“Macam Adik Abang!” Anak Sulung Terima Ijazah, Rahmad Mega Buat Kejutan Atas Pentas

Share

Menjadi satu perkara yang membanggakan buat ibu ayah apabila melihat anak-anak mampu berjaya dalam pelajaran dan menggenggam segulung ijazah.

Baru-baru ini, anak penyanyi rock terkenal 90-an, Rahmad Tohak atau lebih dikenali sebagai Rahmad Mega, Suhazrin Amrin, berjaya bergelar graduan Sarjana Sains di sebuah universiti tempatan.

Perkara itu dikongsikan oleh Rahmad sendiri di laman Instagram miliknya dengan memuat naik beberapa foto mereka sekeluarga dan meluahkan rasa bangga apabila anak lelakinya itu berjaya menamatkan pengajiannya.

“Tahniah buat anakanda Suhazri Amrin kerana telah berjaya menyelesaikan master in science (sarjana sains) di UMP. Papa doakan semoga terus berjaya.” tulisnya di ruangan kapsyen.

Di samping itu, Rahmad juga sempat membuat kejutan dengan muncul di pentas dan menyanyikan lagu popular kumpulan Mega, Takdir dan Waktu sambil ditemani anaknya, sekali gus menarik perhatian ibu bapa yang hadir pada sesi pertama Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-17 itu.

Rahmad berkata, ibu bapa seharusnya memberikan sokongan atas minat anak masing-masing.

“Kita harus lihat kecenderungan dan potensi anak. Kalau boleh jangan sekat minat mereka,” katanya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata ucapkan tahniah pada mereka satu keluarga. Malah, ada yang berpendapat wajah Rahmad dan anaknya itu seakan adik dan abang.

Sumber : Hmetro