“Luluhnya Perasaan Kami Semua Anak ‘Pergi’ Sekali Gus.” Percutian Berakhir Tragedi, Bapa 3 Beradik Mati Lemas Kongsi Kisah Sedih.

Share

Tiada kata yang mampu diungkapkan buat keluarga ini bila anak yang disayangi hilang sekelip mata. Kepiluan dan luluh hati seorang ibu, sedih dan parah jiwa seorang bapa bila mana anak yang ditatang bagai minyak yang penuh kini sudah kembali kepada Sang Pencipta.

Hari ini sepatutnya ketiga-tiga beradik ini melangkah kaki ke sekolah, namun kini mereka sedang bergembira di ‘sana’.

Sumber: Facebook

Luahan si ayah tatkala mayat anak ditemui semalam begitu memilukan. Manakala si ibu yang tidak berdaya beberapa kali pengsan selepas melihat wajah anak mereka.

“Mereka sepatutnya ke sekolah esok tetapi ketiga-tiga anak kami telah ‘pergi’ sekelip mata”. Itu luahan Zawawi Abd Wahad, 42,  si ayah yang berdepan dengan insiden menyedihkan apabila ketiga-tiga anaknya Nurain Fatma Zawawi, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Sasabila, 6, ditemukan lemas pagi Isnin di Pantai Sura Tengah di sini.

Menurut Zawawi, kali terakhir dia menatap wajah anak-anak kesayangan itu adalah pada pagi Ahad selepas menghantar mereka mengambil buku teks di Sekolah Kebangsaan Perol, Kelantan.

Mereka sekeluarga baru sahaja pulang daripada bercuti di Hatyai, Thailand Sabtu lalu sebelum ketiga-tiga anaknya itu mengikut ibu saudara mereka, Suriani Abdullah, 41, serta beberapa anggota keluarga lain bercuti di Dungun.

Sumber: Facebook

Namun, dia kemudiannya menerima perkhabaran sedih itu menerusi panggilan telefon daripada anggota keluarganya pada kira-kira pukul 7 malam hari yang sama dan bergegas ke tempat kejadian bersama isterinya, Nur Syahida Abdullah, 36.

“Saya serta isteri tidak turut serta kerana kepenatan dan menguruskan beberapa urusan kerja serta persekolahan anak-anak memandangkan sesi persekolahan Pantai Timur bakal bermula esok. Semua kelengkapan persekolahan telah disiapkan.

“Tak dapat digambarkan betapa hancur dan luluhnya perasaan kami apabila semua anak ‘pergi’ sekali gus,” katanya dalam keadaan sugul.

Sumber: Facebook

Suasana sedih dan pilu itu bukan sahaja menyelubungi anggota keluarga tetapi juga pihak media yang turut sama berada di situ terutama apabila melihat ibu kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya dan terpaksa dipapah oleh keluarga.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6.40 petang Ahad, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Peringat, Kelantan dihanyutkan setelah dipukul ombak besar ketika bermain di pesisir pantai.

Sumber: Facebook

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata mayat Nurain Sofia ditemukan pada pukul 7.48 pagi lima kilometer dari lokasi kejadian manakala adiknya Nurain Sasabila dijumpai kira-kira pukul 9.40 pagi, satu kilometer dari tempat kejadian.

Mayat kakak mereka, Nurain Fatma dijumpai oleh orang awam terdampar di pesisir pantai pada kira-kira 11.03 pagi, lebih kurang lima kilometer dari lokasi kejadian.

Sumber: Facebook

Salam takziah buat Zawawi dan isterinya. Al-Fatihah buat ketiga-tiga kanak-kanak ini. Semoga ibu bapa arwah tabah menghadapi dugaan yang hebat ini.