“Mahu Doa Dikurniakan Cahaya Mata.” Peluang Tak Datang Selalu, Mark Adam Sanggup Tolak ‘Job’ Demi Tunai Umrah.

Share

Setiap orang mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah. Demikian juga dengan penyanyi dan pelawak popular, Mark Adam. Impian tersebut sudah lama tersemat di lubuk sanubarinya.

Siapa sangka hasrat tersebut sudah tercapai bila mana Mark dan isterinya, Ezan dipanggil untuk menunaikan umrah. Lebih menggembirakan lagi bila dia bakal ke sana dengan dua sahabat baiknya, Shuib Sepah dan Siti Sarah, tidak lama lagi.
“Alhamdulillah… Saya terima panggilan untuk menunaikan umrah, sebulan lalu. Risau tidak dapat membuat persiapan dalam tempoh singkat, namun, isteri meyakinkan saya.
“Peluang begini tidak datang berkali-kali. Jadi, kami enggan melepaskannya. Biarpun terpaksa menolak beberapa tawaran atau ‘job’, rezeki datang mencurah-curah hingga pertengahan tahun depan,” katanya lagi.


Mark berkata, niat asalnya membawa ibu bapa mentua. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan fizikal yang tidak berdaya.
“Jadi, saya pergi dulu… Mungkin pada masa depan, saya boleh membawa mereka,” katanya.
Mark atau nama penuhnya, Fikri Mark Adam Abdullah berharap beroleh hidayah dan menjadi umat Islam yang lebih baik selepas menjejakkan kaki di Makkah.
Belum dikurniakan zuriat selepas 15 tahun berkahwin, Mark turut berniat berdoa dikurniakan cahaya mata apabila berada di Tanah Suci.


“Selain berdoa kepada Allah supaya menjadi lebih baik, saya meminta doa kepada semua yang berada di sekeliling.
“Saya dan Ezan berharap dikurniakan cahaya mata… Doakan supaya ibadat kami berjalan lancar,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online & IG markadam1079