Berita

Lelaki Baru 3 Minggu Kahwin, Kemalangan Di Singapura, Keluarga Mohon Bantuan Kos Rawatan

Share

Lelaki baru 3 minggu kahwin, kemalangan di Singapura, keluarga mohon bantuan kos rawatan. Seorang rakyat Malaysia kini terlantar di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH) Singapura selepas terbabit kemalangan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE)  Khamis lalu.

Lelaki Baru 3 Minggu Kahwin, Kemalangan Di Singapura

Akif-Zarr Ukasyah Shuhaimi, 28, yang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerja, digilis sebuah motosikal berkuasa tinggi setelah dia terjatuh dari motosikalnya kerana cuba mengelak kemalangan lain.

Berikutan kemalangan itu, Akif memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai kos rawatannya di republik itu. Keluarga Akif meminta jasa baik rakyat Malaysia, bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan.

Akif-Zarr yang berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B) di Bencoolen Street, baru sahaja mendirikan rumah tangga tiga minggu lalu.

Lelaki itu mengalami cedera serius di bahagian tulang belakang, patah tangan kiri selain pendarahan dalaman akibat kecederaan paru-paru.

Isterinya, Nur Syahirah Md Zohir yang bekerja di Kulim, Kedah berkata keluarga diminta membayar sekurang-kurangnya 50 peratus kos rawatan di NUH sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Sebelum ini suami memang dinasihatkan untuk tidak dipindahkan kerana belum stabil. Hospital baru sahaja maklumkan petang tadi bahawa Akif-Zarr sudah boleh dipindahkan,” katanya.

Nur Syahirah yang kelihatan sugul berkata mereka sekeluarga kini runsing memikirkan bil hospital yang perlu diselesaikan. Bil setakat 23 Oktober berjumlah S$110,537.60 (S$1=RM3.29).

Ibu Akif-Zarr, Ku Amazon Tuan Yusof, yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah negeri di Kelantan berkata mereka sekeluarga kini berulang dari Johor Bahru setiap hari bagi melawat anak keduanya itu.

Keluarga Mohon Bantuan Kos Rawatan

Beliau berkata mereka kini menumpang di rumah kawan Akif-Zarr dan akan berada di hospital sehingga waktu melawat berakhir pada 8 malam setiap hari.

“Saya tengok keadaan dia, Akif-Zarr memang perlukan sokongan kami sekeluarga. Jadi, walaupun dengan keadaan yang kurang sihat, kami akan tetap berulang sampai dia boleh pindah ke HSA,” katanya yang menghidap hipertensi, selain bapa Akif-Zarr yang mempunyai penyakit jantung.

Ku Amazon berkata, beliau memohon jasa baik orang ramai untuk menyumbang bagi membayar bil hospital, selain mendoakan semoga anak kedua daripada enam adik beradik yang selama ini menjadi harapan keluarga cepat sembuh dan tabah menghadapi proses penyembuhan yang panjang.

“Doktor beritahu masih ada beberapa pembedahan yang perlu dilakukan. Kami hasrat untuk buat di Johor nanti.

“Keutamaan kami, selesaikan bil di sini dan kemudiannya fikirkan langkah seterusnya.

“Doktor juga ada minta kami sediakan kerusi roda. Kami sekeluarga ada ikhtiar untuk jual apa yang ada namun semua itu perlukan masa, dan kami kesuntukan waktu,” katanya.

Ku Amazon berkata buat masa ini walaupun dalam keadaan yang lemah, Akif-Zarr sudah mampu berkomunikasi dengan menulis.

“Kami berterima kasih pada NUH sebab bagi rawatan selain prihatin. Pekerja sosial juga ada jumpa tanya keadaan kami.

“Kami juga berterima kasih pada yang telah dan akan menyumbang,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, sumbangan yang telah diterima adalah sebanyak S$7,000.

Sumbangan boleh disalurkan kepada nombor akaun berikut: Ku Amazon Tuan Yusof (ibu) (Maybank – 153039098822) atau Nur Syahirah Md Zohir (isteri) (CIMB – 7612785947).

Sumber: Berita Harian Online

Baca artikel lain juga: Imam Sempat Iqamat, Cium Anak Perempuan Baru Lahir Sebelum Maut Kemalangan

Imam Maut Kemalangan Jalan Raya Lepas Lawat Isteri Baru Bersalin Di Hospital

Pernah Tular Enam Ahli Keluarga Terkorban Kemalangan Jalan Raya, Abdur Rahman Kini Sambung Pengajian

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my