
Menikmati enaknya pucuk ubi yang direbus bersama sambal belacan memang sukar untuk digambarkan kenikmatan rasanya, boleh buat makan bertambah!
Pun begitu, tidak dinafikan ada juga yang alah dengan makan pucuk ubi. Jika makan akan berangin perut dan buat rasa tidak selesa.
Itu belum lagi hingga ada yang terasa kepala berat dan sakit dan pelbagai lagi kesan daripada makan pucuk ubi yang dikatakan kumpulan sayur yang berangin.
Namun bila mengenangkan sedapnya makan ulam pucuk ubi ini, ada juga yang sanggup ‘curi-curi’ makan untuk melepaskan keinginan.
Sebenarnya ada petua yang boleh dipraktikan. Ini seperti mana yang dikongsikan oleh Puan Saleha Maarof berkenaan petua yang diamalkan oleh ibunya setiap kali merebus pucuk ubi.
Kesannya, ibunya yang pada awalnya alah dengan makan pucuk ibu sudah boleh makan tanpa kesan sampingan.
Nak tahu bagaimana caranya, jom baca perkongsian penuh daripadanya.
PETUA ELAK KENA ANGIN, SAKIT KEPALA
Tau tak, ada orang kan dia alah sangat makan pucuk ubi ni. Bila makan je mesti sakit kepala atau mudah kene serang angin, sampai sebu sebu.
Ni petua dari mak sal sendiri. Mak memang takboleh makan sebarangan memang mudah kene angin.
Kalau nak makan pucuk ubi ni pun, teringin nak makan pun dah kena angin.
Petua ni mak dapat dari orang tua tua yang ajar mak, lepas mak dah buat, mak dapat dah menikmati keenakkan pucuk ubi rebus nak buat ulam tu.
Caranya :
1. Masukkan sedikit je beras masa nak rebus pucuk ubi tu.
2. Rebus la sampai empuk lembut.
Nak rebus sekali batang boleh, taknak pun takpa ikut selera memasing. Sebab batang tu pun sedap bila dah rebus lama lama tau.
Tips ni pun boleh buat untuk nak masak apa apa makanan yang berangin contohnya nangka masak lemak tu. Pun boleh try petua yang sama.
Jadi mana yang hadapi masalah yang sama sakit angin tu boleh try petua ni, dah takda masalah lepastu kita nak menikmati sayur kampung ni nak buat ulam kan.
Sumber : Saleha Maarof
Biasanya Tak Boleh Telan Ubat Biji, Hancur & Lumatkan. Tapi Boleh Ke Begitu? Dr Ni Jelaskan Mungkin Ramai Belum Tahu!

Mungkin pernah antara kita ketika kecil dahulu bila susah sangat menelan ubat berbentuk biji, mesti ibu akan menghancurkan ubat tersebut untuk memudahkan kita menelannya. Pun begitu, adakah cara dengan menghancurkan ubat tersebut ianya tidak menjejaskan kualiti ubat yang dimakan.
Nak tahu penerangan lanjut berkaitan makan ubat yang dihancurkan, ayuh kita baca perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad ini. Semoga bermanfaat.
BOLEHKAH UBAT DIHANCURKAN?
Pengambilan ubat biji secara oral merupakan kaedah rawatan yang paling kerap dan paling mudah dilakukan. Namun begitu, masalah akan timbul apabila pesakit tidak berupaya menelan makanan pepejal dan menyebabkan pengambilan ubat biji secara oral turut terjejas. Dalam keadaan ini, pesakit, penjaga mahupun pengamal perubatan seperti ahli farmasi dan jururawat perlu mencari alternatif lain bagi memastikan pemberian atau pengambilan ubat biji dapat dilakukan dengan tepat. Salah satu daripada alternatif tersebut adalah dengan menghancurkan ubat-ubatan tersebut.
Terdapat beberapa situasi yang memerlukan ubat-ubat biji dihancurkan. Antaranya adalah untuk memudahkan pemberian ubat kepada pesakit melalui tiub makanan yang dipasang melalui hidung bagi pesakit yang mengalami kesukaran untuk menelan (dysphagia). Selain itu, pesakit juga mungkin terpaksa menghancurkan ubat dan mencampurkannya dengan makanan ataupun minuman dengan tujuan untuk menyembunyikan rasa ubat yang kurang disukai. Sesetengah ubat biji pula diperlukan dalam dos tertentu untuk kanak-kanak, tetapi tidak tersedia dalam bentuk cecair.
