Sebagai ibu bapa moden yang bekerjaya, masa berkualiti dengan anak-anak amat terhad. Sehinggakan anak-anak terabai. Mana taknya, pergi kerja awal pagi, hampir malam baru balik rumah. Nyata bonding dengan anak-anak amat kurang.
memang sungguh inspirasi. Hanya makan dalam dulang pun boleh mengerat bonding dengan anak-anak.
Ahmad Affzan Abdullah makan di dalam dulang bersama anak-anak
Anak aku taklah ramai sangat, 4 orang saja. Tapi macam mana pun makan dalam dulang ini hampir pasti dibuat setiap kali makan.
Jarang-jarang aku makan asing, melainkan bila ada yang sakit, tak nak menyebarkan kuman. Kalau tidak, beginilah kami makan hari-hari.
Aku mulakan amalan makan dalam dulang ini sejak di UK lagi. Ketika itu kami baru bertiga. Sekarang dah berenam, alhamdulillah masih boleh sendal lagi. Muat juga makan ramai-ramai.
Kau pernah baca saranan seorang artis yang kata suami isteri kalau gaduh pun jangan tidur asing-asing?
Samalah juga macam makan dalam dulang.
Ia merapatkan hubungan yang kadang-kadang ada terusik perasaan atau terkedu.
Anak-anak kadang-kadang tengah merajuk. Namun bila panggil makan, hilang merajuknya sebab perut pun dah lapar. Mau tak mau, kena makan sama-sama juga. Akhirnya senyum pun terukir.
Makan dalam dulang juga menggalakkan sikap bertolak ansur dan berlebih kurang. Kau tau bahagian nasi depan mata kau. Sama ada kau nak tolak pada orang keliling atau kau nak kaut lebih banyak.
Ini kau belajar waktu makan. Kalau nampak orang sebelah macam lapar lebih, kau tolaklah nasi sikit pada dia. Kalau ada yang susah nak habis, kau tolong habiskan.
Perkara mudah tapi banyak yang kau boleh guna dalam interaksi sesama manusia.
Bila makan ramai-ramai, macam-macam benda kau boleh bincang bersama. Waktu inilah kau boleh selitkan pelajaran dalam hidup pada anak-anak. Bagaimana menghargai rezeki, hidup muafakat dan lain-lain.
Tak adalah mata masing-masing ke TV waktu makan, atau buat hal sendiri. Kau nak tegur pun susah.
Inilah juga waktu “bonding” antara kau dengan anak-anak dan isteri. Anak-anak akan bercerita tentang aktiviti seharian mereka. Isteri pun ada gossip terkini. Kau pula buat lawak sikit-sikit lalu masing-masing tergelak.
Sedar tak sedar, habis satu dulang kau kerjakan. Perut kenyang, hati pun gembira.
Selain dari jimat lauk, pinggan pun tak payah basuh banyak-banyak. Sekali makan, basuh dulang itu sajalah. Ini kalau masing-masing makan tak sama timing, letih nak mengemas.
Ada juga orang kata kotorlah, tak hygienic. Yalah, kalau kau tak basuh tangan, kotorlah jadinya. Kau kena pastikanlah semua jaga kebersihan, potong kuku, gosok gigi. Yang sakit, kita bagi makan asing. Insya-Allah selamat semua tak sakit perut.
Aku cadangkan kalau ada masa, bolehlah cuba makan sama-sama dalam dulang. Banyak kebaikannya untuk kehidupan kau sekeluarga.
Selagi badan masing-masing masih muat nak duduk keliling tu, Insya-Allah aku akan teruskan amalan begini.
Mudah-mudahan dari aktiviti makan pun Tuhan turunkan rahmat dan ketenangan pada keluarga kita
Manakala perkongsian lain beliau seterusnya ada menyentuh mengenai cara lain bonding untuk dengan anak-anak
9 CARA JIMAT UNTUK BONDING DENGAN ANAK-ANAK
Ads
Zaman sekarang ini sungguh mencabar. Kita jadi ibu bapa kadang-kadang terlalu sibuk cari duit sebab nak sara hidup keluarga. Maka adakalanya terlepas pandang masa berkualiti dengan anak-anak.
