Mak ayah jangan ajar anak minta duit raya walaupun anggap gurauan. Sudah menjadi kebiasaan ketika menjelang Hari Raya, selepas sesi kunjung-mengunjung dan bermaafan, kanak-kanak akan menerima duit raya sebagai tanda keceriaan menyambut bulan yang mulia ini.

Mak Ayah Jangan Ajar Anak Minta Duit Raya Walaupun Anggap Gurauan

Namun, pernah tak kita sedar setiap kali tibanya Syawal, pasti kedengaran beberapa dialog daripada ibu bapa kepada anak-anak kecil mereka seperti:

“Pergi salam makcik tu, minta duit raya”

“Cakap kat pakcik nak duit merah, bukan duit hijau”

“Tanya makcik tu, mana duit raya?”

Malah ada juga anak-anak yang tanpa segan berkata:

“Pakcik, ayah saya cakap kalau pakcik baik, mesti pakcik bagi lagi duit raya”

Walhal, kanak-kanak tersebut dan adik-beradiknya sudah pun menerima duit raya sehari sebelumnya. Para ibu bapa, pernah tak anda alami situasi seperti ini?

Walaupun kadang-kadang kita anggap ia hanya sekadar gurauan, namun sebagai ibu bapa, seharusnya timbul rasa malu dan tidak menggalakkan anak untuk meminta-minta duit raya.

Ads
Mak Ayah Jangan Ajar Anak Minta Duit Raya Walaupun Anggap Gurauan
Kredit foto: Harian Metro

Berikut adalah beberapa perkara penting untuk kita renungkan sebagai ibu bapa:

1. Elakkan Mengajar Anak Meminta Duit Raya

Kita tidak tahu keadaan kewangan seseorang. Mungkin mereka sedang berjimat demi keperluan penting lain. Bertemu dengan anak yang diajar meminta duit raya boleh menyebabkan rasa tidak selesa atau tekanan kepada mereka.

2. Pentingnya Menjaga Adab

Kita sebagai orang dewasa pun tidak pernah diajar oleh ibu bapa kita untuk meminta duit daripada orang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga tatasusila. Maka, janganlah kita pula didik anak dengan cara sebaliknya.

3. Jangan Bandingkan Keupayaan Kewangan Kita Dengan Orang Lain

Mungkin kita berada dalam keadaan ekonomi yang stabil dengan gaji yang selesa. Namun, tidak semua orang mempunyai nasib yang sama. Setiap orang diuji dengan rezeki dalam bentuk yang berbeza-beza.

4. Jangan Anggap Semua Yang Bekerja Ada Lebihan Duit

Gaji yang besar tidak semestinya menunjukkan seseorang itu mempunyai banyak wang. Ada yang mempunyai tanggungan besar dan komitmen kewangan tinggi. Jadi, jangan sesuka hati anggap mereka mampu beri lebih.

Mak Ayah Jangan Ajar Anak Minta Duit Raya Walaupun Anggap Gurauan
Kredit: Sinar Harian

5. Sedari Realiti Kos Sara Hidup Sekarang

Zaman sekarang menuntut kita berjimat dalam pelbagai aspek. Jika duit raya anak anda termasuk dalam perkara yang perlu dikurangkan, terimalah dengan hati yang redha. Tak perlu mengidamkan jumlah yang besar atau warna tertentu.

Ads

6. Hormati Pemberi Duit Raya

Ajarlah anak-anak supaya tidak membuka sampul duit raya di hadapan orang ramai dan tidak memberi reaksi negatif terhadap amaun yang diterima. Hormatilah niat baik orang yang memberi.

7. Jangan Mengkritik Nilai Duit Raya Anak

Ibu bapa tidak sepatutnya mengeluh atau mengkritik jumlah yang diterima anak-anak. Ini boleh menanam sikap tidak menghargai dan tamak dalam diri mereka sejak kecil.

8. Hargai Setiap Rezeki Yang Diperoleh

Apa pun jumlah yang anak anda dapat, anggaplah itu sebagai rezeki mereka. Tak perlu meminta lebih, dan jangan jadikan semua itu bahan jenaka. Bersyukur dan terus bersyukur. Hari Raya adalah waktu menggembirakan, saat untuk mengeratkan silaturahim. Janganlah rosakkan kemeriahan ini dengan sikap yang tidak wajar.

Ingatlah, didikan hari ini akan membentuk perlakuan anak-anak di masa akan datang. Jika tahun ini kita mula mengajar adab yang baik, InsyaAllah tahun depan mereka akan terus mengamalkannya.

Semoga amalan kita sepanjang Ramadan diterima dan semoga kedatangan Syawal membawa kebahagiaan yang penuh bermakna.

Baca artikel lain juga: Duit Raya, Mana Lebih Banyak Pahala? Beri Pada Syawal Atau Ramadan

Ads

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my

 

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI