“Lebihan Air Di Kepala Dikesan Ketika Usia 18 Minggu.” Derita Penyakit Kepala Besar, Adik Aidan Terpaksa Diberikan Susu Melalui Tiub.

Share

Anak adalah anugerah yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Kegembiraan berganda bila mana mengetahui bakal  menimang cahaya mata kembar.

Namun, bahagia tersebut hanya seketika bila mana pasangan ini diuji ALLAH SWT apabila salah seorang anak kembar kembar mereka disahkan menghidap penyakit Hydrocephalus atau dikenali berkepala besar.

Kepala semakin membesar

Selepas lima bulan, saiz kepala adik Aidan Fahim semakin membesar dengan ukuran lilit 64 cm berbanding 46 cm sewaktu dilahirkan pada 8 Januari lalu di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang.

Bapa, Mohd Salfarulizaman Kamarul Baharin, 30, berkata, lebihan air di bahagian kepala anak kelima itu dikesan ketika kandungan berusia 18 minggu tanpa melibatkan abang kembar, Adam Fahmi.

Menurutnya, Aidan ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HoSHAS selama 42 hari dengan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

“Pernafasan Aidan lemah dan doktor pujuk kami untuk membenarkan mesin oksigen ini dicabut pada hari ke-14 tapi kami tidak bersetuju.

“Kami tinggal di Benta, Lipis dan memandangkan abang kembar juga perlu diberi perhatian dan mengelak kesihatan isteri terjejas, doktor pujuk sekali lagi.

“Pada hari ke-42, kami sudah bersedia dan reda untuk menghadapi sebarang kemungkinan selepas mesin oksigen dicabut serta difahamkan Aidan mungkin hanya mampu bertahan paling lama dua minggu.

“Alhamdulillah, rasa seperti satu keajaiban apabila Aidan dapat bernafas dengan baik dan dirujuk ke Hospital Kuala Lipis selama tiga hari untuk kami belajar cara penjagaan termasuk beri minum susu melalui tiub,” katanya kepada Sinar Harian.

Tumpang sementara di rumah kakak

Mohd Salfarulizaman berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai operator kilang di Melaka selama empat tahun manakala isterinya, Nursuhada Jaafar, 30, menetap bersama tiga anak serta kedua ibu bapa di Benta.

Menurutnya, selepas seminggu Aidan dibenarkan pulang ke rumah, mereka mengambil keputusan menumpang sementara di rumah kakak Nursuhada di Serendah.

“Doktor maklumkan sebarang kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa, maka kami ambil keputusan cari tempat tinggal lebih dekat dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Temu janji dengan doktor pakar ditetapkan pada 5 September ini dan saya terpaksa berhenti kerja di Melaka dan Alhamdulillah dapat kerja sebagai penyelia vendor Perodua di Sungai Choh.

“Dalam sebulan tinggal di rumah kakak ipar, saya sewa sebuah rumah di Desa Anggerik Serendah dengan bayaran RM600 sebulan,” katanya.

Saiz badan lebih kecil dari abang kembar

Nursuhada berkata, saiz badan Aidan lebih kecil berbanding abang kembarnya namun tidak menunjukkan sebarang gangguan kesihatan selain pertambahan saiz kepala.

Menurutnya, tiada apa dapat dilakukan untuk rawatan susulan sebelum temu janji dengan doktor pakar.

“Ibu mana tak gusar melihat keadaan anak sebegini dan lambat lagi dapat jumpa doktor pakar.

“Buat masa sekarang apa yang mampu kami lakukan hanya pergi buat pemeriksaan setiap bulan di Klinik Kesihatan Serendah.

“Saya pujuk hati dengan fikir positif, mungkin bulan September nanti adalah tempoh paling sesuai untuk Aidan dirujuk ke pakar,” katanya.

Tiada masalah kesihatan

Pada masa sama Nursuhada berkata, dia bersyukur apabila abang kembar tiada masalah kesihatan.

“Bagaimanapun kami terpaksa meninggalkan anak sulung dan kedua yang berusia lapan serta lima tahun di Benta supaya persekolahan mereka tidak terjejas,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian