Dalam Negara

Lima Beranak Rentung Dalam Kebakaran di Jasin, 4 Kanak-Kanak Terkorban!

Share

Lima beranak termasuk empat kanak-kanak rentung selepas kediaman mereka di Jalan Bakti, Kampung Berangan 6, Umbai di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Sufian Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 1.40 pagi daripada orang awam.

Beliau berkata, dua jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi bagi operasi pemadaman dan tiba jam 1.51 pagi.

“Setibanya di lokasi didapati benar terdapat kebakaran membabitkan rumah separuh kekal berkeluasan 20 x 60 kaki persegi terbakar 80 peratus.

“Terdapat seorang wanita dewasa bersama empat kanak-kanak perempuan ditemui rentung dan seorang lelaki ditemui masih bernafas.

“Kerja pemadaman masih dijalankan dan operasi terkawal,” katanya.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

— BERNAMA