Aku senaraikan beberapa aktiviti yang boleh kau lakukan tanpa mengeluarkan duit yang banyak untuk bersembang dan bermesra dengan mereka.
1. Makan dalam dulang/talam
Ini aku pernah tulis dahulu (perkongsian di atas). Mungkin ramai yang tak biasa makan dalam dulang ini, tapi kau cubalah. Banyak kebaikan yang kau boleh dapat.
Waktu inilah kau boleh banyak selitkan nasihat-nasihat kehidupan. Tutup TV, semua mengadap nasi dan lauk di tengah.
Kau boleh cerita tentang baiknya Tuhan bagi rezeki. Kau boleh cerita tentang konsep bertolak ansur sesama ahli keluarga. Anak-anak boleh bercerita tentang aktiviti mereka seharian. Sedar-sedar nasi pun habis.
Kenyang dapat, bonding pun dapat. Insya-Allah keberkatan pun kau dapat.
Petikan yang disiarkan di laman facebooknya pada tahun lepas mengenai amalan makan dulang bersama anak.
2. Memasak
Memasak atau menyediakan makanan juga aktiviti bonding yang baik. Lagipun, memang hampir setiap hari kena masak, kan?
Kalau anak kau ramai, kau bahagi-bahagilah tugas. Ada yang potong sayur, ada potong bawang, ada gaul bahan, ada yang masukkan bahan dalam kuali.
Kalau aku, paling seronok waktu kami buat sandwic sama-sama. Sandwic ini memang antara kepakaran aku. Jadi anak-anak semua sangat teruja bila aku kata nak buat sandwic. Nanti aku kongsikan resipinya.
Masing-masing berebut nak sapu mentega atas rotilah, nak letak tomatolah, nak kapit rotilah.
Ia jadi satu aktiviti yang menyeronokkan dan merapatkan hubungan dengan anak-anak. . . 3. Cuci kereta atau motor.
Kalau kau tak hantar kereta ke kedai, bolehlah kau cuci sendiri beramai-ramai dengan anak-anak.
Ads
Waktu aku kecil dulu, ini antara aktiviti yang aku suka buat dengan arwah Abah.
Kerja aku senang saja, Abah suruh aku cuci tayar, sebab kawasan yang tinggi-tinggi aku tak sampai. Lepas itu yang seronok sebab dapat main air waktu nak bilas.
Basah lencun tapi penuh dengan gelak ketawa. Penat pun tak terasa. . . 4. Buat hobi sama-sama.
Kenalpasti hobi anak kau, kemudian kau sama-samalah buat dengan dia, atau temankan dia waktu dia sedang beraktiviti itu.
Dulu anak aku minat main Gunpla atau Gundam. Alah, yang robot plastik main cantum-cantum tu. Aku pun sama-sama buat robot itu dengan dia. Dia gunting, aku cantum. Aku gunting, dia cantum.
Main lego pun begitu juga. Sama-sama cantumkan blok dan bina rumah contohnya. Bila siap, masing-masing rasa bangga sebab buat sama-sama.
Kalau hobi anak kau melukis, kau pun sama-samalah melukis dengan dia. Ataupun kau sokong aktiviti dia, contohnya bawa dia pergi jumpa pelukis, beri idea nak lukis apa, belikan buku-buku lukisan dan lain-lain.
Kau tunjuk minat yang sama dengan anak-anak, memang anak-anak akan hargai dan ingat sampai bila-bila. . . 5. Solat jemaah
Aktiviti pergi masjid dan surau juga salah satu aktiviti yang sangat baik untuk kau bermesra dengan anak-anak.
