapa pasti tiada masalah, namun bagi anak-anak yang tinggal diperantauan, sekali lagi emosi cukup meruntun jiwa. Semuanya dek perintah pihak kerajaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi angkasawan negara, Dato Dr Sheikh Muszaphar, situasi ini turut dirasi. Namun dia dan keluarga mengambil langkah awal dengan pulang ke rumah ibunya lebih awal untuk bertemu dan bermaaf-maafan sempena raya yang bakal menjelang tak lama lagi.
Beraya tanpa Ibu. Malam terakhir bersama Ibu. Sebak di dada hanya Allah yang tahu. Tanpa Ibu tiada hala tuju. Walaupun rumah hanya berbatu, namun terasa sukar buat diriku.
Tabahlah wahai Ibu. Ia hanya untuk sementara waktu. Semoga Allah permudahkan dirimu. Ku panjat doa buatmu. InsyaAllah akan ketemu. Amiinn Ya Rabb.
Dalam perkongsiannya, beliau akui rasa sebak kerana tidak dapat beraya bersama ibu tercinta meskipun rumah mereka tidak jauh.
Sebagai anak, dia berharap semua ibu di luar sana tabah dengan apa yang berlaku.
Di samping itu, Dr Sheikh Muszaphar turut mengucapkan salam Ramadan buat keluarga mentuanya yang dipercayai menetap di Seremban.
Jelas Dr Sheikh Muszaphar dan isteri sudah setahun tidak pulang ke sana. Justeru, hanya doa dititipkan supaya keluarga di sana berada dalam keadaan sihat dan dipanjangkan usia.