Semua ibu bapa inginkan anak yang pandai. Tetapi adakah kita meluangkan masa untuk mengajar anak-anak di rumah sebagai pelengkap setelah guru di sekolah.
Perkongsian guru matematik ini, Mohd Fadli Salleh menjelaskan ibu bapa supaya luangkan masa untuk anak.
Ikuti perkongsianya.
Teringat beberapa tahun sudah aku masuk kelas tahun 1. Aku bimbit soalan peperiksaan baru-baru ini masuk kelas. Masih ada beberapa kertas yang belum siap ditanda.
Setiap kertas yang aku tanda, aku panggil pemilik kertas itu untuk berada disebelah. Aku tunjuk satu persatu soalan yang mereka buat salah. Kebanyakannya sebab mereka cuai dan nak siap cepat.
Sampai giliran seorang murid perempuan ni, aku perasan dia buat banyak sangat kesalahan yang senang-senang. Sampai nak eja nombor 5 dalam perkataan pun dia tulis mengarut.
“Awak tak pandai membaca ke?” Soalku lembut.
“Tak pandai, cikgu.”
“Awak ada berapa adik beradik? Belajar la dengan kakak atau abang. Tak pun suruh mak ajarkan.”
“Saya seorang je cikgu. Tiada abang dan kakak. Adik pun tak ada. Mak asyik tengok henpon je. Tak ajar pun,” jujur balas murid tahun 1 ini.
Aku terkedu mendengar jawapan itu. Kelu.
Aku pandang wajah murid ini dalam-dalam. Cantik budaknya. Budak ini senang diajar. Cepat dapat. Bukannya murid bermasalah pelajaran.
Budak-budak sebesar ini, senang diajar sebenarnya. Tambah-tambah jika diajar ‘one-to-one’. Macam tuisyen individu. Kat kelas, murid ramai, mana sempat cikgu nak bagi tumpuan satu demi satu.
IBU BAPA LUANGKAN 10-15 MINIT
Jadi aku menyeru kepada semua ibubapa, luangkan sekejap masa bersama anak. Beli buku latihan. Setiap malam ajar mereka.
Tak perlu lama. Tak perlu banyak. Cukup ajar satu atau dua muka surat sahaja. Ajar dan ulang sampai mereka faham.
Satu dua muka surat ini tuan puan, hanya makan masa 10-15 minit. Bukan lama pun.
Apa mahal sangat masa kalian hingga tak mampu luang 10-15 minit untuk anak-anak sendiri?
Sedang mampu membalas diskusi merepek kat group wasap berjam-jam tanpa henti. Sedang ralit membelek insta artis dari petang sampai ke malam.
Tapi kenapa mahal benar masa 10-15 minit untuk anak kita sendiri? Untuk zuriat yang bakal mendoakan kita saat kita pergi nanti.
Ingatlah, ibubapa itu merupakan GURU PERTAMA setiap kanak-kanak.
– Teringat di suatu ketika –
.