Keibubapaan

Lelaki Bawa Anak Jadi Peneman Daki Bukit, “Hana Langsung Tak Meragam, Menangis…”

Share

Lelaki bawa anak jadi peneman daki bukit, “Hana langsung tak meragam, menangis…”Kisah dua beranak Hazwan Harawi mendaki bukit bersama bayinya mendapat perhatian warga maya.

Lelaki Bawa Anak Jadi Peneman Daki Bukit

Hazwan memuat naik video pendakiannya bersama anak angkatnya, Hana di TikTok. Hana mendapat pendedahan mendaki bukit kerana bapa angkatnya, Hazwan Harawi, 29, sering membawanya sebagai peneman untuk mendaki di bukit dan taman riadah sekitar Lembah Klang.

Hana sudah merasai pengalaman mendaki walaupun baru berumur sembilan bulan. Bercerita lanjut, Hazwan berkata, mendaki adalah minat dan salah satu hobinya sejak di kampus lagi.

Menurut Hazwan, isterinya, Fatin Sihan, 29, juga ada minat yang sama dan mereka pernah pergi mendaki bersama, salah satunya di Bukit Broga, Selangor.

“Dulu kami pergi mendaki berdua saja tapi sejak hadirnya Hana, dia pun dibawa bersama.

“Cuma, kami ambil Hana sebagai anak angkat pada umurnya tiga bulan. Waktu umurnya empat bulan baru dedahkannya dengan aktiviti riadah.

“Hana Langsung Tak Meragam, Menangis…”

“Awalnya bawa Hana pergi Taman Saujana Hijau di Putrajaya saja kemudian waktu umurnya lima bulan saya dan isteri bawa dia berkhemah di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan pernah juga ke Taman Tugu, Kuala Lumpur ketika umurnya tujuh bulan selain berjalan di Pulau Pinang,” katanya.

Hazwan berkata, setakat ini, isterinya tiada halangan walaupun dia pernah pergi berdua saja dengan Hana.

Ia kerana dia dan isteri percaya aktiviti itu baik malah dapat mendedahkan anak kepada alam semula jadi dan bukan hanya membesar dengan gajet atau menonton televisyen semata-mata.

“Selalunya memang kami pergi bertiga tapi dua bulan lalu, isteri ditahan di Hospital Kajang dan saya kena uruskan anak waktu ketiadaannya.

“Jadi bila nampak saya boleh lakukan, isteri tak ada masalah untuk saya bawa Hana berdua tambahan dia kini pun baru hamil.

“Cuma, saya tetap buat persediaan rapi sebelum bawa Hana mendaki di sesuatu tempat dengan menonton video terlebih dulu untuk tengok bagaimana laluan trek dan periksa sama ada kawasan berkenaan mesra bayi serta ada kemudahan tandas berhampiran atau tidak,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat dalam bahagian pemasaran dan digital.

Hazwan juga membuat persediaan lain termasuk menyediakan alat pembawa kanak-kanak selain lampin, susu juga snek sebagai bekalan.

Katanya, persiapan lain adalah dengan melihat ramalan cuaca dan ke pusat gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu bagi memantapkan stamina.

“Setakat ini, Hana beri kerjasama baik malah tak meragam pun… paling terkejut waktu mendaki Bukit Sri Bintang kerana dia tak menangis langsung.

“Cuma waktu di Taman Tugu, Hana menangis dalam 100 meter sebelum sampai di atas tapi itu pun sebab dia nak minum susu.

 

“Cabarannya lebih kepada saya kerana umur Hana pun sudah sembilan bulan jadi agak berat juga nak pikulnya di belakang dan memang sakit bahu serta lenguh kaki setiap kali balik mendaki,” katanya.

Menyentuh mengenai perkongsiannya di TikTok, Hazwan berkata, dia baru memuat naik video aktiviti bersama Hana sejak Mei lalu dan tidak menyangka mendapat perhatian hingga ada yang mengenali serta mahu bergambar dengan anaknya ketika berjumpa di luar.

Menurutnya, niatnya adalah untuk menyimpan memori dengan Hana dan memberi inspirasi kepada bapa di luar sana untuk habiskan masa di luar sana.

“Secara tak langsung, saya nak buktikan juga orang lelaki pun boleh diharap untuk jaga anak cuma bila baca komen, baru saya sedar ramai rupanya ibu bapa di luar sana tak bawa anak beriadah.

“Ada yang tak pernah keluar rumah pun sejak ada anak kecil kerana paranoid. Segelintir netizen pula persoalkan kenapa bawa Hana mendaki kerana anggap ia bahaya untuk keselamatan selain risau jika anak terkena gangguan mistik.

“Saya faham kebimbangan mereka malah sebagai orang Islam memang kena percaya dengan benda ghaib cuma risiko atau bahaya ada di mana-mana jadi kita cuba ambil langkah keselamatan.

“Selebihnya doa minta perlindungan Allah SWT,” katanya yang menggalakkan ibu bapa lain membawa anak beriadah sebagai terapi emosi bagi menghilangkan tekanan menjaga si kecil.

Sumber: Harian Metro Facebook Hazwan Harawi 

Baca artikel lain juga: Pelajar Malaysia Di UK Sorok Bayi Baru Lahir Dalam Kotak Bijirin, Sumbat Dalam Beg Pakaian

Pelakon Hafeez Mikail Timang Anak Sulung, Isteri Selamat Bersalin Bayi Perempuan

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my