Waktu jalan kaki untuk sampai ke masjid itu, banyak benda kau boleh sembangkan. Fadilat solat berjemaah jangan ceritalah. Rapatkan saf itu antara sebab yang boleh menyatukan hati kau dengan anak-anak dan ahli jemaah yang lain.
Kalau tak dapat ke masjid, kau solat berjemaah di rumah. Dapat sehari satu waktu pun cukuplah sebagai permulaan. Ini aktiviti spiritual yang boleh merapatkan hubungan yang renggang insya-Allah.
6. Hantar dan ambil anak dari sekolah/kelas
Mungkin ramai yang tak berkesempatan buat aktiviti ini disebabkan kesibukan kerja dan ‘timing’ yang tak selaras. Namun jika ada kesempatan, kau cubalah usahakan
Benda ini nampak biasa saja, tapi waktu kau dalam kereta itulah masa untuk kau kenali anak kau dengan lebih rapat.
Kau tanya apa aktiviti dia hari itu, dia belajar apa, cikgu baik ke tidak. Anak-anak pun biasanya akan teruja untuk beritahu dia buat apa, kawan mana yang menangis, budak mana yang muntah, budak mana yang bawa duit bekal RM50 dan lain-lain.
Yang ibu bapa mahu begitulah. Anak-anak mesra dan bebas bercerita apa saja dengan kita. Maka masa hantar dan ambil dari sekolah itulah peluang untuk kau bersembang bagai nak rak dengan anak-anak. Jangan kau diam layan radio saja.
Ads
7. Majlis taalim
Majlis taalim ini biasanya aku buat sebelum tidur.
Kau bacakan buku-buku yang bermanfaat untuk anak-anak contohnya kisah para Nabi, sejarah hidup Nabi Muhammad, kisah para sahabat dan lain-lain.
Kalau kau ada ilmu lebih sikit, kau bacakan buku-buku hadis berkaitan adab dan akhlak, contohnya kitab Riyadhus Solihin, Hadith 40, Adabul Mufrad atau Fada’il A’mal.
Kemudian kau tutup dengan tadarus beramai-ramai. Dapat satu malam satu mukasurat Quran, jadilah.
Anak-anak aku paling suka kalau aku bacakan kisah para Nabi. Selalu jugalah mereka mendesak.
Sambil cerita itu, kau selitkan juga pengajaran dan kaitannya dengan kehidupan kita sekarang. Barulah anak-anak boleh faham dengan lebih jelas. . . 8. Berkebun
Kalau kau ada laman, gunalah laman yang ada itu untuk berkebun bersama anak-anak.
Benda mudah macam cabut rumput pun jadi satu aktiviti yang menyeronokkan. Contohnya kau lumba siapa cabut rumput paling banyak ke, atau siapa dapat jumpa cacing ke.
Kemudian kau ajar anak-anak teknik tanam pokok. Macam mana nak pindahkan dari polybag ke tanah atau pasu, macam mana tabur benih, bila nak siram pokok.
Biar anak-anak kembali kepada ‘nature’. Pegang tanah, biar tangan kotor, keluar peluh jantan.
Lepas itu, kau beri dia seorang satu pokok untuk dijaga. Ini melatih anak-anak untuk rasa tanggungjawab dan cintakan alam sekitar juga. Bila pokok dah besar, kau boleh kata dengan bangga pada dia,
“Tengok, itu pokok yang awak tanam dulu, kan? Dah berbunga dah.”
Mesti anak-anak pun seronok. . . 9. Main masak-masak atau play pretend
Biasanya ini dibuat waktu anak kau masih kecil.
Kau buat khemah dalam rumah guna tali rapia dan selimut. Duduk dalam itu dengan anak, lepas itu guna periuk dari dapur, konon-kononnya tengah masak dalam hutan. Kertas-kertas yang diracik kononnya sayur dan lauk pauk.
Anak lelaki pula biasanya main lawan pedang atau tembak-tembak. Imaginasi anak lelaki aku biasanya begitulah. Anak lelaki orang lain, mungkin lain imaginasinya.
