Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, cuma kita tidak tahu bagaimana dan bila akan tiba ajal datang menjemput. Bila masa sudah tiba ada si anak ditinggalkan ibu atau ayah, anak meninggalkan ibu bapa, suami pergi dulu, tinggalkan isteri dengan anak-anak masih kecil dan sebagainya. Yang pasti, kematian memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Bagi Noor Nadia Kamaludin, pilu hati sebagai seorang isteri hanya Tuhan yang tahu. Suami tersayang, Mohd Fatah Hashim, 34 keluar bekerja beberapa jam dalam keadaan sihat dan tiada ada sebarang perubahan akhirnya ditemui dengan jasad yang kaku.
Sukar menerima hakikat tersebut namun Noor Nadia yang masih terkejut dengan kejadian tersebut bagaimana pun reda dan pasrah. Masih terngiang-ngiang suara arwah suaminya sebelum keluar bekerja.
Lebih memilukan sebelum itu, Noor Nadia atau mesra dipanggil Nadia bermimpi arwah suaminya meninggal dunia.
“Dua minggu sebelum kejadian, saya ada mimpi arwah meninggal dunia. tak tahu bagaimana dia meninggal tapi nampak dah meninggal. Saya ceritakan hal tu pada arwah, tetapi dia hanya senyum dan ketawa sahaja. Sehari sebelum tu, arwah sakit perut, jadi dia tak banyak cakap diam sahaja.
“Esoknya 9 hari kejadian arwah masuk shif pagi. Saya tak sangka benda tersebut jadi kenyataan. Tapi sebelum ke tempat operasi, arwah ada pulang ke rumah dan sempat jamah kuih yang saya buat. Sebelum ke tempat kerja, saya pelik bila arwah panggil lalu peluk dan cium anak-anak seolah-olah dah tahu dia nak ‘pergi’.
‘Sepatutnya waktu kerja arwah habis jam 8 malam tapi dia belum pulang pukul 8 lebih ada anggota bombda datang ke rumah dan sampaikan berita arwah lemas dan minta saya ke hospital untuk pengecaman jenazah,” ujar Nadia merupakan suri rumah tangga, yang mempunyai dua orang anak kecil berusia 3 tahun dan setahun lebih.
Arwah Mohd Fattah dan lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika terlibat dalam dalam operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana.
Menurut isteri Allahyarham, suaminya berkhidmat dalam Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) sejak tujuh tahun lalu. Mohd Fatah merupakan salah seorang daripada anggota PPDA BBP Pelabuhan Klang.
Selain Fattah, lima lagi anggota yang terkorban adalah Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 ; Mazlan Omar Baki, 25 dan Yahya Ali, 24 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang. Dua lagi anggota bomba yang meninggal dunia dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Usai proses post mortem, semua jenazah di bawa ke Balai Bomba Dan penyelamat Seksyen 15 untuk disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir. Suasana pilu menyelubungi perkarangan balai berkenaan dengan kehadiran saudara mara dan rakan-rakan mangsa.
Alfatihah buat keenam-enam wira penyelamat ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat olehNya.