Ya! Esok 23 November adalah hari yang cukup mendebarkan buat anak-anak yang telah mengambil keputusan UPSR pada tahun ini. Ibu bapa juga terkesan hebat terganggu emosinya. Bimbang hingga tidak tidur lena dibuatnya malah ada juga hingga detik ini kian berasa gugup dan gementar untuk menanti apakah keputusan UPSR yang bakal diraih oleh anak mereka.
Oleh itu ikuti perkongsian pengalaman Encik Ammar Kamilin yang juga merupakan seorang penulis buku yang hebat. Beliau melalui detik tersebut pada tahun yang lalu dan perkongsiannya kali ini cukup menyentuh jiwa dan diharapkan membuka minda kita semua.
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan,
“Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa.
Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.”
Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut.
“Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri.
Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ads
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Ads
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
Ads
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
>>>
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
sumber : Ammar Kamilin
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Di dalam sesebuah rumah tangga, kena saling bertoleransi, saling membantu dan memahami antara satu sama lain. Jika suami keluar bekerja, isteri pula menguruskan hal rumah tangga andai tidak bekerja.
Dalam masa yang sama, suami jangan culas dalam bab pemberian nafkah kepada isteri. Namun, kena faham konsep nafkah dengan duit belanja tak sama ya.
Jadi para suami kena tahu bahagian mana nafkah khas untuk isteri dan perbelanjaan rumahtangga. Suami kena tahu walaupun isteri tidak meminta, namun tetap kena hulur setiap bulan. Ini yang dikongsikan oleh saudara Firdaus Shakirin menerusi laman facebooknya.
Nafkah dengan duit belanja tak sama…
Nafkah yang perlu di sediakan suami ialah tempat tinggal, makan minum, pakaian, perubatan…ini yang wajib… Dan duit belanja plak, atas kemampuan suami untuk bagi…
Yang menjadi masalahnya disini, yang menyebabkan kita keliru ialah, pada perspektif si suami, dia bagi 300, setel, selesai tanggungjawab dia…tapi 300 tu la si isteri guna beli brg dapur, guna bayar bil, buh minyak kereta, bagi duit belanja anak skolah…cukup ke tidak? Tak cukup, jadi banyak isteri yanag mempertikaikan nilai nyg diberi tu…bila dipertikaikan, suami suruh untuk bersyukur, sebab dia BAGI JUGAK…
Bukan macam tu bang…tanggungjawab abang bukan terletak pada nilai 300 tu, tapi pada persediaan yang berbentuk tempat tinggal iaitu ansuran rumah, suami bayar….makan minum iaitu barang dapur kering dan basah, suami bayar…pakaian iaitu baju, tudung, seluar isteri dan anak2, suami bayar…dan perubatan iaitu apa saja kos ubat2an, pun suami bayar…ini nafkah…hukumnya wajib…
Pada perspektif si isteri plak, bila suami dah sediakan serba serbi, dah bayar hutang rumah, hutang kereta, bil2 utility, dah penuhkan dapur dengan barang2 kering, barang2 basah, dah beli pakaian untuk dia dan anak2, bayar medical card bulan2, tapi dia STILL NAK duit belanja…duit belanja ni bukan wajib ya, ianya atas kemampuan suami untuk bagi…benda2 wajib smua dia dah bagi dah…
Kenapa perlu DUIT BELANJA? untuk beli keperluan diri yang suami tak beli…benda yang isteri nak, teringin…
Sebab tu ingin saya nasihatkan, walaupun awak bekerja, berniaga, ada duit sendiri, sentiasa hidup dengan KEMAMPUAN SUAMI…bukan kemampuan AWAK…
Bersyukurlah walaupun suami tak mampu bagi duit belanja, tapi dia dah usaha sediakan serba serbi yang lain dengan cukup sempurna…hidup ikut GAJI SUAMI…
Nota kaki : Sekecil2 perkara pun kita boleh pertikaikan, namun fikirlah, hidup yg kita keluhkan ini ialah hidup yang orang lain mahukan…
Fungsi dan tugas seorang guru bukan sekadar memberi ilmu, malah moral & sivik juga perlu dititikberatkan pada anak-anak.
Perkongsian daripada seorang guru berkenaan murid istimewa nya ini meraih perhatian ramai.
Bahkan cara cikgu Mohd Fadli Salleh mendidik pelajar lain dalam menyantuni murid istimewa tersebut membuatkan ramai sebak dan terharu.
“Aku namakan anak comel ini Seri, bukan nama sebenar. Seri ni murid tahun 1.
“Hari pertama persekolahan, Seri sangat pendiam. Orang lain dah bergerak masuk kelas, Seri masih duduk di situ. Sendirian.
“Seolahnya langsung tak faham arahan. Tapi dia tak menangis. Cuma menunduk tak nak pandang wajah dan mata guru.
