Dah menjadi kebiasaan bila kemalangan kecil berlaku antara kereta dan motorsikal, penunggang motorsikal tersebut pasti akan melarikan diri.
Namun berbeza dengan satu video tular ini di mana seorang adik yang berumur 19 tahun dan merupakan seorang penghantar makanan mengaku kesalahan dan berhenti selepas melanggar sebuah kereta mewah.
Sikapnya itu telah mencuri perhatian orang ramai termasuklah pelakon, Fasha Sandha yang memuat naik di laman Instagramnya menjejaki pemuda tersebut.
“Kepada adik ini, sila hubungi kakak. Saya ada hadiah nak bagi memandangkan awak baru 19 tahun dan rajin bekerja untuk keluarga.
Ada sesetengah ‘rider’ lari selepas langgar cermin sisi kereta kerana risau kena bayar. Kadang-kadang kita bukan nak suruh bayar pun, minta maaf pun sudah memadai”.
Tambahnya, sifat pemuda itu tidak melarikan diri dan bertanggungjawab atas kesilapannya wajar diberikan pujian dan contoh kepada orang lain.
Sebagai tanda penghargaan atas sikap bertanggungjawab pemuda itu, Fasha menjadikan medium media sosial untuk menjejaki penunggang motosikal dan memberikannya hadiah.
Dalam pada itu, Fasha turut memuji sikap pemilik kenderaan Toyota Vellfire yang tidak meminta sebarang ganti rugi selepas pemuda berkenaan melanggar bahagian kiri kereta berkenaan.
Fasha yang terharu dengan sikap kedua-duanya turut menitipkan pesanan buat adik lelakinya sendiri agar mengamalkan perkara sama jika berdepan situasi serupa.
“Adik ini harus dijadikan contoh yang baik buat semua penunggang motosikal termasuk adik saya sendiri. Sekiranya ada terlanggar atau melakukan kesalahan, berhentilah untuk memohon maaf.
“Pujian buat abang kereta besar ini juga atas kemuliaan hatinya, bagi adik ini pergi tanpa bayaran,” tambahnya.
Sumber : Instagram Fasha Sandha