Lebih 1000 Termasuk Pelajar & Guru Teruja Sertai Malaysia #Quranhour, JAKIM Cadang Jadikan Sebagai Aktiviti Sambutan Merdeka

Share

Memasuki edisi kelima penganjurannya, Malaysia #QuranHour semalam berlangsung  sederhana tapi meriah dengan membawa tema ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’.
Tahun ini, surah Al-Kahfi dipilih sebagai surah tema seiring dengan panduan untuk menghadapi cabaran akhir zaman.

Menariknya juga, Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Putra di sini turut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke- 62 yang akan disambut hari ini.

Lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan korporat serta warga sekitar Putrajaya dan Selangor menjayakan penganjuran di lokasi perdana Masjid Putra Putrajaya bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Penganjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf berkata, sebagai mengangkat tema Malaysia #QuranHour iaitu ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’, umat Islam perlu memperkasakan diri terlebih dahulu.

“Saya berharap lepas ini pemimpin-pemimpin ketepikan politik dan bergabung untuk proses pengupayaan al-Quran kerana kita sudah tertinggal jauh disebabkan perbalahan dengan perkara yang tidak menguntungkan ummah. Kita perlu bergabung dengan al-Quran untuk fokus pada pemerkasaan ummah,” katanya.

Sementara itu, Marhaini Yusoff berkata, penganjuran kali kelima itu membawa sedikit kelainan dengan mengajak masyarakat memahami erti kemerdekaan daripada surah al-Kahf dan memberi penekanan kepada kupasan inti surah tersebut.

“WUI dan penganjur bersama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berganding bahu menjayakan Malaysia #QuranHour. Penganjuran kali ini sedikit berlainan dengan program sebelum ini kerana sejak awal 1440 Hijrah hingga penghujung tahun hijrah ini 29 Zulhijah iaitu penutup tahun 1440, surah al-Kahf terus dibincangkan.

10 ayat awal dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf dikupas sebagai pesan kemerdekaan sekali gus mengajak masyarakat menjadi bangsa bersyukur dan sama-sama mendoakan kesejahteraan negara.

Menurut beliau lagi, antara lain ia memperjelaskan inspirasi dan usaha agar manusia mampu melonjakkan potensi berlandaskan nilai diri berteraskan al-Quran dan sunnah.

#QuranHour menjadi asas penyatuan ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latar belakang dan ideologi dalam mengagungkan al-Quran seterusnya mewujudkan dunia yang berbudi dan penyayang atau rahmah.

Majlis dimulakan dengan bacaan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf diketuai Pembawa Panji terdiri daripada Johan Qari Antarabangsa 2014, Ahmad Tirmizi Ali dan Johan Qari Antarabangsa 2011, Amirahman Abas.

Sesi tadabbur surah pula dijayakan oleh Penolong Pengarah Jakim, Mohd Hariri Mohamad Daud dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Majlis seterusnya diisi dengan Pesan Kemerdekaan daripada wakil anak muda, Muhammad Afiq Ismail, 23, dan tokoh korporat, Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

 

Lebih menarik apabila pembacaannya turut diadakan secara serentak di 1,800 lokasi berdaftar di seluruh negara dan 11 lokasi di sembilan negara.

Dalam pada itu, tahun ini turut mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan 1.46 bilion capaian di media sosial berbanding hampir 1.4 bilion sebelum ini ketika World #QuranHour.