Oleh itu, ubat perlu dihancurkan, dilarutkan dan disukat mengikut dos yang dikehendaki. Namun begitu, persoalan yang harus diambil perhatian adalah, adakah semua ubat-ubat biji seperti kapsul, pil dan tablet boleh dihancurkan?
Perkara-perkara yang perlu diambil kira sebelum menghancurkan ubat biji
Apabila terdapat keperluan untuk menghancurkan ubat biji, adalah amat penting untuk kita mengetahui maklumat berkenaan jenis dan formulasi ubat berkenaan. Secara umumnya, ubat-ubat biji yang tidak boleh dihancurkan tergolong dalam beberapa jenis:
1. Ubat dengan penyalutan enterik (enteric-coated drugs)
Tujuan penyalutan enterik ubat-ubatan -adalah untuk melindungi ubat dari keasidan perut dan juga melindungi perut dari kesan ubat tersebut. Ubat yang bersalut enterik direka agar tahan keasidan yang tinggi dalam perut dan seterusnya mengelakkan ubat tersebut dari terurai sebelum ia sampai ke lokasi sasaran iaitu usus. Selain itu, ia juga direka dengan tujuan menjadikan asid perut sebagai bahan penguraian salutan dan sekaligus memastikan ubat tersebut boleh larut dan bertindak ke atas usus.
Oleh itu, menghancurkan ubat yang bersalut enterik adalah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan ubat larut terlalu awal, terurai oleh asid perut dan merengsakan lapisan perut.
2. Ubat pelepasan diubahsuai (modified released drugs)
Ubat pelepasan diubahsuai direka bagi memastikan ubat yang dimakan dibebaskan dengan perlahan di dalam perut dalam tempoh antara 12 hingga 24 jam. Ini adalah untuk memastikan kepekatan ubat yang sama terdapat dalam darah secara konsisten sepanjang tempoh yang dikehendaki. Ubat jenis ini mengurangkan kekerapan pesakit untuk mengambil ubat dan mengurangkan kesan sampingan ubat tersebut kepada pesakit. Selalunya singkatan LA, ER, XR, CR, SR tercatat pada nama ubat.
Justeru, ubat jenis ini tidak boleh dihancurkan sebelum diambil kerana ia akan menghasilkan kepekatan ubat yang tinggi di dalam badan pada masa yang singkat dan boleh menyebabkan kesan toksik akibat dos yang berlebihan. Selain itu, ia juga akan menyebabkan kepekatan ubat menjadi rendah sebelum dos seterusnya diambil, dengan itu ubat berkenaan tidakdapat menghasilkan kesan rawatan yang dikehendaki.
3. Ubat bawah lidah (sublingual)
Ubat bawah lidah diperlukan untuk memastikan bahan aktif ubat tersebut diserap masuk terus ke salur darah di bahagian bawah lidah dan seterusnya meningkatkan kepekatan ubat tersebut di dalam badan dengan sangat cepat. Ini juga akan menghalang ubat tersebut daripada dicerna dalam hati yang akan merendahkan kandungan ubat tersebut di dalam darah.
Oleh itu, adalah tidak digalakkan untuk menghancurkan ubat bawah lidah bagi memastikan cara penyerapan dan tindakan ubat tersebut tidak terjejas. Namun begitu, memandangkan ubat ini tidak perlu ditelan tetapi sebaliknya hanya perlu diletakkan di bawah lidah, maka keperluan untuk menghancurkan ubat sublingual ini jarang terjadi.
4. Kapsul
Ubat-ubat yang diformulasi dalam bentuk kapsul tidak digalakkan untuk dibuka kerana terdapat kemungkinan kandungan serbuk di dalam kapsul tertinggal atau tidak ditelan sepenuhnya, seterusnya akan menjejaskan kesan rawatan yang disasarkan. Jika ubat dalam kapsul berbentuk butiran dengan pelepasan diubahsuai, maka ia tidak boleh dihancurkan sebelum diambil.
