“Malam Tadi Saya Yang Jaga. Mak Sakit, Muntah Darah Kemudian ‘Tidur’.” Anak Sangka Tidur, Rupanya Ibu Sudah Meninggal!

Share

Kisah yang cukup meruntun jiwa, demikian boleh diungkapkan tatkala membaca kisah yang dikongsikan oleh saudara Muhammad Rafieudin Zainal Rashid menerusi laman facebooknya.

Menurutnya, seorang anak kecil yang baru berusia 8 tahun kehilangan ibu tersayang buat selama-lamanya. Lebih memilukan, si anak itu berada di samping arwah ibunya yang disangkakan sedang tidur, namun sudah tidak bernyawa lagi.

SAYA JAGA MAK MALAM TADI SAMPAI MAK ‘TIDUR’ BARU SAYA TIDUR 🧒💀⚰️😭

“Petang semalam (15 Julai 2021), setelah 5 jentera SPJM dengan kekuatan 15 orang skuad bergerak ke lokasi hospital masing-masing untuk menguruskan jenazah Covid19, saya menerima panggilan dari seorang wanita muda untuk bantuan menguruskan jenazah ibunya yang meninggal dunia di rumah.
Arwah meninggal dunia di PPR Kota Damansara awal pagi semalam kerana penyakit kanser hati di usia 42 tahun. Dia mempunyai 7 orang anak bersama bekas suaminya sebelum ini.
Hanya 3 orang anak saja yang tinggal bersamanya yang berusia 20, 16 dan 8 tahun sementara yang lain tinggal bersama bekas suaminya di Klang. Keadaan rumah mereka agak dhaif dan serba kekurangan.

“Malam tadi saya yang jaga Mak. Saya jaga Mak sampai Mak tidur.” Anak kecil berusia 8 tahun ini petah berkata-kata menceritakan kejadian malam tadi.

“Kakak kat mana waktu tu?” Tanya saya pada anak perempuan arwah berusia 16 tahun.

“Saya tidur lepas tu saya dengar suara Mak jerit sebab sakit pukul 3 pagi, saya tengok adik dah jaga Mak kat bilik Mak, jadi saya tidur semula.” Jawab si Kakak.

“Mak jerit sakit. Saya urut tangan Mak, dada Mak. Tiba-tiba Mak muntah darah lepas tu Mak pun tidur. Bila Mak tidur saya pun tidur.” Sambung anak bongsu arwah lagi.

Allahuakbar. Anak sekecil itu memang tidak mengerti apa-apa. Dia tidak tahu langsung yang ‘tidur’ ibunya itu adalah tidur yang selamanya.

Ketika dia bercerita dalam esak tangisnya, mengalir juga air mata ini. Saya peluk anak itu. Cuba menenangkannya dan memahami betapa beratnya ujian yang sedang dilalui saat itu.

Jenazah arwah dimandi dan dikafankan di dalam rumahnya. Saya dimaklumkan kawasan perumahan mereka mempunyai banyak kes positif Covid-19.

Disebabkan itu jiran-jiran yang lain tidak keluar rumah demi menjaga keselamatan diri mereka. Mujur ada 2 orang jiran rumah arwah yang berdekatan yang sudi membantu menguruskan jenazah arwah.

Jiran arwah sangat baik. Mereka antara yang sering membantu menghulurkan bantuan keperluan asas buat arwah dan anak-anaknya

Setelah skuad muslimah kami selesai menyempurnakan jasad arwah, kami memberikan peluang untuk anak-anak arwah menatap wajah ibunya dan menciumnya untuk kali terakhir. Anak yang paling kecil itu menangisi pemergian ibunya. Dia peluk ibunya. Sedang di tangannya masih ada mainan kecil mungkin sekadar untuk tenteramkan diri sendiri

Saya pegang bahunya tenangkan dirinya. Kemudian kami mendirikan solat jenazah di situ sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Menurut Bekas suami arwah juga turut bersama membantu dari awal hingga akhir.

“Ustaz, saya tak mampu nak bayar kos semua ni. Saya baru kematian 2 ahli keluarga yang lain sebab covid. Sekarang simpanan saya dah habis.”

Keluh bekas suami arwah yang jelas terpapar wajah kerisauannya tentang bayaran kos pengurusan jenazah bekas isterinya itu. Abang tak perlu risau. Kami faham situasi abang. Semua kos pengurusan jenazah ini termasuk kos tanah kubur saya akan selesaikan.”

Pujuk saya untuk menenangkan hatinya yang tampak sangat gelisah ketika itu. Menangis dia. Nak dipeluk saya tapi segera dia ingat keadaan sekarang membatasi pergerakan sosial.

Alhamdulillah, jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada jam 5:30 petang. Terima kasih kepada En. Fendy dan petugas tanah perkuburan yang membantu memudahkan urusan pengebumian arwah.

Semoga roh Almarhumah Roziah binti Abd Malek ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Aamiin.

Ustaz Rafie Zainal – Undertaker
Pengerusi Eksekutif,
Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia – SPJM
Majlis Usrah Nur Fattah
MyKasih Jenazah

013-322 7937 / 03-2385 7032
(Perkhidmatan 24 jam pengurusan jenazah di seluruh Malaysia)
www.spjm.my