Siapa tak rimas, jika terpaksa berlari berjam-jam dengan memakai pakaian yang kurang sesuai dengan aktiviti yang disertai. Namun pemuda ini berjaya melakukannya.
Berbekalkan azam, semangat dan tekad yang kuat, Mohd Syahidan Alias yang merupakan pelari maraton negara melakar sejarah apabila muncul sebagai pelari terpantas dalam Guinness World Records (GWR) bagi kategori pakaian tradisional lelaki pada acara TCS London Marathon 2023 yang berlangsung pada Ahad lepas.
Lebih dikenali sebagai Edan Syah, pemuda ini berjaya mencatat masa dua jam 49 minit 22 saat dalam larian maraton sejauh 42 kilometer itu dengan berbaju Melayu lengkap beserta sampin dan songkok.
Seakan membawa semangat berhari raya yang kini sedang diraikan di seluruh dunia, pemuda ini sungguh teruja apabila misinya itu telah meraih kejayaan.
“Misi berjaya. Kami berjaya capai misi untuk catatan masa bawah tiga jam untuk menjadi pemegang rekod dunia Guinness sebagai pelari maraton paling laju (42.2 km) dalam pakaian tradisional melayu (lelaki).”
Sebelum ini , Edan Syah pernah mengharumkan nama Malaysia apabila mencatatkan rekod dunia ketika Festival Larian Blackmores di Sydney, Australia sebagai pelari maraton paling laju dalam kostum bendera negara dengan catatan masa dua jam 54 minit pada tahun 2019.
“Kami sudah melakukan yang terbaik untuk menjadikan baju melayu kembali hebat pada 2023 TCS @londonmarathon pada Hari Raya Aidilfitri! Terima kasih semua atas doa dan sokongan anda dalam perjalanan,” katanya.
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club