Isteri kita bukan robot. Samada isteri bekerja atau surirumah, kedua-duanya sama. Mereka bekerja tanpa henti hingga ke malam. Jika siangnya berhempas pulas di pejabat, malamnya pula terpaksa menguruskan anak-anak dan suami.
Manakala suri rumah pula bekerja dari pagi hingga ke malam tanpa ada waktu tertentu. Tugasan rumah yang tak pernah habis, lagi dan lagi. Jadi janganlah anggap isteri bersenang-lenang sahaja.
Belajarlah untuk hargai isteri kita. Walau sekecil mana pun penghargaan buat mereka, belajarlah untuk memberi dengan ikhlas. Bukan hanya wang ringgit sahaja tetapi tenaga, membantu mereka ketika penat, sangat-sangat dihargai isteri. Lapan hal ini suami patut tahu.
1. Hargai Pasangan
Tidak salah sesekali menghargai isteri anda. Dia yang telah menjaga makan minum anda, melahirkan anak dan juga menguruskan keperluan rumah tangga. Jadi apa kata anda sesekali menghargainya dengan mengungkapkan ucapan terima kasih atas segala yang dilakukan. Lebih elok jika boleh memberinya hadiah sebagai tanda menghargai pengorbanan yang dilakukan.
2. Jangan Buat Perbandingan
Pasangan juga tidak gemar jika anda terlalu membandingkan dirinya dengan ibu anda. Misalnya dari segi masakan atau apa sahaja. Dia akan mudah berkecil hati lebih-lebih lagi jika anda mengatakan ibunya adalah yang terbaik dalam semua segi.
Mungkin anda boleh menegur dia agar mencontohi sifat ibu anda seperti belajar resipi daripadanya ataupun meminta petua mengekalkan keharmonian rumah tangga.
3. Jaga Anak Bersama
Tidak salah jika sesekali anda menjaga anak terutamanya jika pasangan ada tugasan luar. Jangan berkira soal ini kerana bukan selalu anda menjaga anak-anak. Gunakan masa ini untuk bermesra dengan anak-anak yang memang selama ini lebih rapat dengan ibu mereka. Tunjukkan anda juga mampu menjaga mereka dengan baik tanpa ibunya.
4. Ambil Berat Kesihatan Isteri
Ada juga sesetengah pasangan yang mengambil sikap tidak kisah melihat isteri yang sakit. Malah ada yang menyuruh mereka pergi sendiri ke klinik. Apa salahnya jika anda melihat isteri tidak sihat, segera membawanya berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
6. Belajar Pujuk
Wanita memang cepat sensitif dan mereka memang mudah merajuk. Jika pasangan anda begitu, cepat-cepat anda memujuknya agar ia tidak berpanjangan. Minta maaf jika ada perbuatan anda menyebabkan dia berkecil hati. Selesaikan apa yang berlaku secepat mungkin agar tidak mengganggu hubungan intim anda berdua.
7. Jangan Bersikap Curang
Isteri juga tidak begitu menyukai pasangan yang curang. Jika selama ini dia mengorbankan jiwa dan raganya pada anda, tidak ada sebab untuk anda berlaku curang. Ingat bahawa sekali diri mereka disakiti, kesannya akan kekal hingga bila-bila. Dia mungkin akan menerima tetapi lebih bersikap berhati-hati dengan anda.
8. Jangan Berkira
Anda juga diingatkan jangan bersikap terlalu berkira dan kedekut. Terutamanya membabitkan wang ringgit dan keperluan harian rumah. Walaupun isteri bekerja, tetapi tidak salah jika anda memberinya wang nafkah setiap bulan dan ini memang menjadi kewajipan bagi seorang suami. Ingat rezeki lebih bertambah jika anda bersikap pemurah kepada pasangan.