Pastinya setiap pasangan inginkan bahagia hingga ke akhir hayat. Namun, jodoh dan maut adalah rahsia Allah. Ia datang tanpa kita ketahui.
Hati mana yang tidak berduka apabila insan tersayang pergi meninggalkan diri buat selama-lamanya. Tambah pilu, anak-anak penyeri rumahtangga, masih dahagakan kasih sayang.
Bagaimanapun, setiap yang berlaku ada asbabnya. Kita sebagai makhluk harus tabah dan meneruskan kehidupan.
Sebagaimana perkongsian saudara Khairul Abdullah meluahkan rasa dengan berkongsi tip pengalaman sendiri yang dilalui setelah pemergian isteri pada tahun lepas ekoran jangkita kuman yang dihadapinya. Moga arwah isteri ditempatkan dikalangan orang beriman.
Ikuti perkongsian ini agar jadi panduan bersama supaya sinar bahagia tetap ada walaupun kehilangan insan tersayang.
7 Tips Penting Untuk Move-On Dengan Mudah
Kehilangan seseorang yang kita sayang sama ada melalui kematian atau penceraian adalah sesuatu pengalaman yang amat perit. Hendak melepaskan pergi “kepunyaan” tersebut adalah sesuatu yang amat sukar.
Saya juga melaluinya ketika kematian isteri 10 bulan yang lalu. Tetapi, demi 3 nyawa kecil yang perlu saya besarkan, saya kuatkan diri, bingkas bangun dan teruskan walaupun berseorangan.
Memandangkan ramai yang mesej dan bertanyakan bagaimana saya melakukannya maka ini tips saya buat mereka.
1. CARI REDHA
Benda yang paling penting di dalam menentukan samada kita jatuh dan boleh bangun atau move on dengan cepat adalah redha.
Redha adalah kesanggupan dan keikhlasan di dalam melepaskan sesuatu yang menjadi kepunyaan atau menerima sesuatu yang tidak diinginkan.
Ianya perkataan yang sangat senang diungkap di mulut namun sangat susah diterima di hati.
Carilah redha itu dan berdamailah dengan takdir, perpisahan kita samada hidup atau mati sudah ditentukan begitu. Dengan redha kita akan lebih lega dan ready to move forward.
2. BERPERANG DENGAN DIRI
Kita yang melawan diri sendiri. Kita ada pilihan untuk jadi gembira atau jadi murung. Jadi anda pililhlah bahagian diri yang mana akan menang, yang ceria atau yang derita. Ingat, takde sesiapa boleh ubah keadaan kita melainkan diri kita sendiri.
3. CARI KEKUATAN
Perlu ada sumber kekuatan untuk kita bingkas bangun dan berlari. Bagi yang ada anak maka semestinya anak-anak adalah sumber utama. Bagi yang tiada anak maka ibu-bapa, adik beradik, kawan-kawan merupakan orang yang penting.
Jika yang kematian suami/isteri ada atau tiada cahayamata maka ingatlah impian, keinginan, pesanan atau hajat arwah yang tidak kesampaian dan jadikan ianya sumber kekuatan untuk anda bangun dan tunaikan hajat dan impian dia.
4. MEMAAFKAN
Maafkan diri sendiri, anda sudah melakukan yang terbaik namun perpisahan tetap terjadi samada bercerai hidup ataupun mati. Paling sukar dibuat pula adalah untuk memaafkan pasangan anda. Maafkanlah dan halalkanlah segalanya.
Dengan ikhlas memaafkan secara tak langsung anda ikhlas melepaskan. Selepas itu anda tidak akan menoleh lagi dan dapat move on dengan sangat mudah.
5. MELUAHKAN
Luahlah, jangan dipendam segala perasaan yang ada.
Semakin kita jujur tentang perasaan dan kesedihan yang kita alami, lebih ramai orang akan menghormati keperluan kita. Kalau kita simpan semuanya demi nak menunjukkan yang kita ini kuat, satu hari bila tertekan ia akan meletup.
6. SIBUKKAN DIRI
Paling penting untuk cepat move on adalah dengan menyibukkan diri dengan aktiviti, Jangan biar banyak masa terluang berseorangan, di dalam bilik terkurung dan sebagainya. Penuhi rutin harian dengan aktiviti.
Cari hobi baru, cari kawan baru, cari restoran baru dan buat benda-benda yang tak pernah buat sebelum ini. Bila sibuk, tak banyak masa terluang untuk duduk dan menangis sahaja.
7. JAGA DIRI
Ini paling penting. No matter what, kesihatan kena jaga. Makan tetap kena makan, bersenam, berehat, tidur yang cukup semuanya kena jaga. Bila badan sihat, otak lebih cergas, daya pemikiran lebih baik, penaakulan lebih tajam dan emosi akan lebih stabil dan tak mudah down.
Ingat, bagi yang single parent pula anda ada tanggungan, ada nyawa-nyawa kecil yang perlukan anda.
So take care.
Cubalah praktikkan dan seterusnya paling penting jangan lupa hubungan dan tanggungjawab dengan Maha Pencipta.
Sujudlah,berusahalah, berdoalah dan bertawakkallah.
KHAIRUL ABDULLAH
#DiariSuperDaddy