Insiden kematian akibat tertekan pedal minyak berulang kembali. Kali ini yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun.
Peristiwa tragis tersebut berlaku selepas mangsa dilanggar sebuah kereta yang mengundur disebabkan pemandunya tertekan pedal minyak. Kejadian tersebut berlaku di rumah panjang Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Annur Sumayyah Syabandi maut akibat kecederaan parah di kepala ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Mak (nenek) panggil…Sumayyah nak pergi,” itu antara kata-kata terakhir Annur Sumayyah Syabandi, yang sehingga kini masih terngiang-ngiang di kepala Nur Daliia Yusoff, 28.
Nur Daliia, ibu kepada Annur Sumayyah bercerita mengenai ‘tabiat’ anak tunggalnya itu sehari sebelum kejadian.
Pada mulanya dia menyangka Sumayyah yang memanggil neneknya dengan panggilan mak mungkin terlalu rindu dengannya. Menurut Daliia lagi, ibunya meninggal dunia pada April tahun lalu kerana kanser usus.
“Sehari sebelum kemalangan tragis menimpa Sumayyah, dia ada memberitahu kepada saya yang neneknya panggil dan dia mahu pergi. Saya ingat anak terlalu rindu dan mahu menziarahi kubur neneknya itu.
“Dia juga dilihat berubah kerana kelihatan terlalu manja dan kerap meminta didukung sejak kebelakangan ini.
“Saya kini hamil tujuh bulan dan Sumayyah kerap mencium perut dan memeluk saya. Memang dia dilihat berkelakuan manja sedikit berbanding sebelum ini, mungkin itu tanda yang dia mahu pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Menurutnya, dia sebelum ini tinggal di Kuching, Sarawak kerana mengikut suami yang bertugas sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pulang ke kampung halamannya di sini, sejak Januari lalu kerana mahu melahirkan anak kedua mereka.
“Ketika kejadian semalam (kelmarin) saya berada di dapur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di luar dan terus bergegas keluar rumah melihat apa yang berlaku.
“Sebaik keluar, saya lihat anak sudah tercampak dalam keadaan berlumuran darah di tengah jalan dan saya terus memangkunya serta meminta jiran membawa kami ke hospital,” katanya.
Menurutnya, tidak sampai lima minit perjalanan ke hospital, anaknya itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya dengan keadaan darah yang keluar melalui telinga.
“Saya hanya mampu reda dan berserah kepada Tuhan kerana semua yang berlaku ini adalah ketentuan daripadanya,” katanya lagi.
Biarpun si pelaku yang membawa kereta tersebut adalah rakan baik sendiri, Nur Daliia bagaimana pun tidak menyimpan dendam dan memaafkannya kerana ia ketentuan Tuhan. Rakannya tertekan pedal minyak ketika mengundurkan kereta lalu terlanggar Sumayyah.
Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, Annur Sumayyah meninggal dunia selepas dirempuh kereta dipandu wanita yang juga rakan ibunya.
Difahamkan, wanita terbabit tertekan pedal minyak ketika mahu mengundurkan keretanya hingga membuatkan dia merempuh mangsa yang ketika itu berada di pekarangan luar rumah mereka.
Sementara itu, menerusi laman facebooknya Daliia dilihat memuat satu perkongsian yang cukup menyentuh hati. Daliia mengakui cukup sukar melelapkan air mata tatkala mengenang anak kesayangannya itu.
Annur Sumayyah
Ibu kandung kan kamu 9 bulan
Sakit lahirkan kamu ibu rasa sekejap saja,begitu mudah lahirkan kamu Walaupun ibu kena induce sakit ibu sekejap saja..kamu lahir hari Jumaat waktu pagi ya Allah sungguh indah ..kehadiran kamu disambut keluarga tetapi kematian kamu seluruh Malaysia mendoakan untuk kamu Sumayyah..
“Seindah nama kamu Sumayyah..Ya Allah kau telah kurniakan 1 kurniaan mu yang tak ternilai untuk-Ku iaitu aku melahirkan anak syurga ini dalam rahim Ku Ya Allah..
Ibu halalkan setiap titis susu ibu dekat kamu Sumayyah selama 2 tahun..ibu abah rindukan kamu..kamu selalu dalam hati ibu dan abah..
” Tarik ibu dan abah ke syurga Allah 1 hari nanti ya Sumayyah ..ibu yang melahirkan kamu Sumayyah ..ibu masih terasa pelukan pertama kamu dengan ibu..Ya Allah sesungguhnya kau Maha Besar Lagi Maha Berkuasa..aku terima ini takdir Ku..
Walaupun pahit aku pasti ada manisnya nanti..saat kamu menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan ibu dengan berlumuran darah ibu akur Sumayyah. Kamu harta yang tak ternilai yang ibu ada di dunia ini Sumayyah.
“Malam tidur tanpa kamu amat pahit sebab kamu tak pernah berpisah dengan ibu..ibu cuma ada bantal selimut kesayangan kamu..senyum ketawa kamu ibu tak lupa Sumayyah ..
Ibu rindukan kamu..anak syurga ibu
Annur Sumayyah Bt Syabandi
#iburindu
#ibusygsumayyah
#iburindupelukansumayyah
Sebaknya baca luahan ibu ini. Semoga terus kuat dan tabah dengan dugaan yang menimpa.
Sumber: Daliia Yusof