Kau pun pakailah topeng dan segala aksesori untuk masuk dalam dunia anak kau. Jadi budak-budak sekejap.
Jadi kawan mereka yang paling rapat, sebelum mereka mencari kawan-kawan yang lain.
================ . . Begitulah yang aku boleh kongsi setakat pengalaman aku membesarkan 4 orang anak.
Masing-masing lain kerenah dan karakternya. Namun biasanya bila buat aktiviti bonding ini, semuanya akan seronok dan boleh beraktiviti bersama-sama.
Cubalah di rumah. Mudah-mudahan hubungan kekeluargaan kau dengan pasangan dan anak-anak bertambah erat dan mesra setiap hari. .
.
Ahmad Affzan Abdullah.
Pelukis Kaligrafi Eksklusif
Pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga dan sudah dikurniakan cahaya mata seringkali sibuk dengan urusan seharian. Kesibukan itu ada kalanya tanpa disedari mengabaikan pasangan dan membuatkan hubungan renggang.
Bukan bermakna rasa kasih sayang semakin pudar tetapi tuntutan kerja dan urusan anak-anak membuatkan anda terleka hingga mengabaikan pasangan.
Banyak pasangan yang menganggap situasi ini adalah perkara biasa lantas membiarkannya hingga membuatkan hubungan suami isteri semakin sepi.
Tapi awas inilah yang akan menyebabkan rumah tangga mula memasuki fasa konflik. Pakar motivasi menyarankan suami isteri yang mula merasakan kehambaran dan kebosanan dalam rumah tangga dengan cara belajar jadi romantis.
Gambar hiasan.
Mungkin ada perasaan malu untuk bermanja dengan pasangan seperti waktu bercinta dahulu. Tetapi anda harus mencubanya dan selalu mempraktikkannya demi memperbaiki hubungan yang mula pudar. Jadikan tip di bawah ini sebagai panduan:
1. Pegang dan usap selalu tangan pasangan. Sentuhan buat hubungan lebih mesra. Kena buat setiap hari!
2. Ubah susun atur perabot di bilik tidur untuk membangkitkan suasana baru dan segar. Letakkan pewangi untuk menghidupkan suasana yang menarik di kamar. Boleh juga hidupkan lilin aromaterapi.
3. Bangkitkan suasana romantis di rumah atau bilik tidur dengan memainkan muzik lembut dan romantik. Alunan muziknya sekadar cukup untuk telinga anda berdua sahaja. Lebih menarik muzik atau lagi kegemaran anda berdua.
4. Rancang dan sediakan hidangan yang istimewa dan digemari oleh pasangan. Hendak menawan hati suami kenalah gembirakan perutnya.
5. Cari peluang untuk bercuti bersama, bukan bersama anak-anak tetapi hanya anda berdua. Jangan bercuti di tempat yang terlalu ramai orang sebaliknya cari tempat yang damai di mana anda boleh berdua-duaan menikmati saat yang menenangkan.
6. Ajak pasangan beli makanan dan duduk bersantai tepi tasik, taman rekreasi atau tempat yang mudah buat anda. Makanlah sambil berbual. Bila sudah punya anak aktiviti mudah sebegini pun jarang kita buat kan.
7. Lakukan kembali acara mandi bersama yang mungkin sudah lama anda dan suami tinggalkan. Boleh jadi kali terakhir ketika berbulan madu.
8. Berikan hadiah dan ingat tarikh-tarikh penting buat anda berdua. Tidak perlu beri hadiah yang mahal cukup sebagai tanda ingatan. Tetapi, jika anda mampu tiada salahnya.
