Luluh Hati, Pusat Jagaan Diserang. 23 Kanak-Kanak Antara Terkorban

Share

Petang ini kita dikejutkan dengan perkhabaran sekurang-kurang 30 orang termasuk 23 kanak-kanak dilaporkan maut dalam serangan berdarah di sebuah pusat jagaan di Thailand pada Khamis, 6 Oktober 2022.

Penyerang yang merupakan Seorang bekas pegawai polis bersenjatakan senapang patah, pistol dan pisau, melepaskan tembakan ke arah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lam Phu pada kira-kira 12:30 tengah hari sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan, sebelum membunuh dirinya dan keluarganya, kata polis.

“Angka kematian akibat insiden tembakan… sekurang-kurangnya 30 orang,” kata Anucha Burapachaisri, jurucakap pejabat perdana menteri Thailand.

Kolonel polis Jakkapat Vijitraithaya, dari wilayah di mana serangan itu berlaku, mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai Panya Khamrab, seorang leftenan kolonel polis yang menurutnya telah dipecat daripada pasukan tahun lalu kerana menggunakan dadah.

Jakkapat berkata terdapat 23 kanak-kanak maut, berumur dua hingga tiga tahun.

Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku kurang sebulan selepas seorang pegawai tentera yang sedang berkhidmat menembak mati dua rakan sekerja di pangkalan latihan tentera di ibu negara Bangkok.

Walaupun Thailand mempunyai kadar pemilikan senjata yang tinggi, penembakan besar-besaran amat jarang berlaku.

Tetapi pada tahun lalu, terdapat sekurang-kurangnya dua kes tembakan membabitkan tentera, menurut Bangkok Post.

Pada 2020, dalam salah satu insiden terburuk pernah dicatatkan, seorang askar menembak mati 29 orang dalam kejadian amuk 17 jam dan mencederakan lebih banyak lagi sebelum dia ditembak mati oleh komando.

Tembakan beramai-ramai itu dikaitkan dengan pertikaian hutang antara lelaki bersenjata Sarjan-Mejar Jakrapanth Thomma dan seorang pegawai kanan tentera.

Sumber : Hmetro