Lelaki Ni Buatkan Ruang Santai BBQ Untuk Famili, Modal Tak Sampai RM500. Boleh Sangatlah Kalau DIY Sendiri!

Share

Memiliki ruang laman yang dilengkapi dengan ruang santai tentu menjadi idaman untuk direalisasikan. Kiranya dapatlah seisi keluarga berehat menghirup udara luar dalam suasana yang cukup mendamaikan sambil ditemani dengan landskap laman yang menghijau.

Bahkan tidak dinafikan sanggup berhabis duit untuk meletakkan gazebo puluhan ribu ringgit di ruang halaman rumah demi memberi mood santai yang indah.

Pun begitu, berbeza dengan Azlan Idris yang lebih selesa menggayakan ruang laman dengan jelmaan ruang patio daripada block stone dengan bermodalkan RM 500 sahaja namun nampak begitu sempurna dan cantik sekali.

Menurutnya, tujuan dilakukan DIY di ruangan tersebut adalah untuk dijadikan tempat santai menikmati suasana BBQ bersama keluarga tercinta.

Turut dikongsikan cara dan bagaimana membuat patio tersebut di salah satu group deko di facebook, dan perkongsian mendapat perhatian ramai.

Jadi buat anda yang terinspirasi untuk hasilkan patio seumpamanya, bolehlah lihat langkah demi langkah yang dikongsikan olehnya untuk dijadikan panduan bersama.

DIY PATIO BLOCK STONE

Langkah 1 : Tentukan dan ukur keluasan yang ingin dijadikan ruang patio. Untuk keluasan ini adalah 100 inci X 150 inci.

 

Langkah 2 : Korek dan ratakan tanah mengikut keluasan yang ditandakan.

 

Langlah 3 : Taburkan pasir dan padatkan agar permukaan menjadi rata. Setelah itu barulah susun stone.

“Abang beli area rumah ni, Ulu Yam RM1.20 satu batu…kat lain kalau ada murah tak tau lah. Total cost lebih kurang RM500 je”

“Ada yg letak batu gravel gak sebelum pasir…tapi kalau setakat orang je yg naik atas cukup dah pasir…kalau nak yg parking kereta bagai elok 2 lapis..batu graval lepas tu pasir..dah bagi padat baru susun batu,” tulisnya diruangan komen bila ramai yang bertanya soalan kepadanya. 

Langkah 4 : Bersihkan kesan pasir di celah-celah batu dengan air paip.

Langkah 5 : Siap dan bolehlah letakkan meja, kerusi dan kelengkapan BBQ mengikut susun atur yang sesuai.

 

Sumber : Azlan Idris