9. Jangan kedekut hendak memberi pujian terhadap pasangan. Luahkan sahaja apabila pasangan kelihatan cantik dan bergaya.
10. Bilakah kali terakhir anda mengucup dahi atau pipi setelah dia penat bekerja. Tahukah anda bahawa ciuman mesra anda dapat menghilangkan segala kepenatan pasangan. Tekanan sepanjang hari juga turut hilang. Itulah kuasa ciuman anda.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Peranan isteri bukan sahaja menguruskan rumahtangga tetapi turut membantu suami menambah pendapatan. Jika suami susah, isteri sanggup melakukan kerja tambahan untuk memastikan rumahtangga kekal bahagia.
Membantu suami kala susah, tidak salah jika bukan paksaan. Ia dilakukan atas kerelaannya. Tidak ramai wanita sanggup berbuatan demikian untuk suami. Sebagaimana perkongsian ini, menarik untuk kita renungan bersama bahawa tolak ansur dan saling membantu kunci bahagia rumahtangga.
SENTIASA DI SISI SUAMI KALA SUSAH DAN SENANG
Perempuan yang cantik itu banyak. Tapi perempuan yang boleh ada di saat kau terjatuh dan masih setia menyokong, itu sukar dicari ganti.
Hargailah mereka selagi Tuhan masih beri peluang untuk punya dia.
Lagi-lagi isteri! Isteri untuk disayangi, dilindungi, dicintai dan diberikan hak mereka sebagai seorang isteri.
Hentikanlah perbandingan seperti ini. Hentikanlah perbandingan yang menunjukkan isteri sekarang malas dan tak suka tolong suami. Hakikat sekarang, isteri kerja sama kuat dengan suami.
Jika mereka suri rumah, mereka lebih bekerja kuat. Jika mereka suri rumah dan berniaga sambilan, mereka bekerja lebih kuat. Jika mereka bekerja, menjadi suri rumah dan berniaga sambilan, mereka bekerja sangat sangat kuat.
PERANAN ISTERI DULU DAN SEKARANG LAIN
Isteri dulu dan zaman sekarang fungsinya sangat berbeza. Mereka berfungsi mengikut zaman, bukan berfunsi kengikut ketetapan suami. Bukan begitu.
Hargai isteri.
Jika mereka tak sempat masak sedap, kita belikanlah makanan sedap untuk mereka. Jika mereka tak sempat kemas rumah, kita bantulah kemaskan rumah untuk mereka. Jika mereka letih, kita jadilah tukang urut mereka. Jika mereka sedih, kita jadilah penenang mereka.
Membandingkan isteri dulu dan sekarang hanya dilakuakn oleh orang bodoh dan suami yang merasakan ini adalah perbandingan wajar adalah lebih bodoh lagi.
Sumber: Mohd Firdaus Jailan
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Dua tiga hari yang lalu kecoh apabila ramai yang menyuarakan perasaan tidak puas hati akibat kenaikan mendadak bil elektrik. Pihak TNB yang telah membuat penjelasan akan isu ini namun alasan tersebut tidak dapat di terima.
Tidak dinafikan musim panas begini ditambah pula dengan keadaan yang berpuasa menyebabkan kita bergantung kepada penghawa dingin untuk menyejukkan badan. Tetapi apabila datang bil elektrik yang melambung tinggi setiap bulan, siapa yang tahan kan.
Ada beberapa cara untuk jimatkan perbelanjaan bil elektrik di rumah anda seperti perkongsian dari Fawwaz Johari ini. Amalkan tips ini untuk membantu menjimatkan perbelanjaan bil elektrik di rumah anda.
Dipasang dengan ‘Smart Meter TNB’
Viral hari ini di media sosial mengenai bil elektrik yang tinggi setelah TNB menukarkan ‘Smart Meter’ yang baru menggantikan meter TNB yang lama.
Saya adalah salah seorang pekerja TNB. Posting saya ini bukanlah bertujuan untuk menjawab atau menjelaskan mengenai ura-ura bil elektrik yang dikatakan meningkat tersebut. Namun hanya untuk kongsikan kaedah dan cara yang anda boleh lakukan untuk menjimatkan bil elektrik di rumah anda.