Ubat dalam bentuk kapsul, tablet tanpa salutan, tablet bersalut polimer nipis atau gula secara umumnya boleh dihancurkan. Bagaimanapun pertimbangan lanjut diperlukan bagi ubat-ubatan yang disalut dengan gula kerana ia bertujuan bagi menyaduri rasa pahit ubat tersebut. Selain itu, menghancurkan pil, tablet atau membuka kapsul juga boleh mendedahkan individu kepada risiko ketoksikan. Apabila ubat dihancurkan, serbuk-serbuk halus yang terhasil boleh memasuki tubuh melalui mulut ataupun hidung. Oleh itu, menghancurkan ubat-ubatan seperti ubat kanser, sesetengah antibiotik dan hormon adalah dilarang.
Selain itu, menghancurkan ubat-ubatan juga boleh menyebabkan pesakit menerima dos ubat yang tidak mencukupi kerana mungkin terdapat ubat yang melekat pada alat yang digunakan untuk menghancurkannya, tertumpah atau diterbangkan angin. Memandangkan sesetengah ubat mendatangkan kesan yang besar dengan dos yang sedikit, kekurangan dos ubat walaupun dalam jumlah yang kecil mungkin boleh mengundang kegagalan rawatan penyakit. Terdapat juga ubat yang akan rosak jika tablet dihancurkan atau dikeluarkan daripada kapsul akibat terdedah kepada udara atau cahaya dengan itu turut menjejaskan kesan rawatan ubat tersebut.
Oleh itu, pesakit, penjaga atau pengamal perubatan perlu menyedari bahawa menghancurkan ubat-ubatan adalah kaedah pengambilan ubat biji yang tidak digalakkan. Ubat yang diberikan hendaklah ditelan sepenuhnya tanpa dihancurkan dan kandungan kapsul tidak dikeluarkan.
Jika terdapat masalah untuk menelan ubat, pesakit atau penjaga perlu merujuk kepada maklumat terperinci berkenaan kestabilan dan formulasi ubat yang kebiasaannya terdapat pada kertas sisipan produk sebelum menghancurkan pil, tablet ataupun kapsul. Jika didapati pesakit boleh terdedah kepada kesan sampingan yang serius ataupun terdapat isu kurangnya keberkesanan ubat jika ia dihancurkan, rujuklah pegawai farmasi untuk mengetahui sama ada terdapat alternatif ubat dalam bentuk cecair (sirap atau suspensi), tampalan pada kulit (patch), tablet larut air (dispersible tablets) atau sisipan pesari (pessary) ke dalam dubur.
Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Lelaki Ni Kongsi Cara Bersenam Untuk Sihat & Nampak Awet Muda. Orang Perempuan Mesti Suka Ni!

Bila ditanya secara rambang, siapa ingin kelihatan cantik, sihat & kurus? Rata-rata semua orang dengan spontan akan angkat tangan tanpa perlu fikir panjang. Tapi lain pula situasinya, bila diajukan soalan siapakah pula di sini yang rajin bersenam untuk sihat?
Kebiasaannya, ramai antara kita merasa ‘liat’ untuk menggerakkan tubuh untuk melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh. Walau pun hakikatnya semua sudah maklum akan kepentingan dan kebaikan senaman tersebut.
Istimewanya juga dengan bersenam, anda bukan sahaja akan menjadi kurus malah akan terlihat awet muda dan sihat! Wow, hebat bukan? Nak tahu rahsianya, ikuti perkongsian Hafiz Sulaiman yang juga menggelar dirinya sebagai pejuang kesihatan. Jom semak!
Okay ni nak kongsi sedikit tip bersenam untuk kurus, dan juga untuk kesihatan:
1) Pernafasan.
Ini teknik pernafasan power yang sangat efektif untuk tingkatkan prestasi dan ketahanan. Dalam posisi duduk, Tarik nafas sedikit dalam dan hembus. Ulang secara berterusan 30-50kali. Anda mungkin akan sedikit mamai, kebas-kebas atau mengantuk. Ianya perkara biasa kerana badan dan otak anda mula tepu dengan oksigen. First timer mungkin juga akan alami keletihan/sakit otot rusuk yang akan hilang selepas sehari dua.
Teknik ini mengoptimakan ruang “dead space” paru-paru serta menyediakan oksigen yang cukup untuk senaman berat yang akan anda lakukan seterusnya. Terima kasih kepada pakcik Wim Hof atas ilmu yang berguna ini.
