Luahan Pilu Dari Suami Ni Bila Menguruskan Jenazah Isterinya, Buat Semua Rasa Hiba!

Share

Benar setiap yang bernyawa itu pasti mati.  Ajal maut itu rahsia  tuhan.  Namun bukan perkara mudah untuk seseorang hadapi jika insan yang pergi adalah orang yang paling rapat.  Apatah lagi jika dia adalah pasangan hidup kita.

Melalui pengalaman getir ini,  telah dikongsikan oleh Encik Khairul Abdullah di akaun fbnya setelah isterinya dijemput Ilahi pada  Ogos yang lalu.


Saya selalu membayangkan yang abah atau emak yang akan pergi dahulu. Lazimnya begitulah kerana faktor usia mereka yang semakin tua.

Jadi saya cuba bersedia dari segi emosi dan fizikal jika perkara itu terjadi. Saya sudah ada skrip tentang bagaimana ianya berlaku dan apa yang harus saya lakukan.

Namun, pemergian seorang isteri adalah perkara terakhir yang saya jangkakan. Tidak pernah membayangkan yang dia akan pergi secepat itu.

Demi Allah saya tidak bersedia.

Namun itulah hakikat yang saya dan anak-anak perlu terima. Setiap yang hidup pasti akan mati. Kami akur kami redha.

Sepanjang hidup saya, sudah ramai saudara mara dan sahabat handai yang telah pergi dahulu. Ramai juga yang telah saya bantu sempurnakan jenazah mereka hingga ke kuburan.

Sudah agak biasa bagi saya memandikan jenazah dan masuk ke liang lahad. Saya cuba menabur bakti buat kali terakhir untuk semua yang saya kenali dan sayangi.

Namun menguruskan arwah isteri adalah sesuatu yang diluar jangka.

Di dalam keadaan yang masih terkejut dan sangat berduka, saya mencuba yang sebaiknya. Memandikan jenazah isteri adalah suatu pengalaman yang sebolehnya tidak ingin sama sekali untuk saya lalui.

Pahit dan luluh melihat sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa yang pernah meneman siang dan malam saya selama belasan tahun.

Pilu ketika menggosok dan membersihkan tangan kaku yang pernah menyuapkan makan ke mulut ini, yang menggosok baju yang dipakai ini yang berpenat lelah menguruskan tiga anak kecil ini.

Pilu ketika membersihkan bibir yang pernah mengungkapkan kalimah cinta, yang pernah berjanji untuk bersama hingga ke akhir usia, yang pernah berpesan untuk menjaga amanahnya bila dia tiada.

Allahuakbar, hanya tuhan yang tahu betapa ingin saya memeluknya ketika itu dan menangis sepuasnya.

Namun saya tahan, saya gagahkan diri meneruskan hingga ke akhirnya.

Ketika selesai dikafankan, anak-anak saya di bawa masuk.

Saya kaget, gementar, berombak dada, tersekat nafas dan hampir longlai rasanya. Apakah yang harus dikhabarkan kepada si kecil bertiga bila melihat ibunya.

Khaleef tiada reaksi ketika saya menceritakan yang ibunya telah tiada. Sesungguhnya dia belum mengerti ketika itu.

Beliau hanya mencium dahi ibunya bila disuruh dan mengucapkan selamat tinggal.

“Goodbye mommy, I love you” ungkapnya apabila disuruh.

Begitu juga Khaleel, yang agak keberatan melihat dan mencium ibunya dan berat untuk mengungkapkan sebarang kata.

Ketika baby Khaleed diberikan kepada saya, kepiluan mula melanda. Namun saya cuba mengungkap kata. Cuba untuk memberitahu yang ibunya kini sudah tiada.

Namun, saya rebah.

Baby Khaleed segera disambar dari pelukan saya.

Allahuakbar, saya tidak kuat. Sesungguhnya saya tidak kuat untuk melihat bayi sekecil itu yang harus berpisah dari kasih sayang seorang ibu.

Kelam rasanya dunia.Kosong rasanya jiwa.

#diariseorangsuperdaddy

sumber : Khairul Abdullah