Lelaki Ini Kongsi 8 Amalan Termasuk Doa Untuk Kecemerlangan Anak. Sungguh Motivasi!

Share

Tip mendidik anak untuk menjadi cemerlang sentiasa mendapat perhatian ibu bapa. Begitulah sebagaimana perkongsian Ropizam San yang mencoretkan bagaimama beberapa ibu bapa mendidik anak mereka menjadi cemerlang.


Saya tak sanggup senyap-senyap ‘Telan ke TOMBOLOK SENDIRI Sahaja….!!!

“Saya Yakin Allah Jumpakan Untuk Saya, UNTUK DIKONGSI”.

Ini bukanlah kebetulan. Saya yakin ini satu kebenaran hakiki yang Allah SWT takdirkan berlaku pada saya. Mungkin Allah SWT ingin saya kongsikan kepada kebanyakkan orang.

Dua dari Kelantan, satu dari Sarawak, satu dari Sabah, dua dari Kedah dan satu dari Pahang. Jumlah semuanya adalah 7 orang ‘ayah’ yang anak-anak mereka berjaya hebat Sahsiah dan Akademik, anak-anak mereka disebut-sebut oleh ramai orang tentang kebaikan, Allahuakhbar.

Menariknya yang saya ingin kongsikan adalah bila saya tanya kepada 7 ayah berjaya ini (kebetulan mereka semua guru pencen dan ada yang tinggal beberapa tahun lagi akan pencen), “….bagaimana Cikgu boleh kongsikan tips mendidik anak sehingga begitu ‘hebat hasilnya’ Allah bagi ‘cash’….”. Ini antara jawapan mereka yang saya dapat. Hampir sama semuanya. Ada 8 perkara utama;

1- Baca Al-Qur’an setiap hari (sikit atau banyak). Selepas baca Al-Qur’an, terus doakan buat anak-anak dan isteri. Jangan lengah-lengahkan sebab kita nak ambil berkat ayat Al-Qur’an yang kita baca biar jatuh terus pada anak-anak kita.

2- Kita ini jadi Cikgu, kita amat sibuk. Hakikatnya, sehebat manapun kita ini jadi Cikgu cemerlang atau guru berpangkat tinggi misalannya, kita tetap tidak mampu didik anak-anak kita secara sepenuhnya. Kita mengharapkan guru biasa lain yang didik anak kita. Jadi, semasa kita bekerja kita didiklah anak-anak murid kita sebaik mungkin, dan In Sya Allah…., Allah akan permudahkan anak-anak kandung kita dididik oleh guru-gurunya di sekolahnya. Jika ingin harapkan kita sendiri, terimalah hakikat yang kita memang tak sempat sepenuhnya.

3- Jangan doakan anak kandung sendiri sahaja. Itu penting diri sendiri sahaja namanya. Doakan juga untuk anak-anak orang lain. Kita mesti ada semangat mahukan ramai orang akan berjaya,anak kita berjaya dan anak orang lain juga berjaya. Allah ini adil, bila kita kerapkan doa untuk orang ramai, In Sya Allah keluarga kita yang terpalit kebaikan dulu. Biasanya Allah kurniakan pada yang bersangkutan dengan ‘peminta’ dahulu.

4- Beri keluarga dari makanan dan minuman sebaik mungkin dari sumber halal. Bekerjalah dengan jujur. Jangan jadi ‘kaki bodek dan pengampu’. Itu dikira mengambil hak orang. Ramai sudah ‘kaki ampu’ tak kemana pun. Kalaupun dapat sesuatu, penghujung hidup banyak huru-hara. Contoh disekeliling kita amat banyak. Jadi, bekerja lah dengan baik, dan berserahlah pada ketentuan Allah.

5- Sekali sekala bangun malam (tengah malam) disaat anak-anak sedang tidur. Baca sikit doa bersama surah Toha ayat 1 hingga 5 dan Surah Yusuf ayat 4 paling kurang, tiup ke wajahnya. Kalau tak mampu kerap, sekali sekala pun tak mengapa. Namun, sebaiknya adalah sekerap-kerapnya.

6- Ketika isteri mengandung, waktu itu perlu banyak sangat berdoa. In Sya Allah anak-anak akan lebih mudah dengar kata.

7- Carilah peluang solat berjemaah di masjid. Kalau tak mampu setiap waktu, usahakan berapa banyak waktu yang mampu paling kurang. Dalam sehari, ikhtiarkan juga paling kurang sekali ke rumah Allah dan solat berjemaah. Cari berkat dari jemaah yang ramai. Sudah pasti, lagi banyak lagi bagus.

8-Selebihnya, ikutlah amalan-amalan biasa lain yang pernah kita dengar dan belajar dari para ilmuan. Teruskan usaha, In Sya Allah dipermudahkan segala urusan kita bersama. Khabarkanlah pada kebanyakkan orang. Moga manfaat tersebar pada banyaknya hati manusia.

*Kebahagian, keredhaan, kejayaan, kecemerlangan, dan hak mendapat kasih sayang Allah adalah MILIK SETIAP INSAN, bukan hanya untuk sesetengah insan tertentu sahaja.

?Ropizam San