2) Senaman Untuk Kurus, Sihat dan Awet Muda
“SENAMAN KEKUATAN”.
Lupakan senaman aerobic yang lama dan repetition banyak kali. Ia meningkatkan stres badan menyebabkan gangguan kepada keseimbangan badan. Elakkan bersenam melebihi sejam sebaiknya.
Anda seharusnya menumpukan pada senaman intensiti tinggi dalam jangka waktu yang pendek. Kaedah interval HIIT seperti TABATA juga bagus namun saya nasihatkan, yang baru mula boleh cuba kaedah PACE yang lebih mudah dahulu.
Saya biasanya gabungkan senaman kekuatan buat secara interval. Buat 20 ulangan dan rehat 20 saat. Jangan rehat lama-lama, anda akan hilang kelebihan senaman interval dengan rehat yang panjang.
Antara yang saya suka senaman kekuatan+ interval ini kerana lemak bukan sahaja dibakar ketika bersenam tapi juga selepas bersenam malah ketika anda tidur!
Antara kelebihan lain senaman jenis kekuatan:
- Mencegah dan Memulihkan Kekuatan otot: Apabila tua, otot mengecut dan menjadi lemah dan menggigil disebabkan SARKOPENIA. Senaman kekuatan menjana bateri sel (mitokondria) dan stem sel otot yang meningkatkan isipadu dan kekuatan otot. Gigil akan kurang dan badan menjadi lebih stabil.
- Menguatkan Tulang : Tendon di bahagian sendi akan memberi beban kepada tulang maka ketumpatannya akan meningkat. Senaman kekuatan juga terbukti mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis).
- Stabilkan GULA DARAH: otot yang besar meningkatkan pengambilan gula dalam darah ke dalam sel. Ya, pesakit kencing manis akan mendapati paras gula menjadi lebih cantik.
- Meningkatkan Tenaga Badan : Seperti yang saya sebutkan, tenaga badan akan meningkat kerana senaman jenis kekuatan menjana bateri sel dengan pesatnya. Di samping itu, metabolism badan dan juga hormone kejantanan(testosterone) anda juga akan meningkat sama.
- Kesihatan Otak: Seperti juga senaman aerobik, senaman kekuatan meningkatkan fokus dan kecerdasan minda. Mengikut kajian, senaman kekuatan juga mencegah penyakit seperti dementia dan kenyanyukan (Alzheimer).
Teringat pula 7 tahun lepas pakcik makcik di Klinik Kesihatan senyum kambing pula bila dinasihatkan angkat berat. Guna botol air mineral 1.5 liter saja tak susah..bersenam ikut kemampuan ya.
3) Fokus Bahagian Senaman.
Jika anda bersenam untuk kecantikan (aesthetic),fokus pada otot-otot kecil seperti otot abdomen(perut), biceps dan triceps. Senaman otot perut juga membantu menguatkan otot “core” selain senaman otot belakang, punggung yang meningkat stability badan.
Namun perlu anda ingat, senaman otot kecil tidak akan menampakkan hasil aesthetic sekiranya peratusan lemak badan anda tinggi. Otot six pack anda akan tenggelam di sebalik lautan lemak yang tebal.
Saya lebih suka buat senaman otot besar dengan senaman seperti push up (pumping) dan juga squat ( free squat atau guna pemberat). Lagi besar otot lagi cepat kurus.. Bagi kaum wanita tak perlu risau otot membesar macam seladang. Hormon testosterone wanita tak cukup tinggi untuk besarkan otot.
4) Waktu Bersenam.
Saya suka waktu pagi sebelum sarapan.
Ataupun waktu sebelum berbuka puasa.
Ini adalah waktu kurang gula dan badan akan bakar lemak dengan pesatnya.
-Perhatian jika anda tidak ketoadaptif (otak mampu menggunakan lemak sebagai tenaga), elakkan senaman berat ketika gula kurang-
Jangan amalkan jika sakit kepala atau ringan kepala, anda mungkin pitam.
Bahkan jika anda jatuh sakit yang teruk, elakkan senaman waktu ini. Berikan rehat yang secukupnya kepada badan anda. Stress kerana sakit akan sebabkan badan anda menyimpan lemak dan air menerusi peningkatan hormone stress(kortisol).
Anda tidak mahu tambahkan stress lagi menerusi bersenam pada waktu sakit.
5) Pemakanan untuk kurus.
Ini saya selalu cerita dalam artikel-artikel lama saya. Kali ni spesifik pemakanan waktu bersenam (macronutrient timing).
Jangan makan sejurus selepas bersenam berat kerana darah akan mengalir banyak ke bahagian otot untuk membekalkan oksigen yang sangat banyak diperlukan selepas bersenam. Kurang pengaliran darah ke sistem pencernaan akan mengakibatkan ketidakhadaman dan mengganggu sistem pencernaan.
Lepas bersenam saya biasa ambil protein senang serap seperti protein whey. Selepas sejam dua makan real food. Waktu paling bagus makan karbohidrat juga ialah selepas sejam dua bersenam. Sekurangnya nasi yang anda makan itu boleh lah digunakan sebagai bahan bakar, bukannya disimpan sebagai lemak.
Dulu-dulu zaman jahilliyah, saya guna protein CASEIN waktu berpuasa atau sebelum tidur. Casein ini bila bercampur dengan asid perut jadi macam ketulan susu dalam perut, susah dicerna dan diserap. Kononnya, slow releasing protein ni baguslah, bekalan protein yang berterusan tak diserap cepat. Amaran: Protein casein antara makanan paling utama menyebabkan KEROSAKAN USUS selain gluten. Anda berisiko mendapat masalah ketidakhadaman, “angin”, masalah sendi, penyakit alergi,autoimmune dan macam-macam lagi. Selamat tinggal casein.
Sumber : Hafiz Sulaiman
Nostalgia Kek Oren, Sedapnya Mak Kita Dulu Buat. Ni Resipinya!

Mengimbau kenangan zaman kita kecil-kecil dulu semasa mak-mak kita sibuk membuat persiapan kuih Raya. Ada satu resipi kek ini mesti wajib mak kita buat, lain tak bukan Kek Oren.
Emmm…mengenangkan aroma kek tersebut yang sedang dibakar memang buat kita rasa hendak berbuka puasa jadinya. Memang tak sabar hendak makan, betultak?
Jadi apa kata Raya tahun ni, kita buatkan Kek Oren ini untuk anak-anak kita pula merasa kek yang dimasak dari air tangan ibunya dan untuk itu, ini resipinya yang telah dikongsikan oleh Puan Nieza. Jom semak.
Sekarang saya tahu kenapa orang nak buat kek oren. Sebab dia bukan sejenis kek yang muak kot. Makan tak muak, buat pun tak muak. Haha.. ada je jenis kek yang nak buat je dah rasa muak dah.
So ini kek oren resepi paling sempoi tapi misteri dalam donia. Nak kata sedap, tak pasti. Tapi yang nyatanya bila saya potong, piring untuk kek ni tak penuh-penuh. Misteri juga difikirkan.
Resepinya, sempoi macam cara mak-mak kita buat seperti di bawah :
RESEPI KEK OREN SEMPOI SEDAP RAYA
1 biji oren sunkist
1 cawan jus buah oren di atas
3 sudu teh sunquick
(Campur air jadikan 1 cawan jus oren di atas)
Nota : Resepi ni ada satu cawan jus sahaja bukan 2 cawan)
1 1/2 cawan gula
4 biji telur
1 cawan minyak
Sedikit garam
Bahan Kering :
2 cawan tepung gandum
2 sudu teh baking powder
Cara :
1. Ambil buah oren, belah ambil jusnya di dalam cawan sukatan di atas.
2. Potong kecil-kecil (hampas) buah oren tadi dan masukkan dalam blender / fruit processor.
3.Dengan sempoi, masukkan kesemua bahan basah yang di atas dan blend / putarkan fruit processor sehingga sebati.
4.Dalam bekas berasingan, sediakan tepung dan baking powder. Tuang adunan basah ke dalam adunan kering dan kacau sebati guna whisk tangan.
5.Griskan loyang dengan minyak. Tuang adunan ke dalam loyang.
6.Panaskan oven pada suhu 160C dan bakar 40 minit atau sehingga adunan tak lagi bergoyang.
Bau oren yang harum memikat menggamit nostalgia malam raya bersama keluarga di suatu masa.
Selamat berhari raya dengan kenangan lama semua!
Sumber : Nieza Nor Hamnira via MAHN