Hari pertama persekolahan. Duduk dan enggan ke mana-mana. Tapi dia tak menangis. PK Petang kami, En Radzi yang pujuk dia.
Pendengaran dan pertuturan bermasalah
Puas la cikgu-cikgu memujuk. Termasuk PK Petang sekali. Kena pimpin baru dia nak bangun dan berjalan masuk kelas.
Setiap hari memang akan ada guru yang pimpin masuk kelas. Kalau tak, dia akan duduk tanpa bergerak kat dewan.
Masa dia berjalan, kami guru-guru perasan, sebelah kakinya tempang. Selepas dirisik, rupanya Seri anak istimewa. Pendengaran dia pun ada masalah, pertuturan juga.
Dalam kelas, Seri hanya menyendiri. Tidak bergaul sesiapa dan tiada siapa nak mendekatinya.
Layan dan berkawan dengan murid istimewa
Suatu hari aku masuk kelas Seri dan aku kena betulkan keadaan ini. Maka aku bercakap pada semua murid dalam kelas Seri,
“Dalam kelas kita, ada seorang murid istimewa tau. Murid istimewa ni biasanya tempat mereka di syurga akhirat kelak.
Hari kedua bersekolah. Beginilah Seri sewaktu berkumpul di dewan. Hanya menunduk memandang lantai. Kawan-kawan tak pandai nak menyantuni dia lagi masa ni.
Kena layan dan berkawan dengan murid istimewa ni. Kena bantu dia, kena tolong dia. Jangan pulaukan, jangan pula menganjing dan memalukan dia.
Awak tahu kan siapa?”
Semua murid menunjuk pada Seri. Tanpa aku suruh, dua tiga kawan berdekatan dia bangun dan terus menuju kat Seri.
“Awak. Nanti kita rehat sama-sama ya”.
“Awak nak pergi tandas cakap kat saya ya, saya teman”.
“Awak nak pensel tak? Kita ada pensel lebih”.
Hidupkan api kasih sayang
Serius masa tu bergenang kolam airmata aku. Betapa murni dan sucinya jiwa anak-anak ini. Kita cuma perlu beri sedikit ‘spark’ untuk menghidupkan api kasih sayang dan keprihatinan dalam jiwa mereka.
Selepas hari itu, setiap hari akan ada kawan-kawan dia pimpin Seri masuk kelas. Teman Seri ke tandas, rehat bersama, buat kerja sama-sama.
Inilah dia ilmu yang tidak tertulis dalam buku teks. Ia dipelajari melalui universiti kehidupan.
Seri, sendirian di kelas tanpa kawan awalnya. Kadang-kadang dia tidur dalam kelas. Aku tak pernah kejut murid kalau mereka tidur. Biarlah mereka rehat. Kita tak tahu apa yang mereka lalui di rumah. 😊
Setinggi mana lulusan, itu cuma sekeping kertas sahaja. Hasil sebenar sesuatu pembelajaran yang berjaya ialah melalui sikap dan tindak tanduk.
Santun dan beradab
Aku sentiasa menitik berat hasil dan sikap dalam mendidik anak-anak.
Biarlah ada yang kurang pandai dalam pelajaran, namun akhlak dan sikap biar santun dan beradab. Biar ada sifat keinsanan dan cakna pada orang keliling.
Alhamdulillah, anak-anak ini mudah mengikut kata. Mudah dilentur dan dididik.
Seri dalam proses perpindahan ke sekolah pendidikan khas. Kelas yang lebih sesuai untuk dia. Namun pertukaran memakan masa juga.
Ni minggu lepas. Masa ni aku bawa murid kelas ni ke surau untuk solat. Waktu nak pulang ke kelas, aku perhati je kawan-kawan Seri bantu Seri pakai kasut. Padahal aku tak suruh pun. Alhamdulillah, didikan aku berjaya. Seronok dan bahagia aku lihat situasi ini.
Sementara itu dia akan di sekolah kami, di kelas aliran perdana bersama kawan-kawan yang lain.
Dan kini aku tidak lagi risau tentang dia. Kerana kawan-kawan dia dah ada untuk menjaga dia dan mengasihinya.
Tekad berpisah dengan anak sulung bagi memasuki asrama penuh sebenarnya bukan mudah untuk dilakukan oleh semua ibu. Apa lagi anak sulung yang diasuh dan dijaga segak kecil lagi. Tidak pernah berenggang jauh sekali untuk berpisah lama. Sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata.
Namun inilah yang harus dilakukan oleh ibu-ibu untuk menjadi lebih kuat, demi memberikan ilmu berguna buat anak-anak. Pengorbanan memberi ilmu Allah adalah satu tanggungjawab besar.
Inilah yang dilakukan oleh Herda Johan dan suaminya. Tulisannya di facebook miliknya sedikit meruntun hati kita. Namun ia satu pengorbanan dan tindakan yang harus diberikan pujian. Kerana itulah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa.
