Sekiranya anda dan pasangan sebelum ini hanya melakukan sekadar bersahaja
Hal ini dikongsikan oleh Encik Azlan melalui pengalamannya sendiri setelah konsisten mengamalkan ucapan terima kasih kepada pasangannya. Siapa sangka ucapan yang seringkas itu, akhirnya memberi impak luar biasa.
Nak tahu kisah lanjut, jom semak perkongsiannya itu.
Macam mana kita layan pasangan, macam tu lah mereka layan kita.
Pernah terfikir tak, kenapa pasangan kita tetap macam tu juga, walaupun dah cuba habis cara untuk ubah dia?
Ini pengalaman yang saya alami sendiri.
Ada sekali tu, saya terfikir untuk buat benda baru. Bukan tak pernah buat sebelum ni, cuma tak konsisten. Tak jadi habit.
Saya tanam azam dalam diri, setiap hari saya akan UCAP TERIMA KASIH kepada surihati. Kali ni memang target saya untuk jadikan berterima kasih ni satu habit.
Apa saya buat, setiap hari bila sampai di tempat kerja, saya hantar whatsapp kepada surihati. Saya selitkan sekali kalimah penghargaan tu,
“Papa dah sampai ni. Terima kasih sebab bagi bekal untuk papa.”
Saya ulang setiap hari tanpa gagal.
Alhamdulillah sekarang dah melekat. Asal sampai di ofis je, terus capai fon untuk info dan say thank you kepada surihati.
Dalam proses ni, ada dua benda yang saya belajar.
Pertama, saya jadi seorang yang sentiasa cari kebaikan yang pasangan saya buat. Sekecil kecil kebaikan dia, saya akan puji dan hargai. Saya alert bila nampak kebaikan yang dia buat. Terus masuk dalam kepala, benda ni yang aku akan terima kasih lepas ni.
Kedua, ini benda utama yang saya nak kongsikan dengan kalian bab nak ubah pasangan tadi.
Satu hari tu, saya perasan ada perubahan pada reply whatsapp yang saya terima.
“Tq kat papa juga sebab banyak tolong mama”
Kali ni surihati juga ucapkan terima kasih kepada saya. Bila baca tu, saya rasa wow. Satu perasaan gembira masuk dalam hati saya.
Rupanya inilah maksud “Change yourself, your world will change”
Benar sekali, keadaan sekeliling anda akan berubah dengan sendiri bila anda ubah diri anda dahulu. Bila saya mulakan berterima kasih kepada surihati, dia perasan apa yang saya buat, dia juga buat benda yang sama.
Suami-suami percayalah bila anda ucap terima kasih kepada pasangan,
1. Hati pasangan akan gembira
Siapa pun akan gembira bila diucapkan terima kasih. Terutama isteri. Lebih lagi kalau yang ucap tu suami. Berbunga-bunga je hati.
2. Tanda kita ni cakna atau alert dengan apa yang pasangan buat kepada kita
Isteri akan rasa kalian ambil berat tentang diri dia. Ambil tahu apa yang dia dah susah payah buat untuk suami dan anak-anak. Percayalah, isteri bangga dengan suami yang caring macam ni.
3. Kepuasan kepada pasangan walau penat
Tak kiralah isteri kita surirumah atau bekerja. Seharian bekerja, urus rumah, urus anak, urus suami. Kadang tu sampai urus diri sendiri pun tak sempat. Penat dia Tuhan je yang tahu. Bila dengar ucapan terima kasih, hilang semua oenat tu tadi.
4. Rasa dihargai
Paling senang nak hargai usaha isteri adalah dengan terima kasih. Mungkin kita nampak kecil usahanya. Tapi untuk jayakan, kita tak tahu banyak mana yang telah dikorbankan. Isteri akan rasa pengorbanan dia tak sia-sia.
5. Sebagai kata-kata semangat
Balik dari kerja, penat tak hilang lagi terus singsing lengan baju uruskan rumahtangga. Tengah lembik tu, ada orang ucap terima kasih, terus rasa full charge balik.
6. Kasih sayang wujud
Suami bila selalu hargai, ambil berat, gembirakan dan support satu sama lain, kasih sayang akan terbit dalam hati isteri.
Kini saya percaya, bila kita nakkan perubahan, kena mulakan dengan diri sendiri dulu. Tak boleh terus nak ubah orang lain.
Sebab bila ubah diri, kita akan improve diri. Orang sekeliling akan rasa perubahan itu dan secara ‘unconscious’ nya, timbul dorongan untuk berubah juga.
Sama juga dalam rumah tangga, diri kita adalah cermin kepada pasangan. Isteri akan tiru apa yang suami buat. Buat baik, baiklah pasangan. Buat jahat, jahatlah pasangan. Na’uzubillah.
Mulai hari ni, jangan tanya kenapa isteri tak boleh jadi pasangan terbaik. Sebaliknya tanya diri sendiri apa perubahan anda boleh buat untuk jadi suami terbaik kepada pasangan anda.
sumber : Azlan Noor