Ingin saya nyatakan disclaimer disini bahawa kaedah dan cara ini bukanlah saranan daripada syarikat TNB, namun hanya sekadar perkongsian peribadi berdasarkan penggunaan elektrik di rumah kami di Melaka.
Sebelum saya mulakan, izinkan untuk saya kongsikan dahulu mengenai latar belakang kediaman kami di Melaka ini. Rumah yang kami duduki ini adalah rumah 2 tingkat. Ia ini mempunyai 4 bilik, dan setiap bilik dipasang dengan alat penghawa dingin. Di ruang tamu rumah pula dipasang dengan 2 set alat penghawa dingin.
Rumah ini secara kebiasaannya di diami oleh ibu bapa saya, dan setiap malam mereka akan memasang alat penghawa dingin di bilik mereka. Manakala bilik-bilik lain pula akan dipenuhi dengan adik beradik saya yang lain pada setiap kali hujung minggu dan setiap kali musim cuti.
Rumah ini telah dipasang dengan ‘Smart Meter TNB’ pada bulan Februari 2019 yang lalu. Di sini saya sertakan gambar bil elektrik terkini rumah saya pada bulan lepas, iaitu HANYA SEBANYAK RM 62.30. Di bawah ini saya kongsikan tips dan gambar-gambar tentang bagaimana cara ia dapat dilakukan.
Bagaimanakah kami lakukannya?
1. Gunakan teknologi inverter.
Pertama sekali, bagi yang menggunakan alat penghawa dingin, pastikan anda menggunakan penghawa dingin yang mempunyai teknologi inverter. Kesemua penghawa dingin dan peti ais yang ada di rumah kami ini telah dilengkapi dengan teknologi inverter ini.
Harganya mungkin mahal sedikit berbanding dengan peralatan yang biasa, namun anda hanya perlu membayar harga tersebut sekali sewaktu pembelian, dan kemudian anda boleh dapat menikmati penjimatan elektrik yang berterusan dalam jangka masa yang panjang.
2. Peralatan elektrik berstatus “5 bintang”.
Apabila anda pergi ke kedai peralatan elektronik seperti One Living, Seng Heng, Home Pro, Courts Mammoth dan sebagainya, anda akan mendapati terdapat tanda 1-5 bintang pada setiap barangan elektronik yang dijual. Belilah barangan yang mempunyai 5 bintang. Bintang itu adalah Standard yang telah dikeluarkan oleh pihak Sirim untuk menyatakan “Energy Efficiency” peralatan tersebut. Peralatan yang efisien akan dapat lebih menjimatkan penggunaan elektrik di rumah anda.
Tak guna alat pemanas elektrik
3. Tidak menggunakan alat-alat pemanas elektrik.
Diantara peralatan yang tidak digunakan di rumah kami di Melaka ini termasuklah, pemasak nasi elektrik, cerek air elektrik dan water dispenser.
Bagi tujuan memasak, kami menggunakan gas api. Kami menanak nasi di dalam periuk dan menggunakan cerek api untuk memanaskan air. Pemanas elektrik yang digunakan di rumah kami ini hanyalah seterika dan ‘water heater’ untuk mandi.
4. Menggunakan lampu LED.
Kesemua lampu yang dipasang di rumah kami ini diperbuat dari LED. Penggunaan lampu LED ini dikatakan dapat mengurangkan 75% penggunaan elektrik berbanding dengan lampu-lampu biasa.
Cabut semua plug
5. Mencabut plug selepas menggunakan alat elektrik.
Selepas menonton TV, mengecas telefon bimbit, menggunakan seterika, atau menggunakan mesin basuh, tutup suis dan cabut sekali plug yang digunakan. Sekiranya extension wire digunakan, cabut sekali plug extension wire tersebut apabila ianya tidak digunakan.