“Coretan ini nampak kasar seakan akak memaksa Aiman untuk membentuk hidupnya. Tapi disebaliknya tidak. Dia baru saja beberapa hari menempuh hari barunya di asrama. Berjaya atau tidak dia di asrama akak serahkan pada Allah. Akak tak kata dia WAJIB duduk di asrama dan belajar agama. Mungkin tahannya cuma 2
minggu, sebulan.
Jika dia tidak tahan, akak tidak memaksa pun. Tujuan utama akak mahu membimbing dia ke arah agama saja. Itu saja. Dia sendiri memilih untuk ke asrama pada mulanya. Tapi jika dia tidak mahu selepas ini dan memilih mahu belajar seperti sebelum ni, akak terima saja.
“Jangan nangis! Belajar agama takleh nangis!” Sengaja akak mengeraskan suara. Bukan niat akak. Tapi itu saja yang mampu akak luahkan ketika itu.
Dia anak sulong. Dia abang kepada 4 orang adik dan bakal menjaga 5 adik selepas ini. Dia lelaki! Dia bakal suami! Dia bakal ayah! Dia bakal imam dan ketua keluarga!
Akak hanya peluk sekejap. Cium sekejap. Akak terus lepaskan. Malah ketika dia menangis teresak-esak, akak biarkan saja dia melayan perasaannya sambil
mulut akak masih mengomel.
“Abang belajar agama tak boleh menangis. Abang kena kuat! Dah jangan nangis!”
Air mata akak mengalir. Akak cuba tahan. Tapi masih juga mengalir. Suami akak juga kalah. Air mata seorang ayah untuk anak lelaki sulungnya akhirnya jatuh juga.
Tapi sebenarnya jauh di sudut hati, akak tahu Aiman terasa. Sudah banyak kali dia berkecil hati dengan cara akak. (Maafkan mama. Itu tugas mama.)
Kalau boleh, Akak tak mahu lepaskan dia seorang diri. Mahu sentiasa berada di sisi dia. Mahu lihat setiap pergerakannya. Tapi akak terpaksa lepaskan dia buat sendiri di usianya masih muda.
Sebagai ibu, akak kena bersedia. Saat dia lahir (begitu juga dengan adik-adiknya), tiba masa pengorbanan ini yang perlu akak buat. Sejak dia berumur 9 tahun, Akak sudah memaksa dia ke sekolah agama. Dari 7 pagi hingga ke 5 petang dia di sekolah.
Memikul beg yang penuh dengan buku akademik dan agama. Mana nak menjawab soalan matematik. Nak memahami subjek bahasa arab pula. Terbongkok-bongkok dia berjalan. Pada mulanya dia mengeluh. Penat!
Akak buat tak peduli. Akak kata, murid lain macam tu juga. (Tapi hakikatnya akak tak sampai hati melihat dia kepenatan begitu).
“Ustazah, kalau dia nakal tak mahu dengar kata. Rotan dia”. Itulah pesanan akak pada ustazah yang mengajarnya dulu.
Sampai di rumah, dia keletihan. Sehinggalah umurnya 12 tahun dan habis sekolah. Khatam Al-Quran. Beberapa surah utama telah di hafal. Tajwidnya juga lulus. Solatnya juga terjaga. Akak lega. (Terima kasih atas budi dan ajaran ustazah dan ustaz Seri Ad-Dinniah, Sg. Bakap)
Menuntut Ilmu Allah
Kini, akak perlu teruskan. Melepaskan dia berjauhan dari akak demi menuntut ilmu agama. Dia amanah dan pinjaman dari Allah buat akak dan suami. Tanggungjawab ini berat.
Satu masa, dia pasti jauh juga. Tapi biarlah dia berjauhan dengan membawa agamanya bersama. Kalau silap langkahnya, apa jawapan yang perlu akak berikan pada Allah di akhirat kelak.
Akak buta agama. Membaca Al-Quran pun tergagap-gagap. Solat pun terkial-kial. Entah betul atau tidak tajwidnya pun akak tak tahu. Apatah lagi dosa akak lebih seluas lautan, lebih setinggi gunung. Astaghfirullahalazim.
Pilihan akak cuma ini. Jauhkan dia dari akak yang ‘tidak tahu’ hendak mengajar dan dekatkan dia dengan ‘guru’ yang layak mengajar. Cukuplah akak saja yang sudah lama lalai. Akak tidak mahu dia juga begitu.
Kalau dari mula akak tak paksa diri akak untuk memaksa dia mencintai Allah, Rasul dan agamanya, nanti bukan akak sahaja yang hanyut. Malah lebih malang, akak membawa dia hanyut bersama adik-adiknya.
