
Main mercun bola, abang parah, adik cedera. Dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun mengalami kecederaan selepas dipercayai bermain mercun bola dalam kejadian yang berlaku di Kampung Baru, Kuala Nerang, pada malam Selasa.
Main Mercun Bola, Abang Parah, Adik Cedera
Kejadian yang berlaku sekitar jam 8.15 malam itu dipercayai berpunca apabila kedua-dua kanak-kanak tersebut memperoleh mercun berkenaan daripada rakan sekampung mereka sebelum bermain di luar rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.
Difahamkan, insiden pertama membabitkan mercun yang dilaporkan berlaku di Kedah sepanjang bulan Ramadan ini menyebabkan si abang mengalami kecederaan parah, manakala adiknya turut tercedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abdull Razak Osman, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.32 pagi selepas pihak perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar memaklumkan perkara itu.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke zon merah HSB sekitar jam 9.30 malam untuk mendapatkan rawatan segera.
“Berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa hanya menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi letupan kuat. Beliau segera berlari keluar dan mendapati kedua-dua anaknya mengalami kecederaan.
“Ketika kejadian berlaku, bapa mangsa tiada di rumah,”** katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.
Menurut Abdull Razak, kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB.
Berikutan kejadian itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang memiliki bahan letupan secara haram boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun.
Selain itu, mana-mana individu yang didapati cuai sehingga membahayakan kanak-kanak boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Tragedi Konvoi Di Thailand Motorsikal Berkuasa Tinggi Terbabas, Suami Isteri Maut

Pagi yang sepatutnya diiringi dengan keriangan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila sepasang suami isteri, Mohd Sofi Ismail dan Zaimima Ismail, masing-masing berusia 43 tahun, dilaporkan maut dalam kemalangan tragis di Chumphon, Thailand.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi Isnin, pasangan ini yang juga peniaga roti canai di Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini disahkan meninggal dunia akibat cedera parah dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi Kawasaki GTR1400.
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan, pasangan ini dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas hampir dua minggu berkonvoi bersama rakan-rakan lain di Thailand.
“Semasa kejadian hujan dan keadaan jalan licin menyebabkan motosikal ditunggang arwah bersama isteri terbabas sendiri. Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat dibawa ke Hospital Chumphon,”
Muhammad Arashid berkata, dia masih terkejut dengan berita kematian rakan baiknya yang dikenali sejak lebih 10 tahun lalu ketika menyertai kumpulan motosikal berkuasa tinggi.
Dia yang menyifatkan suami isteri itu sebagai rakan yang baik berkata, pasangan terbabit tidak pernah berpisah dan sentiasa bersama kerana berkongsi minat terhadap motosikal berkuasa tinggi.
“Arwah mempunyai dua anak lelaki berusia 20-an yang baru saja melangsungkan perkahwinan dua bulan lalu dan seorang lagi berusia 12 tahun. Saya dimaklumkan kedua-dua anak arwah juga baru tahu mengenai kehilangan ibu bapa mereka.
“Kami sangat rapat kerana sentiasa berhubung dalam kumpulan sembang WhatsApp dan sudah tentu saya sangat sedih dengan kehilangan mereka. Saya akan bantu menguruskan dua van jenazah di Bukit Kayu Hitam,” katanya.
JENAZAH SUAMI ISTERI SATU LIANG LAHAD

Memetik laporan Astro awani, jenazah pasangan suami isteri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul ‘Ulum Merbau Pulas, pada awal pagi, Selasa.
Jenazah Mohd Sofi Ismail,43, dan isteri, Zaimima Ismail, 43, dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Lebih 200 terdiri dari ahli keluarga dan rakan Allahyarham hadir untuk memberi penghormatan terakhir.
Sumber: Harian Metro
Top 6 Warna Baju Raya Trending Di Pagi Syawal 2025, Yang Menjadi Pilihan Ramai

Tidak lama lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.
Dalam keterujaan menanti Syawal, pastinya ramai yang sudah mula sibuk membuat persiapan, termasuk membeli baju raya.
Malah, minggu ini mungkin menjadi waktu paling sibuk untuk memilih warna tema yang sesuai untuk seisi keluarga!
Bagi sesetengah orang, pemilihan baju raya bukan sekadar soal fesyen atau trend semata-mata, tetapi juga melambangkan keseragaman, kesepakatan, dan keharmonian dalam keluarga. Tidak hairanlah ramai yang sanggup meluangkan masa untuk mencari warna yang serasi, agar suasana di pagi raya nanti lebih bermakna.
Namun tahun ini, untuk tahun 2025, trend warna tema raya dijangka lebih moden, elegan, dan mempunyai sentuhan klasik yang timeless.
Warna baju raya 2025 yang dijangka menjadi pilihan utama pada tahun ini adalah seperti berikut:
Olive green
Royal blue
Burgundy
Lilac
Magenta
Teal Blue
Pilihan Warna Baju Raya 2025 & Maknanya
1️ Olive Green – Warna hijau zaitun melambangkan ketenangan, kestabilan, dan keanggunan. Ia juga sering dikaitkan dengan alam semula jadi serta simbol kedamaian dan keseimbangan.
2️ Royal Blue – Biru diraja membawa maksud kemewahan, keyakinan, dan kebijaksanaan. Warna ini mencerminkan keanggunan yang klasik dan memberi aura ketenangan serta ketegasan pada si pemakai.
3️ Burgundy – Warna merah keunguan ini melambangkan keberanian, kemewahan, dan kematangan. Ia juga dikaitkan dengan kekuatan emosi dan ketegasan dalam membuat keputusan.
4️ Lilac – Ungu pastel yang lembut ini mencerminkan kelembutan, romantik, dan aura ketenangan. Warna ini sering dikaitkan dengan kreativiti dan personaliti yang bersahaja tetapi menarik.
5️ Magenta – Warna yang menyerlah ini membawa maksud tenaga, keceriaan, dan keyakinan tinggi. Ia melambangkan keberanian untuk menonjol dan memberikan kesan moden serta segar.
6️ Teal Blue – Warna melambangkan ketenangan jiwa dan keikhlasan hati. Ia mencerminkan personaliti yang bersifat mendalam yang memberikan aura yang unik dan elegan.
Sama ada anda memilih warna yang lembut dan menenangkan atau tona yang berani dan penuh keyakinan, setiap warna membawa makna tersendiri yang menyerlahkan keunikan diri. Jadi apa pilihan anda? Selamat memilih warna baju raya dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Sumber: @hyfa1202 & galeriartie.com
Pelajar Melayu Menyerlah, ‘Sapu’ Lima Anugerah Dalam Majlis Graduasi SMJK