Melalui pengalaman di rumah-rumah yang pernah melakukan cara ini, kadar elektrik adakalanya dapat dikurangkan sebanyak RM15-RM50. Kadar penjimatan bergantung kepada jenis rumah dan jenis peralatan elektrik yang digunapakai. Untuk mendapatkan penjimatan yang lebih banyak, anda juga boleh mencabut plug ‘wifi’ di rumah anda pada waktu malam apabila semua orang tidur dan tidak menggunakannya.
6. Menggunakan ‘Turbine Ventilator’ di bumbung.
Untuk memastikan rumah berada di dalam keadaan sejuk, Turbine Ventilator telah dipasang di atap rumah ini. Turbine ventilator ini berfungsi untuk membenarkan udara-udara panas yang terperangkap di dalam bumbung untuk keluar. Kekosongan udara di bahagian bumbung itu pula akan menyebabkan udara panas lain yang ada di dalam rumah ditarik pergi ke bahagian atas bumbung tersebut. Dengan menggunakan Turbine Ventilator ini, suhu rumah dapat diturunkan.
Tanam pokok di luar dan dalam rumah
7. Memanam pokok di dalam dan luar rumah.
Antara hobi ibu saya adalah menanam pokok. Ibu saya telah menanam pelbagai jenis pokok dan tumbuhan di sekeliling dan juga di dalam rumah kami. Bapa saya pula akan membantunya untuk menyiram pokok-pokok tersebut pada setiap hari.
Pokok diketahui dapat mengurangkan suhu udara. Dengan adanya pokok-pokok ini, udara di rumah kami biasanya berada pada suhu yang rendah. Oleh itu, kami jarang perlu membuka penghawa dingin di waktu tengahhari, melainkan pada hari yang benar-benar panas ataupun ketika tetamu datang ke rumah.
Di samping itu, pokok juga berfungsi untuk mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida. Dengan mempunyai pelbagai jenis pokok di sekeliling rumah kami, kami sekeluarga dapat menikmati udara yang segar dan pemandangan yang indah pada setiap hari.
Aircond tidak perlu guna tenaga lebih
8. Penggunaan elektrik penghawa dingin dapat dikurangkan dengan suhu sekeliling yang rendah.
Apabila sekeliling rumah bersuhu rendah, penghawa dingin tidak perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk menurunkan suhu kepada suhu yang dikehendaki.
Sebagai contoh, jika suhu sekeliling adalah 30°C, manakala suhu yang dikehendaki pula adalah 23°C. Maka perbezaan suhu adalah sebanyak 7°C, ini menyebabkan penghawa dingin perlu bekerja keras untuk menurunkan 7°C tersebut.
Bayangkan jika suhu sekeliling rumah hanya 25°C, penghawa dingin cuma perlu menurunkan suhu sebanyak 2°C untuk mendapatkan suhu yang dikehendaki. Maka dengan adanya pohon-pohon tanaman berserta dengan Turbine Ventilator, tenaga elektrik dapat dijimatkan dengan lebih banyak.
Kredit kepada ibu bapa saya iaitu Johari Judan & Dr Zorina Khalid kerana telah berusaha untuk menjaga alam sekitar. Dengan semangat mereka, kami dapat menikmati pemandangan yang indah, udara yang nyaman dan sejuk apabila pulang ke rumah di melaka, di samping ia dapat menjimatkan bil elektrik rumah kami.
[Nota tambahan: perkongsian ini mungkin tidak relevan bagi mereka yang tidak menggunakan alat penghawa dingin di rumah mereka]
Diharapkan perkongsian ini bermanfaat kepada anda semua untuk menjimatkan bil elektrik di rumah anda. Kongsikan kaedah-kaedah ini kepada rakan lain yang mempunyai masalah bil elektrik yang tinggi, dan selamat mencuba.
Murid PASTI meninggal dunia, sayu hati tengok rakan-rakan keliling jenazah, beri penghormatan terakhir. Tular di media sosial video menyayat hati yang memperlihatkan detik terakhir seorang murid tadika sebelum dikebumikan.