Lobak merah, sayuran rangup dengan warna oren ini sering digunakan sebagai bahan dalam coleslaws, salad dan wrap. Nama saintifik bagi lobak merah ialah Daucus carota. Sayuran daripada keluarga ubi ini bukan sahaja bagus untuk mata tetapi juga untuk gigi.
Lobak merah juga boleh digunakan dalam pembuatan pastri seperti kek dan mufin. Malahan ia juga boleh dijadikan sebagai jus yang berkhasiat.
Menurut U.S. Department of Agriculture (USDA), secawan lobak yang dipotong, seberat 128 gram (g), memberikan:
Kalori – 52
Karbohidrat – 12.26 g
Gula – 3 g
Protein – 1.19 g
Lemak – 0.31 g
Serat – 3.6 g
Vitamin A – 1,069 mcg (mikrogram)
Vitamin C- 7.6
Kalsium – 42 mg (miligram)
Zat besi – 0.38 mg
Magnesium – 15 mg
Fosforus – 45 mg
Kalium – 410 mg
Sodium – 88 mg
Zink – 0.31 mg
Folat – 24 mcg
Vitamin K – 16.9 mcg
Secawan lobak merah sudah dapat membekalkan lebih 100 peratus purata keperluan harian vitamin A individu lelaki dan wanita yang disyorkan elaun harian (RDA). Sayuran ini juga mengandungi pelbagai jenis vitamin B.
Kebaikan lobak merah
Jadi anda sudah mengetahui kelebihan nutrisi yang terkandung di dalam sayuran ini, apa kata kita lihat pula manfaatnya untuk kesihatan badan secara keseluruhan, okay? Berikut adalah beberapa kebaikan lobak merah yang mungkin akan menarik minat anda untuk mengambilnya dalam diet pemakanan harian anda.
Penjagaan mata
Seperti yang semua sedia maklum, carrot sememangnya bagus untuk mata. Kandungan vitamin A dan B membantu mengekalkan tahap penglihatan mata pada tahap yang baik. Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan anda mengalami rabun malam. Beta-karotena pula dapat melindungi mata daripada masalah degenerasi makular dan perkembangan katarak.
Kecantikan kulit
Nak kulit cantik? Makanlah lobak merah. Ini kerana sayuran ini dapat membantu melindungi kulit daripada sinaran matahari, terima kasih kepada vitamin A dan antioksidan. Ia juga membantu mencegah pertumbuhan jerawat, kulit kering, kedutan awal dan menjadikan kulit anda lebih cerah serta sihat.
Cegah kanser
Kandungan diet karotenoid membuktikan lobak mempunyai kesan antikanser. Ini kerana kandungan antioksidan dapat membantu mengurangkan radikal bebas dalam badan. Terdapat kajian yang mencadangkan kemungkinan wujud kaitan antara diet tinggi karotenoid dengan risiko kanser prostat yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, masih banyak bukti yang diperlukan untuk mengesahkan mengenai perkara ini.
Kuruskan badan
Tengah mencari jalan untuk mengurangkan berat badan? Pilihlah lobak merah. Ia dapat membantu mengurangkan berat kerana kandungan enzim yang dapat melancarkan pencernaan dan menghalang pengumpulan lemak dalam badan. Manakala kandungan serat di dalamnya akan membuatkan anda berasa kenyang untuk tempoh lebih lama.
Cegah kerosakan gigi
Mengamalkan pengambilan lobak dapat membantu dalam aspek penjagaan gigi. Ini kerana Daucus carota mempunyai peranan sebagai penghakis semula jadi yang boleh menyingkirkan kotoran yang terlekat pada gigi dan gusi. Malahan kandungan mineral di dalamnya dapat membantu membunuh kuman di dalam mulut.
Sumber: Hello Doktor
Kredit foto (top image): Freepik