Mencipta kenangan indah dan membahagiakan bersama pasangan ada masa dan ketikanya tidak memerlukan wang atau modal untuk ke suatu lokasi yang romantis.
Umpamanya bila berdua-duaan dengan pasangan di dalam kereta ketika sama-sama menuju ke tempat kerja atau pulang bersama juga boleh dimanfaatkan dalam mencipta detik bahagia.
Ini kisahnya sepertimana yang dikongsikan oleh saudara Akhtar Syamir tentang kisah suami isteri yang dilihatnya sedang makan bersuap di dalam kereta. Semoga kisah ini juga dapat memberi inspirasi untuk kita sentiasa berkasih sayang dengan pasangan agar hidup lebih membahagiakan.
Sewaktu menunggu lampu isyarat bertukar hijau pagi tadi, saya terperasan melalui cermin pandang belakang. Ada satu pasangan sedang saling suap menyuap sarapan. Teringat saya dan isteri yang memang selalu buat perkara yang sama. Kadang kala dah macam berkelah dalam kereta.
Perasaan seperti ini sangat membahagiakan. Untuk yang tidak pernah merasainya, mungkin tidak faham perasaan pada waktu itu. Nampak macam ringkas sahaja kan? Apa yang istimewanya makan dalam kereta?
Tapi percayalah yang tak semua orang dapat rasa macam ni. Ada pasangan yang tidak suka makan dalam kereta. Ada yang tidak benarkan langsung makan dalam kereta untuk menjaga kebersihan. Ini tak salah pun, tapi inilah antara sebab kenapa saya kata tak semua orang dapat merasainya.
Kemudian saya fikir lagi, kebahagiaan yang terpancar di muka pasangan di belakang saya itu nampak jelas walaupun dari cermin pandang belakang. Si suami tersenyum, si isteri mengusik. Disumbat-sumbatnya makanan walaupun suaminya tidak habis lagi mengunyah. Isteri saya pun suka buat macam ni.
Saya tengok, kenderaan yang mereka gunakan biasa sahaja. Bukan saya menilai kebahagiaan mereka dari kenderaan yang mereka gunakan, tetapi nak beritahu yang duit dan harta benda tidak akan menjamin kebahagiaan. Memang duit itu perlu untuk hidup. Tapi orang boleh sahaja bahagia dengan hanya bermotosikal, berkereta kecil, tinggal di rumah yang biasa-biasa sahaja dan sebagainya.
Terlalu ramai yang beranggapan, perlu carik duit, perlu banyak duit, perlu tabur duit kepada isteri dan anak-anak untuk bahagia dan gembira. Jangan sekali-kali kita berfikiran begini kerana ini mentaliti yang merosakkan hati dan perasaan.
Dari mentaliti beginilah kita akan mula menilai orang dari segi duit dan kekayaan. Kita akan mula pandang rendah orang yang tiada apa-apa dan memandang tinggi melangit orang yang berduit. Bila waktu itu tiba. Ada kalanya kita tidak sedar dan takkan sedar sampailah bila-bila.
Hidup memang memerlukan duit. Tetapi ia tidak menjamin kegembiraan dan kebahagiaan.
Siapa kaki makan bersuap macam ni? Boleh geng dengan kami.
Semoga mendetikkan sesuatu.
Sumber : Akhtar Syamir
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club