Biarlah air mata ini sebagai permulaan dia memimpin dengan nama Allah untuk keluarganya kelak. Hari ini baru hari ke-3 dia meniti hidupnya di asrama. Jadual penuh memenuhi harinya.
Bangun sebelum subuh. Di arahkan berjemaah setiap waktu. Mana lagi mahu belajar dan menghafal. Tidur tengah malam. Mengurus hidup sendiri. Berhadapan dengan persekitaran yang baru dan sangat asing baginya.
Selama 3 hari ini akak menanti panggilan telefonnya. Naik saja nombor ‘public phone’ asramanya, akak terus angkat.
“Mama dengan adik-adik sihat ke?”
Akak menahan sebak. Lega akak mendengarnya.
“Sihat. Abang camana?”
“Ok je. Tadi solat pastu baca al-quran”.
Jatuh air mata akak mendengarnya.
“Kawan-kawan ok?”
“Ada yang ok ada yang tak.”
Nada suaranya rendah.
Akak diam seketika.
“Kenapa? Kawan-kawan tak best ke?”
“Tak lah. Yang tak ok tu macam Abang la. Rindu dengan family. Tak biasa……”
Kedengaran sebak di hujung suaranya.
Allah….Bertabahlah duhai anakku. Akak cuba mengawal suara sebak akak.
“Aiman kena kuat. Aiman kan abang. Kena jadi contoh pada adik-adik. Aiman belajar agama. Sabarlah ye. Nanti minggu depan dah start belajar dah macam biasa
je. Lagipun mama papa akan jumpa Aiman selalu. Tak jauh pun kan”.
“……..ok…..”
Setelah perbualan habis, akak tak dapat menahan lagi. Dalam hati akan terus berdoa semoga hatinya kuat dan cekal untuk meneruskan pengajiannya ini.
Akak terus menekup muka. Menangis teresak-esak hingga tak sedar terus tertidur……
Ini baru permulaan.
Ujian akak ini sekecil zarah berbanding ibu-ibu yang lain. Allah hanya jauhkan pandangan mata dia dari akak untuk beberapa hari. Tak jauh pun. Itupun berat hati akak untuk menerimanya. Entah bagaimana perjalanan kehidupan dia selepas ini, akak tidak tahu.
Tapi Akak percaya inilah pilihan dan jalan yang betul. ‘Memaksa’ dia menuntut ilmu agama dan mencintai tuhannya yang Esa lebih dari dirinya sendiri. Akak bersyukur di izinkan Allah menjadi ibu . Diberikan kelebihan darjat yang tinggi di sisi Allah. Doa ibu kepadanya anaknya tiada tandingan.
Apabila kali pertama akak bergelar ibu, ia sudah sempurna. Cukup sempurna! Bukan harta dan kesenangan dunia yang akak harapkan. Cukuplah anak-anak ini menjadi kekuatan akak. Doa akak berterusan untuk anak-anak akak tiada penghujungnya…..Ibu mana yang tak mahu yang terbaik untuk anak-anaknya. Semua ibu punya doa dan harapan yang sama.
‘Post’ ini tiada tujuan untuk merasa bangga dan menunjuk-nunjuk. Tiada yang sempurna melainkan Allah. Ia hanya perkongsian hati seorang ibu terhadap anak yang dikandungnya.
Ia tidak boleh di pendam. Mahu disuarakan kerana ini nikmat dan rahmat Allah yang tiada nilainya. Alhamdulillah. Allahuakbar. Sebagai ibu dan bapa, akak berdoa semoga Allah menguatkan kesabaran kita mendidik dan membesarkan anak-anak kita. Ujian kita berat…..
Kita tidak lengkap, tapi Allah dah jadikan kita ibu bapa yang sempurna dan cukup. Tugas kita ialah meneruskan amanah dari Allah ini untuk memimpin mereka ke jalan yang di redhai-Nya. Di zaman sekarang yang penuh cabaran dunia. Dengan kehidupan kita siang malam ‘mengumpul harta’.
Mana lagi nak mengurus kebajikan anak-anak. Hingga lupa mana yang lebih utama.
Dalam Al-Quran pun dah dinyatakan dengan jelas, anak dan harta ujian terbesar buat kita hamba-Nya.
Dan setiap ujian ada rahmat dan nikmat Allah tersembunyi. Keputusan di tangan kita untuk memilih jalan mana yang baik dan buruk.
Jika kita pilih jalan yang baik, hasilnya insyaAllah baik. Jika jalan yang buruk kita pilih, maka makin leka dan terpesonglah hidup kita.
Semoga Allah memimpin hati kita sebagai ibu bapa dengan hidayahNya.
Bak kata perpatah, kasih ayah sepanjang masa inilah yang membuatkan anak-anak manja dengan ayahnya. Tidak kira lelaki atau perempuan, mesti ada yang 'melekat' aje...