Mak Kalau Buntu Nak Masak Untuk Anak, Boleh Olah Resipi Kreatif Guna Sardin Tin Ni, Super Sedap!

Share

Sebut sahaja sardin tin pasti ramai yang cukup sukakannya. Makanan paling ringkas, pantas disediakan dan paling penting sedap rasanya. Apa lagi kalau buat pedas-pedas dan dimakan ketika panas.

Lebih hebat lagi sekarang semua orang dah mampu buat sardin tin sendiri yang dibuat daripada ikan segar. Lebih selamat dan paling penting langsung tak gunakan sebarang bahan pengawet. Malah kosnya pun lebih murah jika dibandingkan dengan harga setin sardin di pasaran. Bak kata orang boleh beli ikan sekilo!

Dah alang-alang boleh buat sardin tin sendiri, apa kata kita variasikan lagi jadi resipi yang lebih kreatif. Himpunan resipi menggunakan sardin tin ini anda boleh cuba. Memang menarik dan sedap!

#RESIPI 1

SARDIN TIN MASAK LEMAK CILI PADI

Bahan-Bahan:
1 tin sardin saiz besar
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
7 biji cili padi
1 batang serai
1 helai daun kunyit
250ml santan
3 biji ubi kentang
2 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 keping asam gelugur
300ml air
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Minyak masak secukupnya

Cara Memasak:

1.Kisar bawang merah, bawang putih, serai, halia dan kunyit hidup. Ketepikan.

2. Panaskan periuk, masuk sedikit minyak dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar tadi. Masuk air kira-kira 300ml. Setelah mendidih, masukkan santan, garam dan daun kunyit, kecilkan api.

3. Masuk kentang dan setelah kentang sedikit lembut, masukkan cili padi dan ikan sardin dengan sosnya sekali. Biarkan sekitar 5 minit, mati akan api dan angkat.

4. Boleh hias dengan sedikit hirisan daun limau purut sebelum dihidangkan. Sedia dinikmati.

#RESIPI 2

SARDIN TIN MASAK TOMYAM

Bahan-Bahan:
1 tin sardin -saiz besar
4 batang serai saiz sederhana – ketuk
1 inci lengkuas – ketuk
8 biji cili padi – ketuk
1 kiub perencah tomyam Knor
1 biji bawang besar
3 helai daun limau purut (urat tengah tu buang)
2 helai daun ketumbar jawa
Sedikit perahan lemon

Cara Memasak:

1. Rebus air bersama serai, lengkuas dan cili padi.

2. Masukkan perencah tomyam, kuah sardin dan bawang.

3. Bila dah menggelegak, masukkan sardin, daun limau purut, ketumbar jawa. Biarkan mendidih dan dikacau sentiasa.

4. Bila kuahnya dah pekat, perahkan lemon dan perasakan dengan sedikit garam. Biarkan masak seketika.

5. Angkat dan sedia dinikmati.

#RESIPI 3

SARDIN TIN MASAK PAPRIK

Bahan-Bahan:
1 tin sardin besar
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1sm halia
5 biji cili padi -ketuk
1 batang serai
3 helai daun limau
Sedikit lobak merah, jagung mini dan sayuran lain
Garam dan air asam jawa

Cara Memasak:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga naik bau.

2. Masukkan cili padi dan kesemua sayura lain.

3. Masukkan kuah sardin dan gaul rata.

4. Akhir sekali masukkan sardin dan letakkan sedikit asam jawa. Biarkan mendidih.

5. Perasakan dengan garam dan taburkan hirisan daun limau purut.

6. Apabila mendidih, angkat dan sedia dinikmati.

#RESIPI 4

GULAI LEMAK KUNING KELADI IKAN SARDIN

Bahan-Bahan:
1 tin sardin besar
100gm keladi -dibasuh dan direbus
2 biji bawang besar
5 biji cili padi
1 liter santan
1sm kunyit hidup
1 batang serai -ketuk
2 keping asam keping
Garam secukup rasa

Cara Memasak:

1. Kisar bawang merah, cili padi dan kunyit hidup hingga sebati.

2. Masukkan ke dalam periuk bersama sedikit air dan biarkan mendidih.

3. Masukkan kuah sardin, keladi, serai dan asam keping. Biarkan mendidih.

4. Masukkan santan bersama sardin dan biarkan mendidih.

5. Angkat dan sedia dinikmati.

#RESIPI 5

ASAM PEDAS SARDIN TIN

Bahan-Bahan:
20 tangkai cili kering -dikisar
2.5sm kunyit hidup -dikisar
6 biji bawang merah -dikisar
5 ulas bawang puth -dikisar
3 batang serai -diketuk
4 helai daun limau purut
3 sudu asam jawa -dicampur dengan 1 cawan air
Garam dan serbuk perasa secukupnya

Cara Memasak:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar hingga naik garing.

2. Setelah garing masukkan kuah ikan sardin dan kacau rata selama tiga minit.

3. Kemudian masukkan ikan sardin dan tuangkan pula air asam jawa. Masukkan juga limau purut dan juga serai.

4. Kacau hingga sebati dan biarkan mendidih.

5. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa secukupnya dan angkat.

Mana satu resipi paling disukai? Selamat mencuba!