Tatkala kediamannya rosak teruk dilanda banjir, namun empunya diri masih tetap meneruskan komitmennya Dalam memenuhi undangan membuat persembahan Di Terengganu.
Demikianlah kuat dan tabahnya penyanyi Yantzen. Sanggup melupakan seketika masalah peribadi kerana tidak mahu menghampakan undangan sebuah syarikat.
Bahkan dia menganggap tawaran itu sebagai rezeki ketika diuji apabila kediaman di Batu 12, di sini, ditenggelami air, minggu lalu.
“Saya tak mahu hampakan, lagipun, minat menyanyi masih menebal. Saya terpaksa lupakan seketika masalah rumah rosak akibat banjir.
“Mujur ketika kejadian itu, saya sempat selamatkan beberapa helai persalinan ‘show’. Saya anggap ini (tawaran persembahan di Terengganu) sebagai rezeki.
“Tanpa diduga, syarikat terbabit turut melancarkan kutipan derma untuk mangsa banjir termasuk saya,” katanya ketika ditemui BH Online di kediamannya di sini, hari ini.
Yantzen yang mendiami rumah diberi nama The Legacy Villa sejak lima tahun lalu, bersyukur dikelilingi teman-teman ketika diri diuji.
“Saya tidak pernah rasa sebatang kara sejak hidup menduda kira-kira 17 tahun lalu. Rumah ini ada tiga bilik dan sebuah kamar dikhaskan untuk anak tunggal, Muhammad Aliff Ronan.
“Bagi saya, pemberian itu tetap bermakna dan nilainya lebih daripada itu,” katanya.
Mengimbau insiden rumah ditenggelami air, Yantzen berkata, beberapa teman datang menziarah pada malam kejadian dan akhirnya, mereka sama-sama terperangkap atas loteng rumah.
Walaupun kediamannya rosak teruk, namun Yantzen membuat keputusan untuk kekal tinggal di situ.