Latih Fokus Anak Untuk Rangsang Kepintaran Anak. Ibu Ayah Ambil Peduli Tip Ini

Share

 

Jika orang dewasa mempunyai pekerjaan dan peranan masing-masing di dalam masyarakat, kanak-kanak juga mempunyai pekerjaan mereka tersendiri. Bermain dan meneroka persekitaran mereka adalah peranan dan pekerjaan utama kanak-kanak. Dengan bermain, kanak-kanak membina pelbagai kemahiran utama seperti kemahiran kognitif, motor halus dan kasar, kemahiran interaksi dan sosial dan lain-lain lagi.

Seperti juga orang dewasa yang memerlukan fokus semasa bekerja, kanak-kanak juga memerlukan fokus semasa bermain untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran tersebut. Sering kali saya terima aduan daripada ibu bapa berkenaan anak-anak mereka yang terlalu aktif, tidak bertahan lama dalam satu-satu permainan dan mempunyai kecenderungan untuk bertukar-tukar aktiviti dalam masa yang singkat. Kerenah-kerenah anak seperti ini adalah antara tanda-tanda mereka kurang fokus dan berkemungkinan juga boleh membantutkan sesetengah aspek perkembangan mereka.

 

Latih fokus anak anda

Ramai ibu bapa kurang sedar bahawa fokus anak adalah perkara yang boleh dilatih. Bagi ibu bapa yang menghantar anak ke sesi terapi atau sudah menghantar mereka ke sekolah, jangan hanya mengharapkan aktiviti-aktiviti di sesi terapi atau di sekolah untuk melatih fokus mereka. Luangkan sedikit masa berkualiti bersama mereka untuk melakukan aktiviti yang boleh melatih fokus si manja anda.

Pentingnya fokus ini juga terdapat dalam ibadah. Contohnya ibadah solat memerlukan kita khusyuk (fokus) dalam perlaksaannya. Maka anak-anak perlu dilatih dari kecil untuk fokus dalam setiap aktiviti yang mereka lakukan.

Tips melatih fokus anak

1. Pilih aktiviti

Semasa sesi terapi, saya suka menggunakan aktiviti yang melibatkan ‘cause and effect’ bersama pelajar. Aktiviti ‘cause and effect’ dapat menarik minat anak kerana si manja akan tertarik melihat kesan atau akibat yang terjadi apabila dia melakukan sesuatu aktiviti atau permainan. Salah satu contoh aktiviti ‘cause and effect’ yang mudah untuk anak yang berumur 3 tahun ke bawah adalah mengisi duit syiling ke dalam tabung.

Apabila anak memasukkan duit syiling ke dalam tabung, duit itu akan hilang dari tangannya dan si manja akan tertarik apabila mendengar duit itu berdenting jatuh ke dalam tabung. Permainan menyusun dan menjatuhkan blok ‘dominoes’ atau membina bangunan tinggi menggunakan blok lego kemudian meruntuhkannya juga adalah antara permainan ‘cause and effect’ yang dapat menarik minat anak.

Kanak-kanak akan juga lebih fokus kepada permainan yang mereka minati. Jadi, adalah lebih baik sekiranya ibu bapa memilih aktiviti berdasarkan minat anak. Seperti contoh, untuk anak yang suka bermain kereta permainan, daripada bermain kereta permainan yang sudah siap dipasang, ibu bapa boleh melatih fokus anak dengan membelikan anak kereta permainan yang perlu dipasang terlebih dahulu.

Permainan seperti ini sangat membantu kemahiran motor halus anak dan melatih kesabaran anak. Walau bagaimanapun, sekiranya aktiviti tersebut adalah di luar kemampuan anak, ibu bapa boleh membantu mereka supaya anak tidak mudah mengalami frustration atau kecewa dan kemudiannya berputus asa dan mudah beralih ke aktiviti lain.

2. Mudahkan aktiviti

Kanak-kanak juga akan mengalami frustrationsekiranya gagal melakukan sesuatu aktiviti. Jadi, tugas ibu bapa dan orang dewasa sebagai pembantu atau ‘guidance’ supaya mereka lebih termotivasi dan lebih seronok melakukan aktiviti tersebut. Tetapi perlu diingat, tugas ibu bapa hanyalah sebagai pembantu, bukan yang menyiapkan tugasan anak.

Sebagai contoh, semasa bermain permainan lego, anak yang masih belum terbina kemahiran motor halus seperti  menekan dan memasang mungkin akan menghadapi kesukaran. Ibu bapa boleh memegang tangan anak dan membantu anak menekan dan memasang lego tersebut mungkin untuk lima kali pertama. Tetapi, untuk kali keenam dan seterusnya, galakkan anak untuk melakukannya sendiri.

3. Jauhkan dari gangguan persekitaran

Sifat semula jadi kanak-kanak untuk meneroka menyebabkan fokus anak mudah terganggu dengan persekitaran mereka terutamanya gangguan dari segi visual dan bunyi. Oleh sebab itu sesi terapi biasanya dijalankan di dalam bilik yang kosong dan kecil. Sekiranya di rumah, ibu bapa boleh meminimumkan gangguan dengan menutup televisyen, menyorokkan gajet, dan memilih sudut rumah yang agak tenang untuk melakukan aktiviti bersama anak. Pastikan juga tiada permainan lain yang berdekatan dengan si manja anda ketika itu supaya fokus anak tidak lari dan memilih untuk bermain permainan yang lain.

4. Tetapkan target

Target adalah sangat penting untuk melatih meningkatkan fokus dan kemahiran anak. Target boleh merangkumi pelbagai aspek. Seperti contoh,  untuk ibu bapa yang meletakkan target masa, kali pertama anda melakukan aktiviti berfokus bersama anak, nilai berapa minit yang anak anda mampu bertahan dalam satu aktiviti.

Sekiranya anak anda mampu bertahan sehingga tiga minit, kekalkan anggaran masa tiga minit juga untuk beberapa sesi seterusnya. Sedikit demi sedikit, tingkatkan target masa tersebut  sehingga lapan minit atau lebih. Namun perlu diingat, jangan terlalu menekan anak demi untuk mencapai target yang kita tetapkan. Setiap anak ada kemampuan tersendiri.

5.Galakan, pujian dan hadiah

Saya lebih suka menggunakan kaedah ‘positive reinforcement’ dengan memberi galakan, pujian dan hadiah kepada kanak-kanak berbanding dengan ‘negative reinforcement’ seperti denda dan amaran. Pujian dan galakan verbal seperti ‘bagusnya’, ‘good job, sayang’, ‘aiman boleh!’, serta gesture seperti ‘high 5’ atau ‘high 10’, tepuk tangan dan memberi pelukan sangat membantu anak untuk lebih termotivasi dalam menyiapkan aktivitinya dengan baik.

Kadang kala hadiahkan juga mereka dengan sesuatu yang disukai oleh anak sekiranya si manja berjaya manyiapkan tugasnya dengan baik. Namun, ibu bapa juga perlu berhati-hati dalam memberikan ‘positive reinforcement’, jangan sampai dimanipulasi oleh si manja anda!

Sumber: www.excelqhalif.com