Makan Banyak Sangat Rai Hari Raya, Ini Nasihat Dr Kena Ambil Peduli!

Share

Apakah kesan pemakanan tinggi karbohidrat terhadap diri kita seperti lemang, ketupat, kuah kacang dan rendang?

Aidilfitri sudah menjelang tiba. Di hari raya ini, kita berkecenderung untuk makan lebih makanan yang berat berkalori tinggi. Makanan dan minuman yang diambil semasa hari raya kebiasaannya mengandungi kandungan lemak, gula, garam dan kalori yang tinggi.

Ini kerana kebanyakan juadah tradisi kita berasaskan karbohidrat. Karbohidrat adalah sumber tenaga yang utama dan membekalkan tenaga dengan cepat. Karbohidrat datang dari makanan yang bersumberkan tumbuh-tumbuhan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijiran penuh, legume, kekacang dan biji benih (seed).

Ia mengandungi banyak karbohidrat, vitamin, mineral dan sebatian semulajadi yang menggalakkan kita menjadi lebih sihat (sebatian ini dinamakan phytonutrein).

Pengambilan karbohidrat kompleks yang tidak berproses (dari sayur-sayuran dan buah-buahan) membekalkan fiber sangat baik bagi untuk kesihatan usus, menurunkan penyerapan kolestrol dan secara tidak langsung membantu menurunkan berat badan dan mengurangkan risiko mendapat serangan sakit jantung.

Namun begitu pengambilan karbohidrat yang terlalu banyak adalah amalan yang tidak sihat. Terutama dalam kehidupan kita di zaman ini yang mana kita hidup dalam keadaan sedentari (kehidupan yang tidak memerlukan banyak tenaga), dan terdapat banyak makanan di sekeliling kita (di pasaraya dan di restoren) yang menyediakan makan yang berproses, tinggi kalori dan sangat rendah nutrisi.

Berbanding dengan orang zaman dulu yang menggunakan banyak tenaga dalam pekerjaan mereka (seperti berladang dan berkebun), pengambilan karbohidrat yang banyak tentu tidak menjadi isu kesihatan.

Oleh itu secara logiknya kita tidak memerlukan makanan yang sebegini dalam kuantiti yang terlalu banyak. Juadah hari raya yang beraneka sudah tentu menarik selera kita, terutama di musim Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak membenarkan kita keluar rumah. Dengan selera yang bertambah, makanan yang tinggi kalori tersedia di atas meja dan tiada pergerakan fizikal akan membuatkan kita akan menjadi bertambah tidak sihat dan mungkin akan meningkatkan berat badan.

Bagi pesakit kronik metabolic seperti pesakit diabetis, hipertensi dan tinggi paras kolestrol, ia akan menyebabkan kawalan gula, tekanan darah dan kolestrol akan menjadi tidak terkawal, walaupun mengambil ubat yang diberikan secara berkala.

Bagi pesakit metabolik yang telah mengalami komplikasi seperti pesakit ginjal yang menjalani rawatan hemodialisis, pesakit jantung, dan pesakit stroke sudah tentu akan menyebabkan mereka berasa tidak sihat dan berkemungkinan ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut.

Bagi mereka yang masih muda dan sihat, perubahan yang mungkin kelihatan adalah peningkatan berat badan. Namun sebenarnya proses menjadikan mereka berpenyakit metabolic sedang bermula tanpa disedari.

Oleh kerana juadah hari raya kita banyak yang berasaskan karbohidrat ringkas terutamanya seperti lemang, nasi impit, ketuput dan lontong, pengambilan juadah ini tidak digalakkan diambil secara berlebihan. Tidak salah menjamu diri dengan juadah tradisi ini, namun pengambilannya haruslah dikawal.

