Berita

Lelaki Mabuk Pandu Myvi, Langgar Murid 11 Tahun

Share

Sampai hati langgar murid sekolah ketika nak melintas jalan.

Seorang murid Tahun Lima cedera patah jari kaki selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk.

Paling menyedihkan kejadian berlaku ketika pelajar melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini.

LELAKI MABUK PANDU MYVI

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika Perodua Myvi dipandu suspek dalam perjalanan dari Pekan Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.


“Pemandu itu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggar murid berkenaan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami patah ibu jari kaki kanan serta luka di bahagian kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, bertindak atas kejadian itu, polis menahan pemandu kereta terbabit yang berusia 28 tahun.

Menurutnya, ujian saringan yang dilakukan mendapati bacaan alkohol pemandu berkenaan sebanyak 230mg alkohol/100ml darah.

“Suspek direman bermula Khamis sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan pemandu boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000,” katanya

Sumber: Sinar Harian