Isi Kandungan
TogglePelajar Melayu menyerlah, ‘sapu’ lima anugerah dalam majlis graduasi SMJK. Ahmad Khidir Ahmad Nazri berjaya membuktikan kemampuan dirinya apabila menerima lima anugerah dalam majlis graduasi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee di Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.
Pelajar Melayu Menyerlah
Majlis itu menyaksikan Ahmad Khidir, 17, membawa pulang Anugerah Tokoh Pelajar, Timbalan Ketua Pengawas, tempat pertama dalam kelas, tempat pertama dalam tingkatan aliran sastera serta markah tertinggi Bahasa Melayu dan juga Pendidikan Islam.
Kejayaan itu menjadikan Ahmad Khidir sebagai salah seorang daripada tiga pelajar Melayu di sekolah berkenaan berpeluang menaiki pentas bagi menerima anugerah kerana kecemerlangan dalam akademik.
Menurut Ahmad Khidir, dia amat bersyukur dengan penghargaan diterima daripada pihak sekolah dan mengakui bukan mudah untuk meraih kejayaan itu.
“Memang susah nak berada di tahap ini kerana pelajar Melayu di sekolah ini cuma 30 orang saja dan kami perlu bersaing dengan rakan lain.
“Tapi, saya bersyukur kerana mendapat 7A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek BM (A+) BI (A), Pendidikan Islam (A+) Sejarah (A-) Matematik (A-) Sains (A) dan Ekonomi (A), manakala B untuk Akaun serta Mandarin. Sasaran saya tentunya 9A+ dalam SPM nanti,” katanya.
Bercerita lanjut, Ahmad Khidir berkata, dia tidak mempunyai asas dalam bahasa Mandarin namun ibunya, Fudla Yusof, 55, bersungguh-sungguh apabila menghantarnya ke tadika dan sekolah aliran Cina kerana mahu kelainan berbanding adik-beradik lain.
‘Sapu’ Lima Anugerah Dalam Majlis Graduasi SMJK
“Saya anak bongsu daripada enam beradik dan satu-satunya yang dihantar ke sekolah aliran Cina.
“Susah awalnya sebab tak ada asas dan dulu malu nak bercakap dengan jiran dalam bahasa Mandarin, tapi lama-kelamaan bertambah yakin.
“Alhamdulillah, saya dapat nombor satu dalam kelas ketika tahun empat. Kemudian cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sampai dapat masuk sekolah sekarang yang tersenarai antara sekolah terkemuka dan pernah lima kali juga dapat tempat pertama dalam kelas sewaktu di tingkatan tiga, empat serta lima,” katanya.
Berkongsi tip pembelajarannya, Ahmad Khidir berkata, dia menyediakan jadual belajar dengan memperuntukkan mengulangkaji dua subjek dalam sehari.
“Tempoh ulangkaji bagi satu subjek adalah dua jam 30 minit dengan 15 minit waktu rehat bagi setiap sesi.
“Saya cuba fleksibelkan masa kerana tak nak tertekan dan ada juga belajar secara berkumpulan, yang mana saya ajar mereka (pelajar Cina) Bahasa Melayu dengan Sejarah.
“Manakala, rakan ajar saya bahasa Mandarin, jadi kami saling membantu dengan belajar serta bersaing secara sihat tanpa ada isu pun,” katanya yang turut aktif dalam kokurikulum dengan menyandang jawatan Naib Pengerusi Kadet Polis, Kelab Pencegahan Jenayah, Lembaga Pengawas dan kumpulan koir selain aktif olahraga.
Menurut Ahmad Khidir, kejayaan baru-baru ini bukan kerana usahanya saja, tetapi berkat sokongan keluarga khususnya ibu bapa, pentadbir sekolah, guru dan rakan yang banyak membantunya.
“Terima kasih kepada mama yang menjaga, papa (Ahmad Nazri Noordin, 55) yang tak jemu tanya khabar saya, adik-beradik kerana kuatkan semangat, juga rakan sebab sentiasa teman sewaktu belajar.
“Tak ketinggalan juga buat pengetua, penolong kanan, guru dan ustaz yang mendidik dari sekolah rendah, menengah selain netizen kerana bagi ucapan tahniah juga semangat selepas video dimuat naik kakak (Siti Fatimah Azzahra, 22) mendapat tontonan ramai di TikTok.
“Terharu rasanya kerana ramai yang mendoakan dan saya doakan juga kejayaan semua terutama calon SPM lain. Jangan putus asa, sentiasa mencuba, ingat mereka yang bagi sokongan dan terus kuat,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Trend Pelajar Sekolah & IPT Toreh Tangan Bila Stres, Masalah Kesihatan Mental Yang Serius
Konvokesyen ‘All Out’, Bajet Cecah RM3,000, Persiapan Mewah Pelajar IPT!