Tentunya ini satu lagi berita yang membuatkan semua ibu ayah berasa lega dan gembira dengan pengumuman yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Apa tidaknya, bermula Januari tahun 2020 semua anak-anak kita akan diberikan sarapan secara percuma. Berbanding sebelum ini hanya untuk anak di dalam keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) sahaja.

Melalui program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara itu, beliau berkata, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma sama ada bagi yang bersekolah sesi pagi mahu pun sesi petang tidak terkecuali.

“KPM akan terus meneroka apa sahaja ruang bagi memastikan anak-anak hadir ke sekolah dengan penuh kegembiraan,” ujar beliau lagi.

Di Sebalik Makanan Percuma

Kementerian Pendidikan akan memastikan setiap pelajar yang hadir ke sekolah pada tahun hadapan akan menikmati makanan percuma sebelum sesi pembelajaran bermula.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata langkah itu dibuat kerana di sebalik makanan percuma itu, berlaku perkara penting iaitu proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

“Kita bukan sahaja memberi makanan berkhasiat dalam membentuk generasi baharu yang sihat, malah mendidik anak-anak mengenai sivik dan disiplin.

“Sebelum makan basuh tangan, lepas makan kena kemas. Mereka semua ini akan makan bersama guru,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok di sini, hari ini.

BERMULA JANUARI 2020, SARAPAN PERCUMA AKAN DISEDIAKAN BUAT SEMUA ANAK-ANAK DI SEKOLAH RENDAH SELURUH NEGARA

Sementara itu, memetik kenyataan rasmi Menteri Pendidikan ini di akaun facebooknya, beliau menyatakan bahawa anak-anak kita memerlukan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan mereka terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat mengambil berat aspek pemakanan murid dan sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif penting untuk memastikan anak-anak kita perutnya sentiasa terisi dengan makanan berkhasiat.

Sehubungan itu, bermula dari Januari 2020, KPM bakal melancarkan program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara. Melalui program ini nanti, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma.

KPM akan terus meneroka apa sahaja ruang bagi memastikan anak-anak hadir ke sekolah dengan penuh kegembiraan.

YB Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

sumber : Dr Maszlee Malik dan bharian