Lima Anak, Lima Pengalaman Berbeza, Datin Rita Sosilawati Kongsi Tip Banyakkan Susu Badan!

Share

Usahawan berjaya, Datin Rita Sosilawati yang secara tiba-tiba tular mengenai stok perahan susu yang dihasilkan rupanya pernah melalui tempoh-tempoh yang sukar sewaktu menyusukan kelima-lima anaknya.

Menerusi perkongsian videonya bersama Pa&Ma, akuinya kelima-lima anaknya berbeza-beza pengalaman menjadikan kelahiran anak kelimanya kali ini membuatkan dia begitu bersedia untuk menyusu.

“Kalau diimbas kembali pengalaman menyusukan anak pertama memang berbeza sebab saya tak ada pengalaman dan saya tak ada ibu waktu itu untuk ajar saya menyusu dengan baik. Ibu mentua pun tak berapa pandai ajar buat stok.

“Anak pertama saya hanya sempat menyusu enam bulan saja sebab saya tak ada pengalaman, anak kedua saya buat stok lapan bulan, anak ketiga setahun setengah dan anak keempat cukup-cukup dua tahun menyusu.

“Banyak saya belajar sendiri melalui pengalaman dan alhamdulillah anak kelima ini belum sempat lagi empat bulan, saya rasa dah cukup stok setahun untuk dia,” luahnya bersyukur.

Malah paling tidak disangka-sangka, anak kelima ini dianugerahkan rezeki yang cukup meriah sehingga dapat berkongsi rezeki dengan anak susuannya.

“Saya sebenarnya tak pernah tahu pun wujudnya mengenai ikon penyusuan. Saya sekadar berkongsi di media sosial hanya untuk nak kongsi pengalaman dan kebetulan masa itu anak susuan saya nak susu, jadi saya rekodlah.

“Tak sangka pula tiba-tiba viral sebab ini anak saya yang kelima,” luahnya lagi.

Makan apa sahaja dan minum milo waktu pantang
Berkongsi tip dan amalannya ketika menyusu, akui Datin Rita lagi, ia bukan satu hal yang mudah. Perlukan pengorbanan yang cukup besar dan masa dari ibu, lebih-lebih lagi ibu bekerjaya.

“Nak buat susu bukan senang, lagi-lagi nak buat stok memang susah. Saya dulu pernah stress, sampai tak keluar susu sebab tak ada pengalaman.

“Tapi sekarang anak lima saya dah tahu dah, bukak je mata lepas bersalin saya dah mintak pam untuk pam sebab saya kena ada demand.

“Kena selalu pam dan saya buat bermula pukul 3, 6, 9 dan pukul 12. Saya sambung lagi pukul 3 petang, 6, 9 dan 12 pagi. Macam mana sibuk pun kena create demand. Susu bercelaru sebab waktu tak tepat.

“Kena selalu dalam mood yang baik. Saya akan pastikan saya tak stress waktu nak pam susu. Cara saya, saya akan tengok K drama, yang kelakar atau layan sosial media. Saya tak akan buat kerja saya tapi saya buat aktiviti santai macam ni.

“Saya tak ada pantang larang pun dalam pantang. Kalau dulu saya makan clear sup sahaja tapi kali ini saya makan apa sahaja, sambal udang petai atau masak lemak cili padi, semua saya makan. Saya cuma pantang dua minggu awal sahaja masa pantang dan elak makanan gatal.

“Saya nampak perbezaan ini dan nampak proses susu ini sangat-sangat banyak bila saya makan apa saja. Saya dah boleh hasilkan 8 hingga 10 auns waktu pantang.

“Saya pun banyak berbincang dengan confinement lady, saya plan untuk makan apa sahaja dan tanya dia apa saya boleh makan dan hasilnya alhamdulillah. Jangan pilih-pilih asalkan tak gatal.

“Kalau saya makan nasi banyak, lagi banyak susu yang saya hasilkan. Lagi satu yang saya perasan saya suka minum milo waktu pantang dan susu memang banyak. Air paling penting, jangan pantang minum air kosong,” katanya lagi berkongsi tip.

Menarik: Nak OOTD Sama Anak Jangan Sampai Tak Selesa, Ayda Jebat Kongsi Tip Mudah Bawa Anak Bercuti Ke Luar Negara!

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club