Meskipun bakal memasuki usia 52 tahun pada tahun ini, wajah pelakon dan penyanyi Amy Mastura tak pernah berubah dan sentiasa kekal awet muda dari dulu hingga kini!
Tetapi, mungkin ada yang masih tak tahu sebenarnya pelantun lagu popular ‘Sha na na’ ini ada dua orang anak gadis iaitu puteri sulungnya, Adriana yang kini sudah berusia 22 tahun dan anak keduanya, iaitu Adalia telah memasuki usia 18 tahun pada pertengahan April lalu.
Yang menarik perhatian, melalui gambar yang dikongsikannya baru-baru ini di laman Instagram miliknya, Amy Mastura kelihatan seperti sebaya dengan anak-anaknya dek kerana personalitinya yang tak makan dek zaman itu!
Memetik laporan dari gempak, sebagai ibu, Amy bukan sejenis mengongkong anak-anaknya tetapi sering ingatkan untuk tidak menyembunyikan apa-apa darinya.
“Saya beri kebebasan untuk mereka membuka akaun di laman sosial. Daripada segi pemantauan, saya kawal secara biasa sahaja. Tidak terlalu mengongkong dan tidak pula memberi kebebasan secara mutlak di tangan mereka.
Saya sering mengingatkan, jika mereka mempunyai niat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik; sehebat mana sekalipun mereka cuba sembunyikan pasti saya akan tahu juga. Justeru lebih baik berterus-terang dengan saya terlebih dahulu.
” Daripada perspektif berbeza, mereka menerima hakikat bahawa ibu mereka adalah public figure. Maka secara tidak langsung gerak-geri atau apa yang mereka lakukan diperhatikan orang. Mahu atau tidak mereka harus lebih berhati-hati dan bijak dalam setiap tindak-tanduk. Dan saya berterima kasih kepada masyarakat sekeliling yang turut sama mengambil perhatian dan membantu saya memantau anak-anak (ketawa).” katanya.
Tambahnya, Adrianna dan Adalia mempunyai perwatakan yang berbeza dan cara Amy membesarkan mereka mengikut kepada peringkat usia dan peredaran zaman. Misalnya Adrianna, Amy akui tidak lagi mempraktikkan apa yang lazimnya ibu-ibu kita lakukan dahulu sesuai dengan keperluan dan zaman ini. Apa jua yang Amy tidak benarkan, Amy akan huraikan mengapa dan sebab-musababnya.
“Contohnya, jangan keluar tetapi saya huraikan sebabnya. Jangan keluar bahaya dengan penjenayah dan peragut di luar. Itu antara pendekatan yang saya praktikkan. Kemudian, saya imbas kembali ketika zaman saya remaja dahulu. Seboleh mungkin saya pastikan berada dengan mereka saat diperlukan.” jelasnya.
Bagi minat anak-anak pula, siapa sangka dalam diam anak gadis Amy juga memiliki bakat sepertinya dalam bidang seni.
“Kedua-duanya mempunyai minat tersendiri tetapi jika bertanyakan tentang artis, baik dalam negara mahupun luar negara kedua-duanya punya minat yang berbeza. Anak bongsu (Adalia), semua artis di Malaysia dia minat! (ketawa).
“Berdasarkan pemerhatian dan penelitian saya, ewah…(ketawa) kedua-duanya punya minat dan kecenderungan ke arah dunia seni dan muzik. Anak sulung (Ariana) minat dalam bidang muzik. Adalia pula lebih meminati bidang lakonan, malah dia juga pernah berlakon dalam teater.
“Tak fahamlah saya mengapa perlu dihalang (ketawa). Malah saya seronok jika mereka ditakdirkan turut sama mewarnai dunia seni. Bolehlah sama-sama pergi shooting (ketawa). Saya tidak menghalang sama sekali malah akan memberi galakan kepada mereka.” tambahnya.
Sumber : gempak