Seseorang mungkin mengambil jumlah makanan yang berkalori tinggi tanpa mereka sedari. Ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami penambahan berat badan lebih kurang 3-5 kg semasa musim hari raya. Kalori berlebihan bukan sahaja membuatkan ukur lilit pinggang anda bertambah, ia juga boleh menjadi punca kepada masalah yang lain seperti gastrik dan makanan sukar dihadam. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk terutama bagi pesakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Sebagai contoh pengambilan tiga potong lemang (1cm tebal) bersama satu senduk kuah rendang yang mengandungi 4 ketul daging membekalkan 500kCal. Hidang sebegini ringkas telah memenuhi kuota kalori kita untuk makana tengah hari! Tenaga sebanyak ini boleh digunakan untuk aktiviti berjalan kaki selama satu setengah jam, berjogging selama 45 minit dan mengayuh basikal selama satu jam.

TIPS BAGI MENGAWAL PEMAKANAN SEMASA HARI RAYA

Di bawah dikongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda untuk kekal sihat semasa hari raya Aidilfitri:

1. Kebiasaannya pelbagai jenis makanan yang dihidangkan semasa hari raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat, rendang, dan 1001 macam jenis kuih raya. Anda dinasihatkan mengawal nafsu semasa melihat makanan yang terhidang. Cuba ambil masa beberapa saat untuk melihat semua makanan sebelum membuat keputusan untuk memilih makanan yang anda ingin makan. Dengan cara ini, boleh membantu anda untuk mengambil jumlah setiap makanan yang anda inginkan secara terkawal. Seterusnya, dengan makan makanan dalam jumlah yang sederhana dan terkawal, ia akan memberi peluang kepada system penghadaman badan anda untuk terus berfungsi dengan baik sepanjang Aidilfitri nanti.

2. Dalam keghairahan untuk mencuba semua jenis hidangan hari raya yang tersedia, anda dinasihatkan untuk tidak lupa minum air dengan cukup dan mengambil makanan yang kaya dengan fiber. Ini adalah untuk mengelakkan anda mengalami masalah sembelit semasa hari raya. Tentu tidak seronok, bukan? Orang lain bergembira bertemu sanak saudara di hari raya, tetapi anda ter’perangkap’ di dalam tandas sepanjang hari.

3. Semua pun sedia maklum, hidangan di hari raya ini kebanyakannya terdiri dari makanan yang manis, berlemak, dan tidak kurang juga mengandungi kandungan garam yang tinggi. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan seperti ini. Selain itu, tidak kurang juga hidangan minuman bikarbonat seperti coca-cola merupakan minuman yang popular di hari raya. Anda perlu ingat, kandungan gula dan kafein di dalam air bikarbonat adalah sangat tinggi. Oleh itu, tidak salah jika anda minum setengah gelas air coca-cola, dan kemudian segelas air kosong sekiranya anda masih berasa dahaga. Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, lemak, garam, dan kafein boleh menyebabkan masalah seperti makanan tidak hadam dan sembelit.

4. Pengambilan beberapa biji kurma sebelum sembahyang raya adalah sangat digalakkan. Kemudian, anda dicadangkan makan makanan seperi roti gandum penuh, susu rendah lemak, dan sepotong buah-buahan sebagai sarapan ringan sebelum anda menjamah ketupat dan rendang.

5. Untuk makan tengahari dan makan malam, saya pasti kebanyakan dari kita yang mungkin sudah terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang serta hidangan hari raya yang lain. Namun, sekiranya anda berjaya mengawal pemakanan anda pada hari tersebut, anda bolehlah menambah pengambilan sayur-sayuran, dan buah-buahan segar. Ini kerana saya dapati pada hari raya amat sukar sekali kita lihat makanan yang tersedia yang boleh dihidang bersama sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini sangat penting untuk membantu penghadaman makanan yang anda ambil sepanjang hari tersebut.

Diharap panduan yang dikongsikan sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengawal pengambilan makanan di hari raya nanti. Suka saya ingatkan, tubuh badan kita ini bukan untuk kita pakai sehari dua, tetapi sepanjang hidup kita.

TIPS BOLEH DIAMALKAN BAGI MENJADIKAN HIDANGAN DI HARI RAYA LEBIH SIHAT ?

Apa yang perlu setiap individu sama ada yang berpenyakit atau sihat, kuantiti dan jenis juadah perlu diberi perhatian terutama untuk makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak.

Kurangkan pengambilan makanan yang jatuh pada kategori itu bagi mengelakkan risiko penyakit, selain anda dapat mengelakkan berat badan ideal.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club