Lontong antara juadah Hari Raya yang cukup popular bagi orang-orang Selatan tanah air. Tanpa menu ini, raya ibarat tanpa serinya. Inilah yang sentiasa di cari di meja hidangan.
Kini tidak hanya orang-orang Selatan, menu popular ini semakin berani dicuba oleh masyarakat di negeri-negeri lain khusus untuk menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah.
Namun menyediakan Lontong haruslah kena ada caranya kerana tersalah langkah, Lontong cepat basi dan tidak tahan hingga ke petang hari. Kuahnya yang bersantan memang cukup sensitif dan mudah basi jika tidak dimasak dengan betul.
Perkongsian seorang chef yang menyediakan juadah Lontong bersama Kuah Lodeh ini patut kita cuba. Ikuti petua dan langkah yang diberikan ini.
1. Masak Waktu Pagi
Menurut chef, jangan sesekali masak kuah lodeh di malam hari sebaliknya masaklah ketika waktu subuh atau waktu pagi raya. Cara menyediakan mudah sahaja dan tidak memerlukan masa yang lama. Apa yang anda perlu lakukan adalah memotong kesemua sayuran di waktu malam hari. Ini membantu lebih cepat proses memasak pada keesokkan harinya.
2. Didih Sayur Sahaja
Bagi memastikan kuah lodeh mampu bertahan lama, apa yang anda boleh lakukan adalah hanya mendidihkan air dengan bahan kisaran seperti bawang, cili padi, kunyit hidup, udang kering dan bahan-bahan lain sahaja tanpa santan. Buat stok ini, didih dan perasakan secukupnya.
3. Biarkan Reneh Lama
Ketika mendidihkan kuahnya, biarkan ia direneh sedikit lama sebelum dimasukkan kesemua sayuran lain. Ini bagi memastikan bahan kisaran dimasak dengan tepat. Kemudian barulah dimasukkan kesemua bahan-bahan lain seperti tempe, kacang panjang, kentang, lobak merah, tauhu, terung, tauhu kering, kobis dan sebagainya mengikut citarasa anda.
4. Asingkan Santan
Sebaik tetamu datang, didihkan semula bahan stok kisar bersama sedikit santan yang sudah diasingkan dalam periuk berasingan. Masak semula kesemua bahan ini mengikut jumlah tetamu yang datang. Perasakan secukupnya dan bolehlah dihidangkan. Cara ini bukan sahaja tidak cepat basi tetapi lebih segar rasanya untuk dihidangkan kepada tetamu.
5. Sambal & Kuah Kacang
Sambal dan kuah kacang bolehlah dimasak pada malam raya kerana ia tidak menggunakan santan dan tidak cepat basi. Namun bolehlah menumis sambal lebih lama supaya cili lebih enak dan tahan lama. Pastikan sambal dan kuah kacang cukup lengkap rasanya.
Selamat mencuba!